EKSKLUSIF: Sekolah Sukan bukan penjara, Universiti bukan persatuan.
4 min readBaru-baru ini Jang terbaca dan berkongsi satu rencana yang diterbitkan oleh media utama negara tentang lepasan sekolah sukan yang ke laut. Menyirap Jang baca tajuk yang menggunakan bahasa pasar. Sama macam Berita Sukan TV3 yang baru-baru ini menggunakan caption ala anak muda untuk menarik perhatian pembaca. Disinilah punca bahasa kita menjadi semakin terpinggir dan dianggap murahan apabila media utama tidak lagi mengangkat bahasa rasmi sebagai err..rasmi.
Walau selepas membaca isi kandungan rencana tersebut, ada mengatakan lepasan sekolah sukan menjadi nelayan, Jang masih anggap meletakkan tajuk ‘ke laut’ sebagai tidak sesuai.
Sebagai pengamal media sosial yang bertanggungjawab dan bermaruah, Jang terus menghubungi seorang tenaga pengajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) untuk mendapatkan komen tentang perkara tersebut. Kita namakan beliau sebagai Guru X dan beliau telah menjadi guru hampir 20 tahun di SSBJ sahaja. Maknanya hampir kesemua lepasan SSBJ pasti kenal dengan Guru X ini. Kalau tak kenal, maka sesuailah ke laut. Eh? Jang takpa, sebab Jang boleh.
“Ini isu lapuk yang dimainkan semula. Kami tidaklah mengambil pusing sangat berita-berita sebegini” kata Guru X lembut memulakan bicara sambil membancuh kopi.
“Tetapi itulah, kita mengambil masa bertahun-tahun membinanya dan dengan satu laporan sahaja mampu menjahanamkan semua. Nak membinanya bukan mudah, nak rosakkan senang sahaja. Laporan sebegini mampu menggugat reputasi dan kepercayaan ibubapa kepada sekolah sukan” tambah Guru X. Terpancar sedikit kekesalan dimuka suci beliau. Hampir 20 tahun berjasa kepada SSBJ, sudah tentu merasa sedikit terkilan dengan laporan tersebut, walau dimulut berkata tidak ambil pusing.
“Pihak alumni juga ada memberi respons dilaman FB mereka dan telah mengenal pasti bekas pelajar yang ditemuramah. Mereka telah membuat laporan Polis terhadap berita tersebut kerana dipercayai membuat laporan yang salah dan mengelirukan. Bagi saya, jika ada pihak media yang ingin membuat laporan, berjumpalah dengan persatuan alumni sekolah dan dapatkan berita yang lebih tepat”
“Katanya bekas pelajar tersebut adalah bekas pemain hoki SSBJ dan mahu memberi input penambahbaikan tetapi telah ditulis sebaliknya” kata Guru X yang berbadan sasa.
“Tetapi kenapa berita ini muncul tiba-tiba sahaja, adakah ada motif lain seperti mahu mengalihkan isu NFDP dengan menyerang Sekolah Sukan?” Jang cuba bertanya sambil cuba memusing berita. Jang takpa sebab Jang boleh.
“Wallahu a’lam bi-alshawab’ (Hanya Allah sahaja yang mengetahui kebenarannya dan manusia harus merendah hati) Jika motifnya mahu penambahbaikan, kami terima tapi bila baca tajuk ‘ke laut’ atau jadi pemandu, nelayan dan sebagainya, kami boleh persoal semula. Bila sebut ke laut bermakna tiada hala tuju, jadi nelayan atau pemandu. Sekolah Sukan asasnya sama iaitu memberi pendidikan kepada pelajar, hatta peringkat universiti sekalipun sama. Mana-mana yang tidak dapat masuk Universiti mesti bersebab seperti masalah disiplin, tidak cukup syarat asas, atau tidak ada program yang sesuai. Itu bukan salah sekolah. Persoalannya terpulang kepada kita bagaimana mahu masuk arus pekerjaan”
“SSBJ dan SSM ini sentiasa kene serang oleh pihak-pihak yang sentiasa tidak puashati, ada ibubapa yang anak tak terpilih pun buat cerita tak munasabah. Kita dah 20 tahun lahirkan atlit dan jika ada yang gagal, jangan salahkan sistem. Kita gagal, sekolah ke yang salah? SSBJ ada menyediakan kelas Pra-U semenjak lama dahulu. Kalau Bahasa Malaysia tak kredit, macamana nak lepas? ramai lepasan pelajar sekolah sukan yang masuk Universiti. Pergi lihat di UPM siap ada asrama khas untuk budak sukan UPM-SSM-KPM”
“Saya ada baca komen di FB kata ada murid tidur dikelas sebab penat bersukan?”
“Ya benar, apa yang peliknya? Kami sekolah sukan. Sukan adalah core business kami. Kami sediakan platform, kami keluarkan atlit untuk persatuan sukan di Malaysia. Persatuan sukan adalah vendor kami, samada mereka buat program atau tidak dengan lambakan ahli sukan, itu diluar bidang kami”
“Apa yang boleh disimpulkan dari rencana ini”
“Tidak ada apa, jika ada kemusykilan atau mahu bertanya lebih, sila datang berjumpa, tidak adil temubual dengan seorang bekas pelajar boleh membuat kesimpulan mudah untuk semua lepasan sekolah sukan” Ujar Guru X menamatkan perbualan.
Terima kasih Guru X.
Begitulah temubual ringkas sambil minum kopi di Teknologi Park. Jang rasa persatuan sukan juga harus mengambil langkah yang lebih proaktif dalam menyambut atau menyediakan platform untuk lepasan sekolah sukan yang tidak kemana-mana. Membiarkan mereka tanpa bimbingan adalah tidak manis. Sukan bukan satu industri di Malaysia dan tidak menjana wang yang banyak tetapi itu tidak bermakna boleh lepas tangan dengan tidak berbuat apa-apa. Lepasan sekolah sukan juga sama dengan lepasan sekolah lain termasuk SBP, hala tuju mereka selepas itu bercampur-campur. Ada yang berjaya dan ada yang menulis untuk blog bola.
Tapi kita jadilah manusia yang kurang komplen atau suka menyalahkan orang lain. Ingat! menjadi nelayan, juruwang, operator kilang, tulis blog atau jual rokok seludup bukan pekerjaan hina.
Jang,
Lepasan Henry Gurney