Bola Sepak. Antara adat, budaya dan bangsa.
4 min readKenapa kita lihat zaman sekarang ramai rakyat Malaysia berbangsa Cina kurang menjadikan bola sepak sebagai karier lagi? Bukan tiada pemain-pemain hebat seperti Soh Chin Aun dan Ching Hok Aik pernah menyarung jersi liga tempatan satu ketika dahulu. Kenapa kita jarang lihat ramai pemain badminton dari golongan berbangsa India? Bukankah salah satu pemain lagenda Malaysia Punch Gunalan berbangsa India. Lagi mengejutkan kenapa kita tidak nampak anak-anak Melayu memasuki sukan ping pong ataupun bola keranjang secara professional? Adakah ini semua konspirasi ataupun kebetulan semata-mata?
Isu ni sensitif sedikit pada mereka yang berpaksikan pemikiran konservatif. Tapi sampai bila kita nak bincang benda-benda kecil macam isu permindahan pemain sahaja kan?
Tanggapan dan Sains
Setiap negara yang wujud di muka bumi ini mempunyai berbilang kaum yang tinggal bersamanya. Malah di dunia moden ini, jarang kita dapat lihat satu negara berdiri dengan hanya satu bangsa sahaja. Negara kita sendiri terdiri daripada pelbagai jenis bangsa seperti Melayu, Cina, India, Johor, tak bagi signal dan sebagainya. Ini belum dipecahkan setiap bangsa tersebut dengan sub bangsanya lagi! (Misalnya Melayu ada Bugis, Jawa, Minang dan lain-lain) Bangsa-bangsa ini pula mempunyai habit ataupun norma kehidupan yang mereka praktikan dalam kehidupan seharian mereka. Dengan peredaran masa, hasilnya lahirlah satu bentuk budaya atau adat yang diikuti selama turun temurun.
Rutin budaya dan adat yang berevolusi beribu tahun ini telah menjadikan setiap bangsa itu mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Misalnya orang Yahudi pandai meniaga, orang Arab manis berkata-kata dan orang Indonesia bjiak menge’claim’ kelebihan bangsa-bangsa yang lain. Abang Tom teringat lagi kata-kata orang kampung abang Tom di Senaling tentang bangsa Afrika berkulit hitam. ‘Black people can’t swim’ kata ketua kampung kami dulu dengan slang Kuala Pilah Barat. Walaupun ini hanyalah anggapan semata-mata namun ada logiknya di sebalik itu. Malah sukan renang ini juga antara sukan yang paling kurang diceburi oleh saudara kita yang berbangsa Afrika. Boleh dikira dengan jari.
Apa kata sains pula tentang hubungan sukan renang dengan bangsa berkulit hitam ini. Secara amnya, untuk kita menjadi perenang yang hebat ada beberapa faktor penting yang perlu diambil kira. Bentuk badan, ketinggian kaki dan kepanjangan tangan adalah ciri-ciri penting untuk menjadi perenang yang baik. Jadi bermakna orang berkulit hitam sepatutnya sekali lagi mendahului bangsa-bangsa lain. Tetapi lain pula ceritanya daripada artikel yang pernah di keluarkan oleh CNN tentang kadar remaja yang lemas di Amerika mengikut bangsa. Namun, di antara ciri-ciri kita nyatakan tadi ada satu yang menarik minat para saintis. Kadar keapungan. Semakin tinggi kadar keapungan seseorang, semakin pandai dirinya berenang. Ada kajian yang mengatakan kadar keapungan bangsa berkulit hitam lebih rendah berbanding bangsa berkulit putih. Ini menyebabkan bangsa berkulit putih mempunyai kelebihan di dalam sukan renang berbanding rakan-rakan kita yang berkulit hitam.
