October 13, 2024

Dimanakah Salah dan Silap PBNS Hingga Kau Tak Mahu Maafkan? – pt. 1

3 min read

Prestasi pasukan Negeri Sembilan musim 2020 ini seperti wabak yang menggila. Kita masih tercari-cari vaksin sesuai untuk disuap kepada pasukan supaya kebah demam dan sehat seperti sediakala. Jang buka kepada semua pemerhati bola sepak Negeri Sembilan untuk menghantar artikel post mortem, atau lepas geram. Sila hantar artikel anda ke ultrajangmag@gmail.com untuk Jang siarkan dan dijadikan vaksin. Post mortem/lepas geram pertama datang dari seorang pemerhati yang hanya mahu dikenali sebagai Den. Mungkin nama oenuhnya Adden? Rithauden? kau semuo baco luahannya yang jang anggap sangat relevan.

______________________________________________________________________________

Bukan main ramai yang marah dan tak boleh tidur melihat kedudukan Negeri Sembilan di Liga Premier. Ini adalah pencapaian yang paling teruk sejak Liga Semi-Pro diperkenalkan. 


11 mata dari 33 mata maksima. Kau rasa kelakar tak?


Macam-macam komen berbaur kemarahan den baco. Itu maknanya kita sayangkan bola sepak Negeri Sembilan. Ada yang suruh rombak PBNS dan ada yang suruh bermain di liga taman. Adakah cukup dengan sekadar merombak pengurusan? Dan kalau perlu rombak, siapa yang akan ganti?Kau ado calon tak? Kenapa Satwant yang perlu bertanggung-jawab dan bukan semua di PBNS?  


Bak kato pepatah, keluar satu kayu, masuk pulak kayu yang lain, apo bezanya? Den sendiri tak boleh jawab bila Jang tanya siapa yang boleh ganti jika PBNS dirombak. Banyak benda yang perlu dilakukan oleh PBNS. Jurulatih datang dan pergi tetapi suasana bola sepak kita masih suram. Tempat latihan pun kita pakai padang orang. Kedai rasmi yang tak ubah macam kedai runcit Apek Taman Marida, sosial media rasmi yang macam tidak berfungsi dan paling penting, tidak pandai menjana ekonomi atau mencari penaja.

Sampai bila kerajaan perlu menggunakan duit rakyat untuk keperluan PBNS yang tidak memberi manfaat kepada rakyat Negeri Sembilan? Tetapi, memandangkan PBNS tidak pandai menjana pendapatan, mungkin Tok Min boleh memberi modal permulaan untuk NSFC Sdn Bhd memulakan perniagaan dan menjana pendapatan sendiri. Takkan lah nak harap duit penyokong pulak. RM10 pun kadang kami berkiro.


Asyik bagi ikan, sekali sekalo kito bagi lah pancing biar dio kail sendiri. Dan den harap NSFC Sdn Bhd mempunyai satu marketing department yang kuat. Satu organisasi yang kuat tanpa individu yang mempunyai kepentingan peribadi. Den tengok PBNS dah mula buat program pembangunan, kursus kejurulatihan dan program pengadil. Ini benda baik dan kita wajib sokong. Memberi peluang jurulatih muda membawa pasukan juga satu perkara yang baik. Tapi, biarlah yang ada kualiti dan kredibiliti. 


Untuk tahun hadapan, bolehlah beri peluang kepada coach Azzmi Abd Aziz pula. Dengan lesen A+ yang dia miliki, rugi pula kalau kita letakkan jurulatih muda ini sebagai Jurulatih Pasukan Presiden. Tambahan, dia pernah memangku pasukan Kedah menggantikan Nizam Adha pada 2018. Sekadar cadangan dan den bukanlah ejen kepada sesiapa. 


Berikan sasaran dan masa yang realistik untuk jurulatih membangunkan pasukan. Dengan kewangan yang terhad, kita masih mampu berjaya tetapi memerlukan masa dan perancangan yang baik. Untuk musim 2021, tidak perlulah mensasarkan layak ke Liga Super. Mungkin kita boleh mensasarkan sekurang-kurangnya 40 mata pungutan. Tahun berikutnya barulah kita letakkan sasaran ke Liga Super. 


Den tak tahu siapa yang memilih pemain. Kita tidak memerlukan pemain import yang kualitinya lebih teruk dari pemain tempatan. Dengan bajet yang ada, seharusnya kita mengekalkan Aroon Kumar, Danish Haziq, Ferris dan Osman, tanpa mengambil 4 pemain import. Semuanya bermain di Liga Super dan sentiasa dalam kesebelasan utama pasukan masing-masing. Osman contohnya, jauh lebih berkualiti berbanding Mattheus Vila. Tengok pula bagaimana Aroon mengemudi bahagian tengah ketika PJ City Fc menentang JDT. Cukuplah kita gunakan seorang dua pemain import yang benar-benar berkualiti.


Sekian sahaja karangan den. Mungkin akan ada yang tak bersetuju dengan den. Den tak kisah dan biasalah perbezaan pendapat. Itu maknanya kita sayangkan bola sepak Negeri Sembilan. Den adalah den, lelaki yang sabar melihat pasukan den dipijak-pijak!


Musuhnya Habis Tergelak.

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.