December 11, 2024

FAM: What The F30?

4 min read

Semalam FAM melancarkan Peta Hala Tuju atau Roadmap FAM yang diberi nama F:30, dengan perencanaan menjadi lima negara terbaik Asia menjelang 2030. Akhirnya satu perancangan atau blueprint yang dinyatakan dengan jelas tentang hala tuju bola sepak negara telah dirangka. Antara hari ini ke tahun 2030 kita ambil kira ada lebih kurang 11 tahun 2 bulan lagi untuk FAM mencapai sasaran utama iaitu menjadi lima negara terbaik Asia.

Jika dilihat 11 tahun 2 bulan ni bukanlah terlalu lama dan kalau nak dikirakan secara matematiknya pemain-pemain yang akan merealisasikan sasaran ini sekarang berada di sekolah menengah malahan ada juga di sekolah rendah. Ia bukanlah sesuatu yang mustahil, tapi ia juga bukan kerja mudah. Ibarat pakwe semester 1 muka nerd nak mengurat kakak senior semester akhir diva kolej dengan niat nak dijadikan suri hati hingga ke pelamin. Yang perlu adalah usaha berterusan tanpa putus asa. Sejarah membuktikan usaha yang berterusan akan membuahkan kejayaan, tapi kadang-kadang pelamin anganku musnah kerana bertunang lama sangat.

Terdapat pelbagai komen positif serta negatif sebenarnya. Yang negatif ni biasanya akan lebih menonjol.

“Itu je?? aku MC hari ni sebab benda ni je? Hanaattttt. ” Joe Badak komen dekat page FAM

“Alaaa setakat tukar font macam ni adik aku umur 5 tahun boleh buat” kata Din Pogba dengan sinis.

Macam-macam lagi komen negatif yang menghentam usaha yang baru sahaja ingin bermula. Itupun hanya selepas 5 minit FAM menaikkan posting pelancaran F:30.

Lima (5) minit.

Lima minit satu posting Facebook dan tadaaaaa, maki hamun sahaja yang penuh. Dalam masa lima minit tu entah dekat mana dibaca tentang plan yang dirangka? Kalau dah baca, faham ke?

Punyalah bermasalah penyokong bola sepak Malaysia sampaikan hanya satu posting pelancaran F:30 boleh menjadi asbab kegagalan bola sepak negara secara berterusan. Entah dah gila atau sebenarnya kita terlalu berharap hinggakan pungguk juga mampu memeluk bulan di pangkuan. Bukanlah dikatakan F:30 akan menjadi asbab kejayaan bola sepak negara secara total sebaris dengan Brazil, German atau Speanyol. Tapi apa yang boleh dilihat adalah adanya perkembangan positif dan rancangan yang dirangka FAM bawah Presiden baharu. Ia juga diwar-warkan kepada umum. Maknanya FAM sedang memberitahu kita semua, mereka sedang bekerja. Tapi, biasalah. Bila terlalu banyak kegagalan demi kegagalan memang menjadi lumrah perkara negatif akan di nyatakan terlebih dahulu. Padanlah juga dengan muka FAM tu sebenarnya. Biar mereka sedar bahawa dendam amarah penyokong bola sepak tempatan sedang menunggu masa untuk diluahkan.

Persoalan paling banyak dan sinikal adalah; ASIA JE? WORLD CUP BILA?

Memang benar kita semua terlalu berharap untuk pasukan kebangsaan bermain di World Cup, namun kita perlu berpijak dibumi nyata bukan terawang-awang di kayangan seperti baru lepas menghidu gam. Budak hidu gam pun boleh bermuram bila bercerita tentang Malaysia ke Piala Dunia. Menangis teresak-esak budak tu sambil hidu gam. Sebagai penyokong, menjadi tugas tidak berbayar untuk mengkritik namun bukan bermakna buat kepala tahu tentang apa yang berlaku.

Realistik.

