December 11, 2024

Final Piala Malaysia: Siapa buat Penyu menangis?

6 min read

Pertama-tamanya sekali, tahniah diucapkan kepada seluruh rakyat Perak diatas kejayaan pasukan bolasepak mereka memenangi perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 Sabtu tempohari. Tahniah juga untuk pasukan Terengganu yang telah buat sehabis baik dan berjuang sehingga akhir perlawanan. Adat bertanding, ada yang menang dan ada yang kalah. Yang menang akan terus bersorak, yang kalah terus meratap. Apa sahaja yang dirasakan tidak adil buat mereka, itulah alasan yang akan digunapakai untuk memujuk hati yang luka. Yang menang akan terus bercerita kehebatan pasukan mereka. Ya, mungkin akan jadi kisah “evergreen” untuk diceritakan keanak cucu betapa hebatnya final Piala Malaysia 2018 ini.

Terus-terang aku katakan malam itu adalah malam paling panjang dan paling menyesakkan dada aku sepanjang 37 tahun aku hidup. Aku akui separuh masa pertama adalah milik Terengganu secara total. Asakan tanpa henti minit pertama sehingga menyebabkan pertahanan dan penjaga gol Perak membuat dua kesilapan mudah yang pada hemat aku, kesilapan begitu hanya berlaku bila Loris Karius sahaja bermain. Aku rasa kalau Perak yang bermula segarang itu pada separuh masa pertama, Terengganu juga mungkin hilang punca. Tempo permainan yang agak laju pada separuh masa pertama menyebabkan perlawanan menjadi panas kerana beberapa insiden. Aku tidak salahkan pemain-pemain pada awal permainan diatas insiden ini. Terengganu mengasak, Perak cuba “regroup” dan mengatur kembali tempo permainan. Jadi berlaku beberapa kekasaran serta perang mulut pada awalnya.

Tetapi kegagalan pengadil malam itu untuk berlaku adil terhadap kedua-dua pasukan sememangnya mencacatkan perlawanan secara keseluruhan. Aku tak mahu sentuh pengadil menyebelahi siapa, kalau kita saksikan statistik “foul” separuh masa pertama, cukuplah aku katakan yang “foul” keatas pemain-pemain Terengganu dipandang sepi sahaja oleh pengadil. Depan mata kau pemain tergolek pun pengadil terlajak tenang dan meneruskan perlawanan. Aku cemburu betul dengan ketenangan yang dimiliki pengadil malam itu. Aku mahukan ketenangan sebegitu dalam hidup. Siapa ada nombor telefon dia aku nak call dan tanya apa rahsia dia bertenang sebegitu rupa?

Semua ketegangan bermula selepas gol penyamaan Perak dibatalkan oleh pengadil. Kalau mengikut view tempat duduk aku di stadium malam itu, ya mungkin sebab aku penyokong Terengganu jadi pendapat berat sebelah aku menyatakan itu foul keatas penjaga gol atau mungkin juga soft foul. Kalau aku jadi pengadil berkecuali, aku memang akan ikut budi bicara dan pengetahuan aku untuk membuat keputusan samada gol itu foul atau tidak. Pemain-pemain Perak waktu itu sudah seakan-akan merusuh terutamanya penyerang mereka Gilmar. Tindakan Gilmar provokasi pengadil pada aku agak keterlaluan. Marah itu biasa, maki itu juga biasa. Kalau aku jadi pemain aku akan maki dan pertikaikan keputusan pengadil. Tapi provokasi Gilmar melibatkan fizikal. Beberapa kali dia membuat sentuhan dengan pengadil. Kalau seorang pengadil professional yang mengikut piawaian serta undang-undang bola sepak, aksi sebegitu sudah melayakkan dia untuk mendapat kad merah. Thank God, pengadil cukup tenang macam yang aku cakap tadi. Beruntung betul siapa yang jadi isteri pengadil ni.