Walaupun ianya hebat diperdebatkan tentang faktor keapungan dalam sukan renang ini. Namun abang Tom berpendapat bukanlah kelebihan sesuatu bangsa menjadikan mereka lebih hebat daripada bangsa yang lain di dalam sesuatu sukan. Kajian kelebihan keapungan ini terlalu lemah untuk diambil kira sebagai pemboleh ubah. Masyarakat bekulit hitam tidak condong ke arah sukan ini simply because of it is not a part of their culture. Ibu bapa mereka tidak menganggap renang itu penting seperti mengelecek bola ataupun berlari laju. Justeru kami meletakkan faktor budaya, bukan bangsa sebagai ejen yang mempengaruhi sukan-sukan di dunia ini.
Budaya dan Adat Bola Sepak
Begitu juga kesan budaya dan adat di dalam bola sepak ini. Asalnya bola sepak moden ini dipersetujui datang daripada negara England (Walaupun ada yang mengatakan ianya berasal daripada tanah besar Cina ataupun Gunung Angsi). Di situ undang-undang bola sepak dan cara permainan asal dicipta dan ditulis sebagai rujukan sehingga ke hari ini. Jadi bermakna bola sepak itu sudah sebati dengan jiwa orang England dari luar dan dalam rohani mereka. Stadium bola sepak dibina merata-rata. Pekan diberi nama jolokan dengan nama pasukan bola sepak. Hooligan lahir daripada setiap lorong-lorong sempit belakang bar. Ironinya, bola sepak bukanlah sukan kebangsaan mereka tetapi ianya jatuh kepada kriket!
Yang peliknya, jiran mereka Perancis lebih mengagungkan bola sepak daripada sukan yang lain sebagai national sport yang rasmi. Negara yang bersifat lemah lembut dan acah-acah romantik ini pula yang membawa bola sepak sebagai sukan nombor satu dihati rakyat jelata mereka. Langsung tidak nampak garang dan fizikal seperti zahirnya sukan bola sepak itu.
Ini juga berlaku pada negara kita. Walaupun pahit untuk abang Tom katakan. Begitu jugalah nasib sukan sepak takraw yang dianggap sukan bermaruah negara kita. Dahulunya menjadi budaya pada masyarakat Tanah Melayu dan sekarangnya dipegang oleh orang masyarakat Siam di itara tanah air. Jelas dibuktikan budaya dan adat itu walaupun dasarnya kekal, kuasa mempelopori tetap boleh diambil orang lain pada satu masa nanti.
Kerana sifat sukan itu datang dari bangsa, orang Melayu masih meneruskan sukan ini walaupun tidak lagi menjadi perintis dalam bidang tersebut. Samalah orang Cina dengan sukan Wushu dan orang India dengan sukan Kabadi. Demi kesinambungan sukan itu kekal dikalangan budak-budak muda dan bangsa mereka.
Kesimpulan
Budaya, adat dan bangsa sedikit sebanyak mempengaruhi masa depan sesuatu sukan itu termasuklah bola sepak. Ianya jelas ada kolerasi di antara budaya, adat ataupun bangsa. Bangsa Cina lebih gemar menghantar anak mereka ke sekolah renang dan badminton. Manakala bangsa Melayu dan India lebih gembira menghantar anak-anak mereka ke sekolah pembangunan bola sepak. Sebab itulah kita nampak jurang bangsa itu semakin ketara di dalam arena bola sepak. Ini adalah satu fenomena yang datang dengan sendirinya dan bukannya dibuat-buat. Jadi tiada siapa patut dipersalahkan dan ianya adalah hukum alam yang berevolusi dengan masa. Seperti yang dibincangkan tadi, England sendiri tidak dapat mengekal status quo mereka sebagai bapa bola sepak beradat. Lantas ianya jatuh ke tangan kami krew-krew Ultrajang untuk meneruskan perjuangan bola sepak menentang kejahatan.
Walaupun kita nampak sukan bola sepak ini seperti memecahkan kita mengikut bangsa. Dalam masa sama sukan bola sepak jugalah yang menyatukan Ali, Ah Chong dan Raju bersama-sama di dalam dunia yang mencabar ini. Kalau tak percaya kau tengok siapa yang bersorak dahulu bila kerajaan Malaysia umum cuti sempana kemenangan Piala Suzuki.
P/S: Nasi lemak dan bola sepak menyatukan kita. Simple!