Cara Melawan Ulat Tiket 101
3 min readIsu ulat tiket ini seperti tiada kesudahan. Segala usaha yang kami dan penulis-penulis lain seperti mencurah air di daun keladi. Pihak FAM mengatakan sekarang ini kita masih tidak mempunyai mekanisme dan undang-undang untuk membanteras isu ulat tiket ini. Namun terdapat beberapa cara yang kita sebagai penyokong boleh turut serta dalam usaha menangani ulat tiket yang sekarang nampak sedang bermaharajalela. Abang Tom akan pecahkan kepada dua bahagian. Pertama apa yang kita boleh buat untuk masa sekarang dan kedua apa yang boleh dibuat untuk masa akan datang. Jom kita lihat.
Boikot
Boikot, boikot dan boikot. Ini adalah solusi paling utama yang kita oleh buat pada masa sekarang. Seperti mana orang Eropah memboikot kelapa sawit kita dan Paul Pogba memboikot Jose Mourinho. Ianya pasti akan membawa kesan walaupun nampak seperti tiada apa. Jika tak percaya lihatlah harga sawit dan kedudukan Manchester United sekarang. Ada yang berpendapat jika mark up tersebut sekitar 10 ke 15 ringgit tiada masalah kerana itu salah satu upah mereka beratur panjang. Tapi itu bukanlah alasan kita untuk mengambil kesempatan. Bukankah ianya jelas mereka hendak berniaga bukan hendak menyokong jika membeli tiket lebih pada yang dia perlukan? Jika tanya abang Tom, harga berbeza 5 ringgit pun abang Tom akan boikot. Tak payah lah bagi alasan girlfriend tak jadi tengok. Lemah!
Kempen Kesedaran
Satu lagi yang kita oleh buat sekarang ialah kempen kesedaran. Ini termasuk lah memberitahu penyokong tentang kesan ulat tiket, cara mengelak dan juga cara mengenal pasti. Seperti yang kami katakan dalam artikel-artikel kami sebelum ini. Penyokong yang bijak adalah penyokong yang sebenar. Abang Tom banyak mengikuti event larian di Malaysia ini dan tiada langsung isu ulat tiket walaupun larian tersebut world event. Ya, kita boleh belajar dari mereka. Jadi marilah kita berkempen di Facebook, Twitter dan lain-lain. Lawan mereka sampai mereka insaf!
Satu Penyokong Satu Tiket
Ini adalah satu-satunya solusi yang paling berkesan yang boleh diketengahkan pada masa akan datang. Satu penyokong satu tiket (macam trademark parti politik pula). Berbeza di Eropah, tiket tidak boleh dibeli melalui kenalan, ataupun secara pukal seperti apa yang ada di AFF Suzuki sekarang ini. Pembelian melalui online secara separuh tidak mampu untuk mengawal ulat tiket secara efektif jika masih boleh membeli lebih dari satu. Jika satu tiket satu IC, barulah pihak stadium dapat mengenal pasti dan membuat cross check jika ada ketirisan. Wakil daripada penyokong pun boleh sendiri datang dan mengesahkan sendiri tiket memang benar-benar habis dan bukannya ada disonglap pihak lain. Kalau boleh biar semua melalui online. Kau semua pun janganlah malas nak beli tiket sendiri. Bukan susah sangat pun kalau online tu.
Sistem Rebat Tiket
Ini juga satu solusi yang bagus yang boleh diketengahkan. Cuma harga tiket akan melambung tinggi pada mulanya (sebelum melenting, baca bagi habis). Sebagai contoh, harga tiket asal untuk yang terbuka kita letak pada harga 100 ringgit untuk sekeping tiket. Bila digunakan, penyokong boleh rebat semula dengan harga 60 ringgit dan mengembalikan kepada harga asal 40 ringgit (kaedah bagaimana hendak rebat perlu dibincangkan dengan lebih mendalam). Jadi bermakna hanya tiket yang betul-betul dipakai untuk masuk ke stadium akan diguna pakai. Jika ulat tiket membeli dengan harga 500 ringgit untuk lima tiket dan tiada jualan ataupun digunakan. Secara automatik mereka akan kerugian besar! Tapi ini hanya boleh direalisasi dengan usaha sama memboikot ulat tiket. Jika ada yang sanggup membeli dengan 200 ringgit satu tiket. Tiada guna juga.
Kesimpulan
Setelah mendengar berita tolak menolak sehingga pengsan di stadium Nasional Bukit Jalil pada pagi ahad lalu. Kami di Ultrajang sangatlah sedih. Ini antara kesan ulat tiket dan pengurusan yang lemah. Abang Tom tidak mengkritik pengurusan secara total. Secara jujurnya da perubahan sejak diambil alih oleh Tony Fernandes. Tapi mana yang tak betul kami bantai mana yang bagus kami puji. Simple!
Kepada para penyokong yang tidak dapat tiket tak perlulah sedih seperti tiada lagi hari esok. Tidak dapat tengok di stadium bukan bermakna tidak patriotik. Tengok di mamak pun jika jiwa di stadium pasti akan terasa kehangatannya. Sekarang zaman teknologi. Jampi dari kaca TV pun berkesan. Jadi tak pergi ke stadium bukanlah satu bentuk kelemahan.
P/S: Awek Thailand dengan Awek Vietnam. Yang mana lagi manis?
Misai Harimau Malaya
– Tom Bombadil, Misai Kiri Harimau Malaya –