Akan Berkati Sekelian Yang Setia!
3 min readNegeri Sembilan mengharungi perlawanan pertama mereka musim ini dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Paroi malam tadi. Lawan mereka, Kuantan FA merupakan satu pasukan yang hebat dan agak degil untuk dijinakkan. Senjata merbahaya mereka adalah lontaran kedalam yang dibuat oleh pertahanan tengah, sangat-sangat laju, pin-point cross dan mencemaskan.
Setelah 2 musim penyokong Nogori dikecewakan dengan teruk, malam tadi mereka masih setia untuk turun ke stadium Paroi memberikan sokongan. Jang terharu melihat kehadiran penyokong, dari semua sudut teres stadium. Mereka setia dan yakin. Jika ada terkeluar maki hamun, itu biasalah, lelaki ni emosinya hanya pada bola. Walau marah, masih setia! Akan berkati sekelian yang setia!
Barisan pemain pula menunjukkan satu permainan yang meyakinkan. Kawalan bola, hantaran dan kerjasama pemain sangat-sangat baik. Percayalah pada kata-kata Jang ni, Jang dah bertahun memaki corak permainan dari pemain yang teruk, jadi Jang tahu dan dapat bezakan gaya permainan yang baik, hantaran dan kawalan bola yang meyakinkan, usaha dari setiap pemain dalam menyerang dan bertahan, semuanya ada markah. Semua pemain tahu tugas mereka dan berusaha melakukannya dengan baik.
Semusim bersama K. Devan, takkan kau tak nampak bezanya gaya permainan malam tadi?
Gol pertama dicetak oleh Andrew Nabbout pada minit ke 34 selepas berjaya melepasi perangkap offside Kuantan FA. Beliau langsung tidak dicabar oleh pertahanan Kuantan FA lalu meledakkan satu tendangan ke kiri gawang gol. Stadium Paroi bergema dengan sorakan penyokong yang sudah terlalu lama dahagakan jeritan gol! Inilah orgasm bolasepak yang tidak dapat diganti dengan 1000 popia basah!
Sebelum itu serangan Negeri Sembilan banyak digagalkan oleh penjaga garisan yang kerap menaikkan bendera offside. Pengadil dan penjaga garisan malam tadi memang jadi ‘makanan’ penyokong Negeri. Banyak keputusan mereka tidak dipersetujui oleh penyokong. Kadang-kadang timbul sangsi dihati Jang, jika semua pemain bersih, adakah pengadil perlawanan juga bersih? (tidak bermaksud perlawanan malam tadi)
Separuh masa pertama berakhir dengan Negeri Sembilan kekal mendahului 1-0.
Separuh masa kedua bermula dengan Kuantan FA bertindak garang dengan serangan bertali arus namun barisan pertahanan Negeri yang diketuai oleh kapten Taylor Reggs tenang menyerap setiap serangan. Lontaran kedalam dari bek tengah Kuantan FA memang sangat-sangat merbahaya. Dahsyat! Beliau akan mengelap bola dulu ditepi padang (siap towel!) dan lontarannya sama macam kita mengambil tendangan sudut! cuma lontaran beliau lebih tepat, lebih laju dan sangat memukau penonton. Mengikut maklumat Jang terima, beliau telah menghasilkan 2 gol melalui lontaran kedalam dalam perlawanan persahabtan pra-musim. Berbaloi import ni!
Pada minit ke 54, pengadil menghadiahkan tendangan penalti kepada Kuantan FA selepas berlaku kacau bilau didalam kotak penalti. Jang pun tak nampak apa silapnya. Mohd Shahrul Aizad mudah menewaskan Syed Adney yang terbang kearah lain. hmmmm…Negeri Sembilan 1-1 Kuantan FA.
Perlawanan juga berlangsung panas apabila banyak tackle kemas dan tidak kemas dilakukan oleh kedua pasukan. Satu insiden berlaku apabila pemain Negeri Sembilan ditackle keras oleh Hazwan Fakhurullah. Pemain Nogori tadi terus bangun dan berlaku tolak menolak sebelum kedua mereka bertumbuk bagai anak jantan! Hahaha. Mereka masih muda, tidak mampu mengawal perasaan, lagi-lagi dalam perlawanan yang sengit seperti malam tadi. Baguslah bertumbuk, Jang takda isu dengan pemain yang bertumbuk dalam padang sebab bolasepak, cuma Jang minta jangan hanya berani dilaman sendiri. Main tempat orang nanti jangan takut pulak nak bertinju, kalau takut, bukan anak jantan namanya! Lagi satu, bertumbuklah didalam padang SAHAJA!
Kalau tak silap kedua pemain dianugerahkan kad merah oleh pengadil perlawanan yang memakai baju pink. Kedua pasukan berusaha mencari gol kemenangan sehingga wisel penamat ditiupkan pada minit ke 94. Keputusan kekal 1-1.
Kesemua pemain Negeri Sembilan mengakhiri malam pertama musim baru Liga Perdana dengan pergi menemui penonton disemua sudut stadium. Mereka bersalaman dan berpelukan dengan peminat yang setia. Tak banyak yang penonton mahu dari pasukan Negeri Sembilan. Mereka mahu saksikan usaha bersungguh pemain mencari gol dan mereka mahu kedatangan mereka ke stadium dihargai pemain…dan mereka mendapat keduanya sekali malam tadi! Tahniah penyokong yang setia! Tahniah pemain yang berusaha!
Sementara itu, ultras Nogori melepas geram mereka malam tadi selepas lama sunyi. Cukup cantik banner ‘Ini Paroi Jangan Main’, banner The Jangs yang besar dan bendera panjang. Apa berlaku luar stadium selepas permainan? Jang malas cerita. Nasihat Jang kepada semua, datanglah ke stadium dan alami sendiri.
#BolasepakKitaWajahKita #MusuhnyaHabisBinasa #HobinJangHobin