April 20, 2024

Bagaimana Pahang dijinakkan Selangor #RoadToFinal

3 min read

Nampaknya Jang masih menerima banyak emel yang mempertaruhkan artikel mereka tentang perlawanan separuh akhir lepas. Ini petanda bagus untuk scene bola kita. Seperti Jang tulis dalam artikel semalam, bolasepak kita harus terus dimeriahkan walau hanya dengan membaca kerana membaca itu mudah. Semudah Selangor menewaskan Pahang, semudah makan nasi dan semudah menjual tiket perlawanan akhir.

Artikel kali ini sumbangan saudara Zahar Samsudin yang mengulas kehebatan Selangor semasa mudah menjinakkan Pahang pada perlawanan separuh akhir lepas.

Selangor jinakkan ikan Patin

Selepas tenang mendahului satu kosong di separuh masa pertama, Selangor tidak bermain secara neutral lagi, mereka menjadi ultra defensive, sekadar berkampung di kawasan sendiri untuk mengekang asakan Tok Gajah. Kepercayaan Selangor pada satu gol ibarat perjudian di mesin judi, mereka melabur 10 ringgit dan berharap dapat cuci 10 ribu ringgit.

Dengan aksi bertahan, Selangor dilihat lebih fokus mengawal duo striker Tok Gajah, Matias Conti dan pasangan, Dickson Nwakaeme. Tapi melihatkan Norazlan tangkas macam dinding di pintu gol, semangat pemain Pahang untuk terus menyerang mula luntur, segala cubaan on target mudah-mudah saja Norazlan save. Rembatan paling deras dari Dickson pun selamba Norazlan tepis pakai tangan kiri, sambil tangan kanan Norazlan buat isyarat good dengan ibu jarinya digosok pada hujung hidung ala-ala Bruce Lee. Bukan biasa-biasa Norazlan pada game kali ini, rembatan Dickson kalau dibiarkan bebas tanpa ada sebarang halangan, bola itu boleh bergerak selaju komet, dan akhirnya membakar getah pada bola.

Masuk separuh masa kedua, Selangor dengan nafas baru kembali menyerang macam biasa. Sementara Pahang yang memerlukan gol penyamaan bermula sumbang, pemainnya macam takut-takut seolah-olah mereka sedang bermain bola di tepi kubur. Momen itu benar-benar dimanfaatkan Selangor dengan menambah satu lagi jaringan hasil placing menarik daripada Nazmi. Saat-saat gugup penyokong Selangor bertukar menjadi sorak ria selepas jaringan itu, manakala, semangat pemain Pahang dan seluruh rakyatnya terus terkubur sedalam 7 kaki.

Tiada lagi gegak gempita orang-orang Kuantan, Endau, mahupun Temerloh. Ikan-ikan patin di sungai Pahang pun tidak mahu makan umpan pemancing dan seterusnya naik ke darat, maka, esok makanlah orang Pahang yakni ikan masin dengan telur sebagai menu lunch. Tiada lagi selfie dengan pinggan yg beralaskan ikan patin masak lemak cili api.

Poin utama Pahang selepas tewas pastilah tentang kelesuan Dickson diatas padang. Tak pastilah gadis melayu mana yang dah tolak cinta Dickson ini, lesunya lain macam, macam overdose kuih tart pun ada. Dickson hilang taring tatkala peminat mengharapkan beliau untuk memimpin barisan Pahang melakukan hatrik final Piala Malaysia. Atau mungkin Dickson terkena sumpahan angker masa melalui Karak, kalau ya, cepat-cepatlah berubat, takut nanti melarat sampai kena rasuk, melompat pula Dickson ke dalam sungai Temerloh lalu mengokak tengkuk ikan patin yang mahal itu, berawaslah, ini bumi nusantara, memang keras sikit.

Conti pun satu hal, defend Selangor yang marking dia ini kalau ikutkan boleh saja duduk dibarisan penyokong dan makan kuaci stadium, tapi nampak sangat menganjingnya nanti. Jangan menganjing sangat, Pahang kalau menganjing balik, koyak rabaklah mental Selangor. Jangan sampai Pahang masukkan Zaiza bagi dia main, memang level-level hokage nganjingnya. Jadi, Conti season depan bolehlah pergi screen test dekat Skop Production sana, cuba nasib jadi aktor, rupa dah ada dah, tinggal bakat je yang nak kena gilap sikit. Kalau ada Polis Evo 2 nanti, bagilah watak polis Interpol dekat Matias Conti, nanti barulah Matias Conti boleh disayangi oleh peminat seantero Malaysia termasuk peminat dari selatan tanah air. Power!

0Shares

2 thoughts on “Bagaimana Pahang dijinakkan Selangor #RoadToFinal

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.