October 13, 2024

Final Piala Malaysia: Jangan salahkan FA jika tiket tidak turun ke riba

4 min read

Kemelut tiket perlawanan akhir dalam liga professional negara kita seperti tidak berpenghujung. Ketika Final Piala Malaysia masih berbaki 2 hari sebelum sepak mula, telah kedengaran cakap-cakap penyokong tidak mendapat tiket. Tidak kira dari belah Perak mahupun Terengganu. Mengeluh ke seluruh alam maya, merungut tidak mendapat tiket perlawanan akhir. Sudah menjadi satu perkara wajib pula keluhan penyokong tentang tiket final yang tidak berjaya dimiliki. Habis semua pihak dimakinya, habis semua benda dimarahnya, semut yang sedang menghurung kailan ikan masin diatas lantai juga jadi mangsa caci maki peminat bola sepak yang tidak mendapat tiket final. Mujur tiada yang hilang pedoman lalu menyalahkan tuhan.

Persoalannya siapakah yang bersalah dalam hal ini? Pengurus Liga bola sepak negara? Persatuan Negeri? Penyokong Setia? Penyokong Final? Ultras? Semut tadi? pakcik jual tiket di kaunter atau mungkin Rela yang bertugas mengawal keselamatan? Jika diteruskan senarai yang boleh disalahkan boleh membawa ke esok pagi untuk ditaip dalam satu ruangan page bola sepak paling unggul abad ini. Tak jilat, tak maki, tapi memberi dengan santun menusuk kalbu jiwa seorang lelaki.

Menjadi kebiasaan manusia menyalahkan lebih mudah dari muhasabah diri. Kenapakah masalah tiket ini sering berulang dan menjadi bencana besar untuk peminat bola sepak Malaysia?

1. Penyokong

Terdapat pelbagai kategori penyokong di Malaysia yang diklasifikasikan mengikut kehendak dan keseronokan masing-masing. Ultras cakap budak datang stadium tak berjoget tak true. Yang datang stadium tengok bola dan makan kuaci kata Ultras bukan budaya ketimuran yang baik. Pakcik datang stadium kata budak-budak semua poseur. Ahhh semua nak kata dia paling true. Pergi matilah dengan orang lain asalkan diri sendiri puas. Ini masalah penyokong negara ni, tapi bila game awal-awal haram stadium tak pernah penuh. Baik Ultras, baik budak kuaci mahupun pakcik. Kalau penuh pun dia ikut game. Kalau game tu sedap berjujut-jujut dia ke stadium bergambar upload dekat IG, Twitter, Facebook segala bagai. Kalau game ibarat sekadar lauk ikan masin yang mak masak sebab ayah belum gaji, jeling pun dia taknak. Kalau siapkap tiga rasa, perghhhh, laju dia pelahap. Kau tak setuju? Bukan aku pedulik persetujuan kau tu. OK balik kepada hal penyokong tadi. Bila final mulalah semua berebut-rebut nak ke stadium. Tiket ada 80,000 kalau bahagi 2 pun satu team dapat 40,000. So dasarnya memang 40,000 orang je boleh dapat tiket. Kau nak tiket, kau usahalah sebaik mungkin. Ini tidak, bila orang dapat tiket kau kata macam-macam. Kononnya selama ni tak datang stadium, turun bila final je. Tapikan, dah nama pun final takkan kau harapkan 300 orang je yang turun macam biasa? Kau punya pemikiran okay ke tak sebenarnya tu?

