September 14, 2024

FELDA UNITED BUBAR, TINGGALKAN AKADEMI DAN STADIUM MAHAL UNTUK JOM HEBOH.

4 min read

Oleh Cech Adrea

Ketika pemerhati bola sepak tempatan teruja untuk melihat semua pasukan Liga Malaysia mencapai status penswastaan musim depan, ada pula berita sedih tentang pembubaran pasukan Felda United.

Kalau difikir-fikir, isu penarikan diri Felda United mungkin tidak mengejut mana pun. MPPJ Selangor yang pernah memenangi Piala Malaysia pun boleh dibubarkan macam tu je, apatah lagi kelab-kelab yang mempunyai achievement average macam Felda United. Namun begitu, Felda United sebenarnya memang sebuah kelab berdaya saing tinggi, pernah memenangi Liga Perdana 2010 dan 2018, juga naib juara Piala FA 2007 dan merupakan antara pasukan yang pernah bermain di Piala AFC.

Mengejutkan, pentadbiran anak syarikat Felda, iaitu Felda United FC diambilalih penuh oleh Felda sebelum pengurusan baru memberhentikan kebanyakan pegawai pentabiran atas alasan Covid19. Kemudian, mengumumkan penarikan diri daripada saingan musim 2021. Sedikit menimbulkan tanda tanya kerana Felda United adalah antara pasukan awal yang melengkapkan proses penswastaan dan diberi lesen kelab kebangsaan untuk bermain di Liga Malaysia musim 2021. Kenapa tiba-tiba ubah perancangan? Tambah pula dengan cerita  drama ala-ala tabloid, katanya pejabat FUFC dipecah masuk dan ada dokumen hilang.  Walaupun pentadbiran sudah menafikan perkara itu bulat-bulat, namun ini tetap timbulkan macam-macam spekulasi.

Pengambilalihan FUFC oleh Felda adalah bagi mengawal perbelanjaan dan penyelarasan kewangan. Jelas, punca pembubaran Felda United adalah kerana masalah kewangan. Mungkin sebuah kelab bola sepak yang mempunyai stadium canggih dan akademi sendiri ini tak penting mana pun untuk syarikat besar macam Felda. Jadi, bila ada masalah kewangan, apa yang tak penting kena la letgo. Macam kita beli barang di Tesco. Bila tak muat bakul, benda yang tak penting kena la letak balik, macam pisau cukur. Walhal pisau cukur tu penting bila tiba waktunya.

Bukanlah untuk menjadi terlalu personal dengan pendapat peribadi, tapi di sini, kita dapat nilai mana satu prioriti Felda, apa yang penting dan apa yang tak penting. Pelik, kenapa sekarang baru tentukan apa penting dan apa tak penting? Selepas pembinaan stadium berharga 92 juta, selepas Felda ada akademi bola sepak sendiri, semua tu dianggap tak penting? Rancangan-rancangan lanjutan (continuous plan) ubi-ubi muda Felda United semua ni tak penting? Persoalan-persoalan ini buatkan saya secara personal rasa ralat. Ini macam kerja separuh jalan.

Memang prestasi Felda United musim ini seperti segalanya tidak menjadi, berada di tangga kedua tercorot. Jadi, andaikata Felda United tak tarik diri, mereka akan turun ke liga perdana. Itu mungkin cuma menjadi asbab, tetapi tetap juga bukan alasan bernas untuk menjurus kepada pembubaran kelab. Untuk rekod, Felda United sudah dua kali bermain di liga perdana pada 2010 dan 2015. Membuat kejutam pada 2016 selepas naik semula ke Liga Super mereka bangkit menjadi naib juara liga super. 

Penarikan diri Felda United mendapat perhatian luas pemerhati bola sepak. MFL sendiri merayu supaya Felda United memikirkan semula keputusan menarik diri itu.

Seakan mengimbau semula kata-kata pemuda Umno Zoolihsan Ahmad di Perhimpunan Agung Umno 2017 yang mencadangkan pembubaran Felda United, kini ia benar-benar berlaku. Felda United sudah sah menarik diri dari beraksi di Liga Malaysia musim 2021 langsung membubarkan kelab yang menjadi antara pesaing Liga Malaysia sejak 13 tahun dulu. Mungkin benar kata wakil Umno itu dalam cadangannya, menyifatkan peruntukan kepada Felda United boleh digunakan kepada pembangunan perkara sepatutnya yang lebih bermanfaat. Adakah pembangunan akar umbi anak-anak felda bukan satu pembangunan bermanfaat? Adakah pembangunan stadium Felda bukan satu kemajuan yang seterusnya membuka banyak peluang pekerjaan? Bukankah itu juga banyak manfaatnya. 

Bercakap tentang pembangunan, dari sudut internal pembangunan sahsiah anak-anak Felda, bukankah membangun anak-anak peneroka melalui Akademi Bola Sepak Felda juga perlu? Tambahan pula, akademi dan kelab sudah ada engagement yang baik. Bukankah ini menjurus kepada pembangunan masyarakat Felda sendiri? Memetik artikel Dr Pekan Ramli yang juga pengulas Fox Sport, katanya seramai 70 pelatih masih bersama akademi dan ada 300 rancangan serupa menunggu untuk dijalankan. Mungkin bagi sesetengah pihak ini bukanlah satu pembangunan. Danial Amier, Kallamullah Al-Hafiz, Ali Imran adalah antara hasil Akademi Bola Sepak Felda Institut Semarak Felda, Bangi, Ramai lagi ubi muda Felda United mempunyai masa depan cerah. Nama Daniel Amier contohnya, pernah bermain untuk Malaysia di kempen Sukan Sea. Figure sama itu turut menjaringkan gol tunggal perlawanan terakhir Felda United di Liga Super musim 2020 ketika tewas 1-6 di tangan Selangor, menjadi sekadar memori 13 tahun Felda United.

Pemain-pemain akademi ini adalah terdiri daripada anak-anak peneroka dan staf Felda sendiri. Pemantapan skuad melalui pemain muda terbukti ketika era 2015 selepas Felda United berjaya naik semula ke Liga Super di bawah kendalian Irfan Bakti, diadun dengan pemain senior ketika itu Indra Putra dan Shukor Adan. Felda United berjaya ke separuh akhir Piala Malaysia 2015, musim berikutnya berada di tangga ke-2 Liga Super melayakkan mereka bermain di Piala AFC.

Menyentuh semula soal pemantapan anak-anak Felda melalui akademi bola sepak, di mana penelitian semula hal ini bila Felda United dibubarkan? Benar, pengurusan baru ada memberi kenyataan bahawa, Akademi Bola Sepak Felda akan tetap diteruskan sebagai pembentukan bakat baru generasi Felda. Namun, ia kelihatan sudah tidak lagi menyeluruh. Takut jadi macam lambakan pelajar universiti, habis kuliah balik menganggur. Lain jika sudah ada persiapan kelab yang menunggu pemain-pemain akademi ini. Sayang sekali, kerana rancangan Felda United dan produk akademi sebelum ini sudah terbukti menjadi. 

Itu belum lagi cerita tentang rancangan pembinaan stadium berharga 92 juta. Nampak gayanya jadi venue konsert Jom Heboh je lah lepas ni. 

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.