April 19, 2024

EKSKLUSIF: Bruno Suzuki Tidak Perlu Panaskan Enjin

4 min read

Bruno Junichi Suzuki Castanheira, itulah nama penuh bintang yang sedang membara dengan 8 gol untuk 9 perlawanan. Beliau dilahirkan di Brazil dan dalam masa yang sama memegang kerakyatan Jepun. Semasa remaja, beliau memulakan karier bola sepaknya di Jepun bersama kelab Gamba Osaka.

Diperingkat senior, beliau banyak berpindah kelab, termasuk secara pinjaman, berkelana hingga ke Singapura bersama Home United, Geylang International dan pernah membawa pasukan Jurong Albiirex Nigata FC menjadi juara Singapura League Cup pada tahun 2011. Bruno sebenarnya adalah pemain kelab Albiirex Nigata yang berpengkalan di Jepun ( J1 League) tetapi beliau tidak banyak mendapat peluang bermain dengan pasukan utama dan ini menyebabkan beliau tidak selesa hanya duduk dibangku simpanan (Inilah sikap pemain bola sepak professional yang patut dicontohi – tidak selesa duduk dibangku simpanan sahaja)

Bruno kemudian diikat oleh Albiirex Nigata Singapura dan terus membawa pasukan itu ketempat kedua liga dikalahkan oleh Home United dalam satu perlawanan akhir. Menariknya, Home United terpikat dengan kehebatan Bruno lalu mengikat beliau pada musim berikutnya. Musim 2016, Bruno Suzuki kembali semula bermain di liga peringkat ke 2 Jepun bersama kelab FC Gifu.

…dan kini Bruno Suzuki ingin masuk suku.

Petang itu, Jang bersama krew Majalah JANG sampai ke padang latihan skuad Negeri Sembilan. Latihan habis sedikit awal sekitar jam 6 petang kerana keesokan harinya mereka akan bergerak ke Pasir Gudang untuk perlawanan menentang JDTII. Jang melihat begitu jelas keakraban diantara semua pemain dan barisan kejurulatihan. Tiada yang berlagak star. Ini petanda positif.

Selepas semua dibenarkan bersurai, Jang memasuki padang latihan dan diperkenalkan kepada Bruno oleh pengurus pasukan, saudara Satwant Singh. Bruno kelihatan gembira dan bersedia memberi kerjasama. Agak sukar sebenarnya menemubual Bruno kerana kefasihan berbahasa inggeris beliau sedikit terbatas. Lagi-lagi Jang menggunakan bahasa inggeris tinggi Cambridge 1119. Mujur saudara Satwant, ketua jurulatih Asri Ninggal dan ketua keselamatan, Encik Anuar yang sudah biasa berkomunikasi dengan Bruno turut membantu menerangkan maksud soalan. Tugas Jang menjadi lebih mudah. Inilah namanya kerjasama.

Sebelum kita mulakan, JANG mengucapkan tahniah kerana diundi menjadi pemain terbaik bulan Februari PFAM untuk liga Perdana. Bagaimana anda memulakan karier sebagai pemain bola sepak? Adakah ianya sentiasa menjadi pilihan utama semasa kecil?

Iya..iya. Saya memulakan karier bola sepak saya ketika berumur 7 tahun. Saya menyertai pasukan remaja Gamba Osaka ketika berumur 16,17 dan 18 tahun dan menjadi pemain professional ketika menginjak umur 19 tahun. Urmm..bola sepak sentiasa menjadi pilihan saya ketika masih kecil. (ketawa)

Selepas beberapa pasukan di Singapura dan kemudian kembali semula ke FC Gifu di Jepun, apa yang menyebabkan anda ingin mencuba nasib bersama Negeri Sembilan di liga Perdana?

