EKSKLUSIF! Zakry Latif turunkan ilmu Park Joo Bong ke akar umbi.
4 min readSelepas bola sepak, sukan badminton adalah sukan paling mendapat tumpuan dan mampu menyatukan umat Malaysia tanpa mengira batasan kaum dan agama. Masih segar teringat bagaimana satu Malaysia terpaku dihadapan TV memberi sokongan kepada pemain badminton negara ketika merebut pingat emas di Olimpik yang lepas.
Baru-baru ini Majalah Ultrajang merasa amat bertuah diberi kesempatan menemui dan menemubual seorang ikon badminton negara, Mohd Zakry bin Abdul Latif yang kini mengendalikan sebuah akademi badminton di X-Park, Bandar Baru Sendayan.
Zakry, 34 tahun, di lahirkan di Lenggeng, Negeri Sembilan, sudah pun berumahtangga dan mempunyai seorang cahaya mata. Sewaktu puncaknya, Zakry yang dulunya menjadi regu kebangsaan bersama pasangannya, Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari, pernah dilatih oleh empat lagenda beregu dunia, antaranya Rexy Mainaky, Park Joo Bong, Yap Kim Hock dan Razif Sidek.
Dengan pengalaman yang cukup luas, beliau kini telah bergiat aktif dalam bidang kejurulatihan dan aktif melatih bakat baru di Sendayan, Negeri Sembilan. Mari ikuti temubual bersama beliau.
Jang : Bilakah anda mula menceburkan diri secara professional dalam sukan badminton?
Zakry : Saya mula secara serius dalam dunia badminton seawal usia 13 tahun di mana semasa berumur 12 tahun saya pergi ke pemilihan BAM dan terpilih menjadi 8 pemain terbaik untuk diserapkan ke Akademi Badminton Malaysia di Taman Maluri, Cheras. Di sana saya berlatih sepenuh masa dan menjalani latihan berstruktur. Pagi kami berlatih kemudian di hantar ke sekolah dan petang kami berlatih lagi. Pada umur 14 saya mula mewakili kebangsaan dalam kejuaraan antarabangsa yang berlangsung di Thailand.
Jang : Adakah anda memang sukakan acara beregu dari mula pembabitan?
Zakry : Semasa di akademi ketika berusia 13 tahun, kami tidak diletak pengkhususan. Saya bermain dalam kedua-dua acara sama ada perseorangan dan beregu sekali. Selepas umur 18 tahun kami menghadiri satu lagi pemilihan untuk mewakili kebangsaan dan dari situ baru kami ditentukan sama ada bermain perseorangan atau beregu. Saya terpilih untuk bermain beregu.
Jang : Semasa mewakili pasukan kebangsaan sebagai pemain beregu, boleh anda kongsikan antara pencapaian tertinggi?
Zakry : Yang saya ingat antaranya menjuarai dua Kejuaraan Superseries di Indonesia dan di Singapura. Di Indonesia pada tahun 2008, kami berjaya memecahkan rekod untuk menang dalam acara beregu yang kali terakhir dimenangi oleh pasangan Razif dan Jailani pada tahun 1992. Umum mengetahui memang sukar untuk menang dalam acara beregu di Indonesia, mungkin memang rezeki kami untuk menang masa tu. Lagi satu antara pencapaian tertinggi saya mendapat tempat ke 3 (semifinalist) semasa kejohanan World Championships yang di adakan di India.
Jang : Kami dimaklumkan anda telah membuka Akademi badminton (Zakry Badminton Academy) di Xpark Bandar Baru Sendayan. Sudah berapa lama akademi ini di tubuhkan? Apakah matlamat utama akademi ini di tubuhkan?
Zakry : Sebenarnya Zakry Badminton Academy (ZBA) dah di tubuhkan sejak tiga tahun lepas di Negeri Sembilan. Matlamat utama kami adalah untuk melahirkan jaguh badminton supaya menjadi pelapis kemashyuran sukan badminton Malaysia.
Jang : Sehingga kini, berapa anggaran pelajar yang telah bersama ZBA?