2. Penjualan Tiket

Sistem penjualan tiket bola sepak negara ni seakan-akan tidak efisyen. Tiket diberikan kepada FA masing-masing dan dijual di negeri masing-masing tapi main di negeri lain. Habis tu budak yang duduk Lembah Klang macam mana? Eleh, boleh je beli online. Haaa, ini masalahnya beli online betul dah, tapi bilangan penjualan tiket secara online tu yang terhad dan tidak terkawal. Makanya untuk memudahkan pengurusan jualan tiket diserah kepada FA masing-masing yang pejabat pengurusannya terletak di negeri asal pasukan yang bertanding. Maka biasanya yang merungut ni kumpulan penyokong yang berada luar dari negeri asal. Tapi masalah lain pula timbul. Terdengar pula cakap-cakap (hearsay) ada VIP dapat tiket banyak-banyak dan beri percuma kepada budak-budak dia. Biasanya orang politik buat macam ni. Kenapa berlaku? Senang, tiada jaminan yang tiket diberikan kepada FA boleh habis dijual kerana berdasarkan purata kehadiran ke stadium selama ini hanyalah pada kadar yang amat rendah. Untuk memastikan tiket yang diterima habis dijual, maka FA akan menjual sahaja kepada sesiapa yang ingin membeli dengan banyak @ cash. Dalam hal ini ia lebih kepada perniagaan. Pedulik apa pada kau kalau tak dapat stadium sebab selama ni FA jual tiket tak habis pun. Berdasarkan trend lepas maka FA akan melepaskan tiket kepada VIP atau sesiapa yang boleh membayar dan tiket yang ada dapat dihabiskan. Ini hanyalah pandangan paling mudah dan paling positif untuk mendefinisikan kepada sikap kutu yang upload gambar dekat media sosial dengan tiket berates-ratus keeping lalu menyakitkan hati kau. This is business bang, kehendak kau FA tak peduli. Duit tiket tu boleh buat banyak benda.

Cukuplah dua dulu perkara major dan paling mudah nak faham, tak perlulah aku pergi sampai ke Persamaan Linear, Alfa Gronbarch, Spearman Correlation, Normality Test segala benda. So macam mana nak selesaikan? Sebenarnya senang je tapi entah kenapa dekat Malaysia perkara ini kurang diamalkan dan menjadi trend. Sebenarnya FA boleh saja memulakan Keahlian Kelab Penyokong secara rasmi.

Kelab Penyokong Rasmi

Melalui keahlian kelab penyokong secara rasmi sebenarnya mampu menyelesaikan kemelut penjualan tiket secara khususnya tidak kira apa perlawanan pun. Perkara ini telah diamalkan dengan meluas di kelab-kelab luar negara. Real Madrid misalnya mempunyai kelab penyokong yang digelar Madridistas yang dibuka keahliannya ke seluruh dunia. Salah satu kelebihan menjadi menyertai Madridistas adalah keutamaan dalam memperolehi tiket terutamanya perlawanan-perlawanan sepanjang musim serta perlawanan-perlawanan peringkat kalah mati. Makanya keahlian adalah bersifat ekslusif dengan yuran keahlian yang tertentu. Kau google lah website Real Madrid tengok apa yang ada kalau join. Selain itu kelab terkemuka dan power ya amat seluruh dunia seperti Liverpool juga membuka keahliannya. Sekali lagi keutamaan mendapatkan tiket perlawanan adalah perkara utama malahan dibuka secara eksklusif untuk warga Liverpool hinggalah ke luar negara. Setiap keahlian terdapat “perks” tersendiri berdasarkan yuran komitmen yang dibayar mereka. Bukan saja tiket, keutamaan membeli jersi, merchandise dan sebagainya juga termasuk dalam kelebihan menjadi ahli. Kelab-kelab lain juga ada, malaslah aku tulis semuanya lebih-lebih lagi Manchester United yang baru saja kalah home perlawanan UCL dua malam yang lalu.

Jadinya mengapa perkara seperti ini tidak diamalkan di Malaysia? Selain dapat menjamin tiket untuk penyokong setia, ia juga mampu menjana pendapatan untuk FA. Bukankah sebagai penyokong kau patut bantu kelab kau untuk terus berdaya saing diperingkat glokal dan global?

Inilah cara paling mudah buat masa ini untuk menyelesaikan isu tiket dan sedikit sebanyak membantu FA mendapat pulangan dari penyokong. Selain itu ia juga akan dapat meningkatkan rasa cinta dan sayang pada pasukan. Takkan bayar yuran keahlian ekskulsif untuk pasukan yang kau sokong pun kau kata FA kapitalis dunia patut dihumban ke neraka?

Atau kau sebenarnya memang penyokong Final semata?

oleh: Abang Dinoso Milner

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.