April 27, 2024

Pestabola Merdeka | Antara Padang, India Dan Kim Pan Gon

3 min read

Setelah kompang dan gendang dipalu kuat. Akhirnya Pestabola Merdeka yang ditunggu-tunggu sudah pun bermula. Empat pasukan iaitu Palestine, India, Tajikistan dan Malaysia berentap sesama sendiri untuk merebut juara Pestabola Merdeka 2023. ketiga-tiga lawan Harimau Malaya di atas kertas lebih hebat dari sudut ranking dan pengalaman. Malangnya, pasukan daripada Palestine terpaksa menarik diri di saat akhir dan pasukan Tajikistan mendapat bye untuk terus mara ke perlawanan akhir. Keadaan malang ini tidak dapat dielakkan akibat perang yang melanda. Marilah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada saudara-saudara kita Palestine yang sedang berduka di sana.

Berbalik kepada perlawanan malam semalam. Kami yang hadir di stadium akan memberi markah penuh pada suasana. Boleh katakan makna ‘pesta’ itu sendiri dapat dirasai pada semua peminat bola sepak tanah air dengan jumlah kehadiran, persiapan dan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan bermula daripada perasmian Pestabola Merdeka sebelum ini. Deretan barisan kedai-kedai yang sesak dengan orang ramai, penyokong menyanyi dan anak muda bergaul secara sopan jelas menunjukkan semua orang having a good time sementara menunggu perlawanan bermula.

Di dalam stadium juga terdapat persembahan live band dan penyokong dilayan oleh MC dan diberikan saguhati sebagai tanda penghargaan. Opening ceremony juga lebih meriah dan unsur-unsur komersial lebih jelas jika hendak dibandingkan dengan perlawanan AFC, kelayakkan Asia ataupun persahabatan yang lain. Mungkin disebabkan Pestabola Merdeka lebih bebas daripada badan-badan bola sepak yang lebih utamakan prestij daripada wang ringgit.

Pandangan awal kami meletakan harapan tinggi pada gelanggang baharu SNBJ. Ianya mula berubah selepas dua-dua pasukan memulakan rutin memanaskan badan yang mula memberi tekanan kepada padang secara berterusan. Terus wujud di hati kami hasilnya seperti tikus membaiki labu pada rumput Zeon Zoysia yang diagungkan sebelum ini. Seawal lima minit perlawanan, ianya terbukti memalukan. Robek sini dan sana seperti kapal yang diserang lanun. Masing-masing mula menunding jari dan bosan untuk kami ulaskan perkara tersebut. Namun TMJ memberi jaminan bahawa padang itu masih belum matang dan memerlukan masa untuk ianya lebih sesuai untuk dipersembakan. Jika ianya sama seperti di Stadium Sultan Ibrahim “through and through” bak kata orang Senaling. Maka kita semua perlu memberi sedikit masa untuk ianya membuahkan hasil.

Terdapat juga kontroversi gol ketiga India pada separuh masa kedua. Di stadium, agak sukar untuk dipastikan gol tersebut. Penjaga garisan juga terbongkok-bongkok cuba mencari bola di mana ketika ianya sudah melepasi garisan gol pasukan Harimau Malaya. Oleh kerana situasi tidak ketentuan ini, pengadil utama tidak memberikan gol daripada benefit of the doubt yang tidak ada mekanisma lain untuk tentukan gol tersebut. Jujurnya pengadil tersebut silap membuat keputusan dan jutaan penyokong di rumah pun akan akui jika seorang yang jujur.

Pengadil yang bukan orang tempatan itu membuat kesilapan normal manusia dan penyokong Malaysia turut berasa simpati terhadap penyokong India. Sebab itu kita perlu memikirkan tentang goal-line technology sebelum sibuk memikirkan tentang VAR. Manakala persembahan Harimau Malaysia harus dipuji. Empat gol yang dapat pada malam tersebut bukan datang daripada kesilapan mana-mana pihak (Mungkin penalti Lok terlalu lembut tapi ianya masih penalti pada pandangan kami). Taktikal Kim Pan Gon nampak lebih matang dan kami akui masih ada kelemahan ketara terutamanya di bahagian belakang. Walaubagaimanapun, bukan tanggungjawab kami untuk menilai taktikal seorang coach. Hanya sekadar menyatakan apa yang jelas. Mungkin boleh diperbaiki pada perlawanan akhir nanti.

Perlawanan akhir akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada selasa 17 Oktober 2023 menentang Tajikistan. Mari kita beramai-ramai turun memberi sokongan. Ayuh Harimau Malaya!

-Tom Bombadil-

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.