Inilah yang dinyatakan Presiden FIFA semalam. Dalam bola sepak segalanya tidak boleh dicapai sekelip mata. Ia perlu dilakukan secara berterusan dan seterusnya mencapai sasaran yang ditetapkan dan yang paling penting ia perlulah realistik. Lima terbaik Asia dilihat seakan sasaran yang paling rasional dan realistik buat masa ini. Jika dilihat pada World Cup 2018, terdapat 5 wakil dari Asia yang bersaing diperingkat akhir.

Ya LIMA. Bila tulis lima huruf besar tu macam pameran kapal terbang kat Langkawi tu pula rasanya.

Maka, dengan 5 slot yang ada, sasaran berada di kedudukan 5 terbaik Asia dilihat sebagai paling rasional ketika ini. Kalau satu persamaan linear di tulis, 5 terbaik Asia maknanya kita mampu ke World Cup selepas tahun 2030. Ini berdasarkan pandangan kasar. Kurang-kurang World Cup 2034. Harapnya. Tapi bukanlah dikata dapat top 5 Asia tu kita boleh terus ke World Cup. Tidak, kita tetap perlu melalui fasa-fasa perlawanan kelayakan. Tapi kita boleh berharap kerana kita berada di tahap dan ranking yang baik di Asia.

Ia adalah satu usaha berterusan dan yang paling penting ialah telah adanya satu permulaan. Ini adalah satu larian marathon. Bukannya larian pecut 100 meter. Sedangkan Pogba mengambil masa 9 saat untuk menyempurnakan satu sepakan penalti untuk diselamatkan penjaga gol, namun Pogba mendapat peluang kedua 2 saat selepas itu. 11 tahun tak lama. Apa yang perlu ialah F:30 diberikan satu peluang sehingga ke garisan penamat. Peluang yang selama ini telah diberi kepada FAM bawah pengurusan lama selama 30 tahun, kini peluang yang sama juga perlu diberi kepada FAM baharu tapi dengan hanya tempoh 11 tahun 2 bulan.

Itupun jika F:30 bukan lagi satu projek gajah putih, kambing hitam, badak kuning dan macam-macam binatang lain yang terkini dari FAM. Diharap F:30 bukan satu penulisan kemas dan sekadar font baru DP page FAM di Facebook. Bukan juga sekadar majlis gah yang mampu menjemput Presiden FIFA serta AFC untuk bersama-sama meletakkan tapak tangan diatas kaca untuk perasmian serta menjadi tajuk berita waktu perdana dan menghiasi bahagian belakang media cetak. Selepas itu bersuka ria pula bergelak ketawa di meja banquet sambil makan karipap serta nasi beriyani kambing.

F:30 perlu diberi peluang. Kerana ia satu usaha untuk mencapai matlamat yang FAM sendiri tetapkan. Yang patut dimarah apabila tiada satu pun hala tuju jelas dalam meningkatkan mutu bola sepak negara. Apabila telah adanya satu perancangan maka ia sesuatu yang positif dan menunjukkan visi dan misi yang jelas telah ditetapkan oleh mereka sendiri.

Penyokong telah lama menunggu dan bersabar. F:30 dilihat sebagai satu hala tuju yang dirangka dan disasar secara realistik. Namun, jangan dicabar kesabaran untuk 11 tahun yang akan datang. Jangan diragut kesabaran peminat bola sepak yang dahagakan kejayaan. Usaha hingga berjaya atau berdepan kritikan-kritikan yang penuh dendam amarah. Mungkin lebih teruk dari itu. Moga F:30 mencapai matlamatnya atau FAM akan terus dicaci maki peminat bola sepak tempatan.

Kerusi empuk FAM bukanlah ibarat kerusi di Istana, tapi ia ibarat kerusi kayu marhaen yang menunggu masa disepak terajang kerana gagal menzahirkan kemajuan dan kejayaan.

Hanya masa yang mampu menentukannya. Majulah bola sepak untuk negara. Bola sepak kita, wajah kita.

Text: Abang Dinoso

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.