Urmmm.. ketika di Jepun, saya bermain bersama pasukan Albiirex Nigata tetapi saya tidak berpuashati hanya duduk dibangku simpanan, jadipada tahun 2010, saya telah dipinjamkan ke pasukan Albiirex Nigata Singapura dan berjaya membawa pasukan itu menjadi juara Singapore League Cup pada tahun 2011. Selepas beberapa tahun di Singapura saya kembali semula ke Jepun bersama FC Gifu di J2 dan kemudian saudara Jorg (yang baru dilantik menjadi Pengarah Teknikal PBNS) menghubungi saya bertanyakan jika saya mahu mencuba nasib di Negeri Sembilan dan saya terus datang tanpa keraguan. Saya sebenarnya pernah bermain dibawah Jorg sewaktu bersama pasukan Geylang International di Singapura dan saya percayakan beliau.

Anda menjaringkan banyak gol dengan semua pasukan yang anda wakili tetapi statistik 8 gol dalam 9 perlawanan diawal musim..adakah ianya memeranjatkan anda sendiri atau liga perdana ini mudah?

Ohh..hahaha..tidak..tidak mudah. Tidak mudah. Pemain tempatan sangat bagus, pemain import lain juga bagus jadi sebenarnya agak sukar bermain disini. Urmm..tetapi saya yakin akan terus menjaringkan gol  lagi selepas ini

Apa pendapat anda tentang prestasi pemain tempatan? Apa yang mereka perlu lakukan jika mereka mahu menjadi pemain professional diluar Malaysia?

Mereka sangat bagus (sambil memandang kepada rakan sepasukan yang sedang bersiap-siap selepas latihan) mereka boleh berlari dengan pantas.

Misi utama Negeri Sembilan adalah untuk naik ke liga Super dan setelah beberapa musim mencuba, masih lagi gagal. Adakah anda merasakan Bruno Suzuki akan membawa Negeri Sembilan keluar dari liga Perdana dan bermain diliga Super?

Boleh! (Bruno serius menjawap boleh)

Apa pendapat anda dengan reaksi penyokong terhadap anda sekarang? Tekanan?

Saya sangat-sangat gembira. Mereka tahu nama saya, mereka memanggil nama saya, mereka ingin bergambar dengan saya jadi saya rasa sangat seronok. Tiada tekanan! Saya tidak kisah jika tidak menjaringkan gol yang penting pasukan menang.

Bagaimana anda kekalkan stamina untuk terus cergas walau ketika bercuti?

Saya pergi ke gym. Bagi saya pemain harus kekalkan fitness level jika mahu terus memberi saingan dan menjadi professional.

Pemain import diambil untuk menguatkan pasukan dan membawa gol / kemenangan, itu adalah tugas utama anda. Apa lagi yang anda sebenarnya boleh berikan kepada kami, pemain tempatan terutamanya, untuk mereka belajar dari anda?

(Soalan ini agak sukar untuk difahami oleh Bruno. Mujur coach Asri Ninggal dan saudara Anuar serta saudara Satwant berusaha menerangkan maksud soalan)

Urmm..lakukan latihan extra selepas latihan bersama pasukan tamat. Urmm..latihan shooting, finishing dan mungkin kecergasan dengan berlari.

Anime/Manga yang anda mahu rekemen kepada peminat disini, studio Ghibli? Akira?

Hahaha..tidak! saya rasa saya tidak suka anime/Manga sangat. Bukan benci tetapi biasa saja. Studio Ghibli ya..sangat bagus. Anime Jepun sangat bagus tapi saya lebih suka football channel. Hhahaha.

Beritahu kami tentang tattoo anda.

Ini tentang kepercayaan saya, saya Katolik jadi ini gambar Jesus (sambil menunjukkan tattoo di lengan kirinya) Ini nama adik beradik saya, ini nama saya (di dada)

Boleh kami ambil gambar anda tanpa baju untuk dijadikan cover majalah?

No!! (Satwant, Anuar dan Asri serentak menjawab TIDAK dan kemudian semua ketawa)

Terima kasih dan selamat maju jaya Bruno Suzuki dan terima kasih kepada pengurus pasukan saudara Satwant Singh, ketua jurulatih saudara Asri Ninggal dan keselamatan saudara Anuar kerana membantu memudahkan temubual Majalah JANG.

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.