October 13, 2024

Bola sepak yang Merdeka

3 min read

Tak manis Jang biarkan website ini tidak berupdate lama. Tapi lebih tidak manis kalau Jang update sekadar nak ada saja kerana ianya akan membuatkan kau semua bosan dan lebih mustahak, jika Jang update sekadar nak update saja; ianya menghina kebijaksanaan Jang. Nak update hal bola sepak Negeri yang bertemu Kedah Ahad lepas tetapi jika ianya sekadar nak hentam Afiq, adalah lebih baik Jang bazirkan data Jang ke benda yang lebih tidak berfaedah. Nampak?

Adakah bola sepak kita sudah merdeka dalam konteks bebas dan tidak dijajah? Adakah kita sebagai penyokong bola sepak tempatan benar-benar bebas dan bermaruah? Persoalan ini bermain dikotak pemikiran Jang bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan kita semalam. Lama Jang biarkan isu ini berlegar-legar dalam fikiran Jang yang bijaksana dan Jang cuba kaitkan dengan beberapa hal yang Jang saksikan sendiri di Paroi dan tempat lain. Apakah erti kemerdekaan pada bola sepak dan peminat tempatan? Setakat menyanyi lagu Sehati Sejiwa?

Jang lihat beberapa kali tifo atau banner yang dipasang di stadium Paroi hanya bertahan tak sampai 2 minit sebelum diturunkan oleh pihak keselamatan atau polis. Susah payah penyokong bola sepak menghabiskan masa dan wang menyiapkan banner sampai berjam-jam tetapi hanya mampu digantung selama 2 minit. Dimanakah hak atau kebebasan peminat mahu bersuara? Kenapa ianya disekat? Kenapa pihak stadium atau PBNS mengamalkan dasar menyekat seperti penjajah? Bukannya mereka menggunakan ayat atau perkataan tidak elok. Banner ‘ KAMI MASIH DI LIGA PERDANA 2017’ bersaiz 30 kaki juga diturunkan. Apa yang ‘offensive’ nya ayat itu? Sikap tidak boleh ditegur ini serupalah dengan penjajah Jepun dan angkatan Komunis dahulu. Mereka selalu fikir mereka kuat tetapi akhirnya mereka kalah juga.

Sekali imbas, Jang lihat ada juga yang menggunakan sukan bola sebagai alat menyatukan rakyat dalam bentuk gula-gula atau hiburan tak ubah seperti Julius Cesar dengan sukan Gladiatornya tapi Jang malas nak mengulas panjang hal itu.

Merdekakah bola sepak kita dari penjajahan bookie yang menentukan kalah menang pasukan yang berlawan? Ini persoalan yang sudah lama dan bosan untuk dibincangkan tetapi penjajahan memang berbentuk lama dan bosan. Jang cadang, elok kau baca naskah yang dikarang oleh Wilson Raj Perumal atau lebih dikenali didunia sebagai The Kelong Kings yang bercerita tentang perihal bookie. Selepas kau baca naskah beliau ini, nescaya kau tidak akan menonton bola sepak lagi! Atau jika kau tengok pun, perasaan kau tidak lagi sama.

Tidak cukup dengan bookie, bola sepak kita juga dijajah oleh orang-orang tertentu yang punya kepentingan peribadi atau kelompok (kem) mereka sendiri. Ada agent yang hanya membawa pemain pilihan dari negara tertentu sahaja untuk disuap kepada persatuan bola. Samada kita sedar atau tidak, kelompok mereka ini sudah ramai dan bertapak dalam semua peringkat bola sepak tempatan. Ada yang membawa kebaikan, sudah tentu ada keburukannya juga. Jang nampak golongan ini lebih menjadikan kekalutan dan kelemahan bola sepak kita sebagai tempat mereka mengaut keuntungan. Bukanlah kehadiran mereka tidak menyumbang apa-apa kepada bola sepak kita, ada, tetapi sedikit, sama macam British, Portugis dan Komunis.

Bola sepak kita harus bebas. Bebas menyokong dan memberi pandangan. Bebas bermain tanpa ditentukan kalah menang dan jumlah jaringan. Bebas dari dipegang oleh ahli politik dan suku sakatnya yang menjadikan sukan bola sepak sebagai agenda memenangi hati pengundi. Bebas dari pemilihan pemain yang berdasarkan pilih kasih. Bebas dari sponsor yang mengada atau mahu pulangan yang lebih besar dan secara tidak telus. Sumbang RM10 juta, dapat balasan tanah yang dijadikan kawasan perumahan bernilai 1 billion. Bebas dari ketakutan stadium yang padat dan pergaduhan. Bebas dari rasuah dan kelompok sama sepanjang hidup. Bebas dan bermaruah; barulah ianya merdeka.

Ini kita balik-balik puji liga luar. Balik-balik kita agungkan dan sebarkan hal kelab inggeris. Tak habis-habis kita excited menunggu perlawanan secara langsung liga inggeris dihujung minggu. Kita biarkan bola sepak kita terus dijajah dan dicengkam ahli politik. Kita biarkan bola sepak kita terus tidak bebas dan bermaruah. Kita malu hendak bersama ke stadium memberi sokongan. Kita tidak mahu mulakan gerakan kemerdekaan kepada bola sepak kita. Kita biarkan orang lain lakukan dan kita hanya membebel dari jauh.

Sebagai anak merdeka, kau bebas untuk membuat pilihan.

0Shares

1 thought on “Bola sepak yang Merdeka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.