Zakry : Sejak tiga tahun ni saya anggarkan lebih 200 pelatih yang menjalani latihan bersama kami. Menariknya pelatih saya melangkaui sempadan Negeri Sembilan sendiri. Mereka datang dari pelbagai negeri, malah ada yang datang dari luar negara untuk mendapat latihan professional.
Zakry sedang menasihati sebahagian anak didiknya.
Jang : Selain bersama ZBA, adakah projek-projek pembangunan yang anda terlibat?
Zakry : Ada juga, antaranya saya pernah bekerjasama dengan MRSM. Kami bertanggungjawab untuk mencari serta melahirkan pemain badminton dari kalangan pelajar MRSM. Semasa program tersebut, kami round MRSM satu Malaysia bagi mencari pelapis badminton negara.
Jang : Apakah pencapaian pelatih di bawah ZBA yang anda boleh banggakan?
Zakry : Banyak pencapaian sebenarnya, antaranya Zulaikha Idris yang telah menjadi juara Kebangsaan peringkat U16. Ada juga pelatih saya menjuarai Sukan Antara IPT (SUKIPT) dalam acara beregu. Ramai dari pelatih saya yang mewakili negeri masing-masing untuk SUKMA dan dalam berbagai kejohanan lain.
Jang : Cadangan anda, lingkungan umur berapa paling sesuai untuk menyertai ZBA?
Zakry : Bagi saya, jika seseorang itu dah ada basic, dah boleh main, maknanya dia memang dah sesuai berlatih secara serius dengan kami. Kami ada pelatih seawal umur 4 tahun untuk latihan beginner dan ada yang berlatih sepenuh masa dangan kami di usia 13 tahun.
Jang : Apakah corak latihan yang dipraktikkan di ZBA?
Zakry : Kami melatih pelajar dengan cara mengklasifikasikan pelajar dari beginner, junior dan elit dan untuk diterapkan latihan professional bagi melahirkan DNA badminton yang berkualiti. Untuk beginner dan junior kami kelaskan mengikut umur dan tahap prestasi semasa.
Jang : Bagaimana pula dengan Team Elit?
Zakry : Program ini khas untuk mereka yang training fulltime dengan kami. Mereka tinggal di asrama yang kami sediakan. Bagi mereka yang masih bersekolah, kami daftarkan mereka di Sekolah Seri Sendayan dan bagi mereka yang telah tamat persekolahan, jadual mereka kami susun untuk menjalani latihan secara professional. Keselamatan, pengangkutan ke sekolah, semuanya kami uruskan. Kami juga mengamalkan disiplin professional contohnya tidak boleh merokok dan mereka mesti mengikut peraturan yang ditetapkan.
Jang : Wow. Ada asrama ya kat sini? Kapasitinya untuk berapa orang pelatih?
Zakry : Kami boleh menampung seramai 40 orang pelatih. 20 lelaki dan 20 wanita. Asrama yang disediakan di X-Park ni adalah untuk pelatih ZBA dan mana-mana pemain yang perlukan tempat tinggal sementara.
Jang : Jika ibubapa ingin anaknya mengikuti program ZBA, apa yang ZBA tawarkan?
Zakry : Kami tawarkan latihan yang berformat. Saya bersama pembantu jurulatih saya saudara Bagus Harianto dari Indonesia akan mengawal selia setiap program. Pasukan kejurulatihan kami ramai termasuk di bantu oleh Arif latif, Nairul Shuhada dan Nairul Atirah. Prestasi pelatih akan bergantung juga dari bakat dan usaha pelatih itu sendiri untuk memajukan diri. Kami sarankan agar ibubapa menghantar anak seawal usia muda agar dapat digilap potensi sebenar mereka.
Jang : Jika sesiapa yang berminat untuk menyertai ZBA, dimana boleh hubungi anda?
Zakry : Kepada yang berminat untuk sertai ZBA, boleh hubungi kami di facebook Zakry Badminton Academy dan boleh direct contact staff saya di talian 013 7509945 ( Seri Atikah).
UltraJang mengucapkan selamat maju jaya kepada saudara Zakry Latiff Badminton Akademi dan semoga beliau dapat melahirkan lebih ramai jaguh badminton negara yang berjaya sepertinya. Jangan biarkan bakat anak anda habis dimakan usia, hantarlah ke akademi untuk asuhan yang betul.