October 13, 2024

Safawi Mengamuk Garuda Jatuh Tertunduk

3 min read

Penuh Stadium Nasional Bukit Jalil. Baik muda dan mahupun tua semua rakyat Malaysia bersemangat untuk menyokong Harimau Malaya pada malam kelmarin. Barisan hitam kuning menyinari stadium Nasional Bukit Jalil yang sudah pun gilap bercahaya. Cuaca cukup baik pada hari tersebut. Secantik Eropah tapi sepanas gurun Mesir pada waktu yang sama. Mufti Wilayah Persekutuan juga telah berdoa kepada tuhan supaya pasukan Harimau Malaya kita membawa balik kejayaan. Maka tidak ada lagi keresahan dikalangan penyokong Harimau Malaya kecuali memikirkan traffic jam yang bakal mereka hadapi setelah perlawanan habis nanti.

Kami telah menemu bual beberapa pundit professional yang hadir di stadium. Kebanyakkan mereka mengatakan keyakinan yang tinggi untuk Harimau Malaya membawa mata penuh pada perlawanan kali ini. Malah mereka seolah-olah mengatakan kemenangan sudah berada di dalam genggaman. Ketiadaan Shafik Ahmad dan Matthew Davies bukan lagi satu keresahan seperti yang dibincangkan oleh Jang dan Kid. Secara rumusannya, kita yakin keputusan akan berakhir dengan kemenangan.

Namun bila wisel permulaan ditiup pengadil, keyakinan tersebut mula diragui. Pada awalnya Malaysia nampak gelisah dalam permainan mereka. Hantaran tidak sampai, tahan bola tidak kemas dan sering di contain pemain-pemain Indonesia. Jelas menunjukkan mereka tidak dapat bermain dengan baik. Manakala pihak Garuda, they have nothing to lose bak kata orang Kuala Pilah. Mereka berada di tangga paling bawah di dalam Group G dan telah merombak pemain-pemain utama mereka untuk bermain di SEA Games nanti. Persatuan mereka juga dipalit dengan kontroversi dan ini disahkan sendiri oleh pundit jemputan khas dari Jakarta yang diwawancara oleh Ultrajang sebelum perlawanan.

Sembilan puluh minit yang agak bosan pada firasat kami. Indonesia bermain dengan defensive. Mereka hanya menunggu Malaysia membuat silap lalu menyerang melalui counter attack. Bagaikan ikan batu yang menunggu mangsanya. Penuh dengan kesabaran, cepat bertindak bila peluang datang dan harapkan yang terbaik. Malaysia pula terlalu berhati-hati dalam membuat serangan. Tiada unsur larian penetration, tiada cross yang berbahaya malah tiada shot on target pun pada suku awal perlawanan. Abang Tom hampir-hampir mengeluarkan handphone dan sambung mengutuk Manchester United semula di Twitter. Tapi abang Tom kuatkan semangat untuk terus menyokong pasukan kita setelah melihat pihak Ultras yang tidak henti-henti menyanyi.

Kemudian, tanpa angin dan tanpa ribut. Malaysia mendapat tendangan percuma yang begitu hampir dengan gawang gol Indonesia. Safawi Rasid mungkin mempunyai banyak kelemahan sebagai seorang pemain bola tetapi tendangan percuma bukan satu daripadanya. Beliau dengan tenang merembat masuk ke gawang gol Indonesia. Padu sepakan itu jika diukur menggunakan komik Tony Wong ianya sehebat tendangan Ji Fat tujuh petala langit. Penyokong-penyokong Harimau Malaya yang faham tentang bola sepak terus menarik nafas lega terhadap gol tersebut lebih daripada meraikannya.

Selepas itu Indonesia menguasai perlawanan walaupun masih bermain secara defensive. Peluang demi peluang mereka dapatkan. Walaubagaimanapun barisan pertahanan Harimau Malaya yang diketuai Aidil Zafuan lebih yakin dan fokus dalam menghadapi serangan. Ada beberapa last ditch tackle yang dilakukan mereka cukup hebat tarafnya untuk diperhebohkan. Jika Safawi Rasid tidak menjaringkan gol kedua, abang Tom rasakan Aidil Zafuan adalah pemain yang paling layak untuk mendukung gelaran Man of The Match.

Safawi Rasid berjaya menambah derita Indonesia pada 10 minit terakhir perlawanan. Perlu diakui usaha solo Safawi Rasid dalam merampas bola tersebut sebelum merembat masuk gol layak untuk diberikan pujian. Pedulikan passing option yang beliau ada pada waktu tersebut kerana pada situasi itu, beliau layak untuk menyepak bola tersebut terus ke gawang gol. Jika itu dilabelkan sebagai tamak, maka tamak itu tepat pada waktunya. Tiada salah bagi seseorang pemain untuk mencari gol hatrik bila sudah mendahului dua gol advantage.

Indonesia tidak lagi bermain dan gol kedua dari Safawi Rasid (Jika tidak mengira miss penalti daripada Indonesia) telah membenam mentaliti pasukan Garuda terus ke dasar laut. Oleh sebabkan Safawi Rasid berjaya meletakkan Malaysia di hadapan sehingga masa tamat, maka beliau adalah orang yang paling layak sebagai Man of The Match untuk perlawanan ini. Tahniah Harimau Malaya. Semoga berjaya pada perlawanan seterusnya. Kami penyokong sentiasa mendoakan Harimau Malaya berjaya diperlawanan seterusnya.

P/S: Macam mana kerusi dah ada nombor tapi masih ada orang duduk di tangga stadium? Abang Tom rasakan sebab nombor ditampal di bawah kerusi yang bila penuh, susah untuk dilihat. Sepatutnya dibahagian sandar juga patut ada nombor untuk mudah dicari.

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.