Terjahan-terjahan keras, kekasaran demi kekasaran membuat permainan semakin panas. Pengadil? Ya, dia seperti biasa masih tenang. Berapa kali pemain cedera dalam padang dan bila pemain-pemain minta perlawanan dihentikan seketika dia buat “dang” sahaja teruskan permainan. Ditambah lagi dengan pihak lawan juga berat untuk menghentikan perlawanan kerana terdesak ingin mencari gol membuatkan keadaan menjadi semakin tegang. Disini baru kita lihat pengadil seperti terkejut dari lamunan dan terus menghukum penyerang Perak dengan kad merah. Tak perlulah aku huraikan kenapa dia dapat kad merah. Tengoklah balik banyak kali apa yang terjadi. Tapi biasalah, mestilah kau akan buat pertimbangan sebagai penyokong yang bias. Itu biasa, siapa-siapa pun begitu. Takkan nak kondem pemain sendiri ye dak? Selepas Perak, giliran pemain Terengganu pula dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua. Yang ni dengan hati terbuka aku akui dia lah punca awal kekalahan Terengganu. Dia sepatutnya bermain dengan tenang kerana kelebihan bermain dengan 11 pemain berbanding Perak dengan 10 pemain. Tapi mungkin dia lupa dia sudah memungut kad kuning dan lepas tu mungkin dia perasan dia tu Conor McGregor maka di”peteh”nya kaki orang dua tiga kali berturut-turut. Pengadil yang tadi tenang, terus terganggu dan tanpa teragak-agak bagi dekat pemain Terengganu yang juga MMA Fighter tadi kad kuning kedua dan seterusnya kad merah.

Terengganu terus hilang punca dengan ketiadaan Lee Tuck yang pada awalnya mengawal bahagian tengah. Perak yang mendapat gol awal separuh masa kedua terus mengasak mencari gol penyamaan. Keadaan bertambah buruk buat Terengganu bila penyerang paling padu dalam Piala Malaysia 2018, Tcheche Kipre mengalami kecederaan hasil dari perlanggaran dengan penjaga gol dan pertahanan Perak. Terus diangkutnya keluar dan digantikan dengan Ashaari Shamsuddin. Nampak sedikit hidup permainan Terengganu dengan kemasukkan Ashaari tapi tiada penyudah yang ampuh selepas ketiadaan Kipre. Itu masalah Terengganu, tiada penyerang berwibawa selain Kipre. Masa sebenar sudah tamat, Perak masih rancak menyerang. Masa ni dada aku sakit belah kanan, takkan nak sakit jantung pula getus hati aku. Dengar pula pengumuman tambahan masa 5 minit!!

Perkara yang paling ditakuti penyokong Terengganu waktu itu menjadi kenyataan. Minit ke-93 Brendan Gan menyamakan kedudukan dan seluruh penyokong Terengganu terdiam. Sama diam macam penyokong Perak waktu separuh masa pertama tadi, bungkam. Masa ni dalam hati dah berkata, sepanjang aku tengok Terengganu lawan dari kecil sampai besar, tambahan masa ni nasib payah nak menyebelahi Terengganu. Tambahan masa separuh masa pertama seakan ada sinar bila Faiz Nasir merembat padu kepenjuru gol untuk gol ketiga Terengganu. Seluruh penyokong hilang akal, kami histeria. Tapi masih ada 15 minit untuk separuh kedua.

Sekali lagi tuan-tuan, sekali lagi. Kelebihan Terengganu diragut tatkala beberapa saat sahaja lagi wisel ditiupkan. Kesilapan Igor Zonjic serta kegagalan komunikasi dengan penjaga gol menyaksikan Igor tertampan bola kedalam gawang sendiri. Seluruh warga Perak pula dilanda histeria. Kami di kem Terengganu yang tertunduk tidak percaya ini semua boleh terjadi dalam saat terakhir permainan. Tetapi gol sendiri ini dicemari dengan aksi “celebration” yang pada pendapat aku sangat tidak professional. Dua pemain import Perak dengan biadab meraikan gol didepan Igor sambal membuat aksi “Degeneration X” sebagai mengejek Igor yang dikatakan sebelum itu ada membuat provokasi, kata mereka lah. Aku pun tidak pasti provokasi yang bagaimana.

Tapi kalau benar sekalipun, bila lawan kau menjadi beruk sebelum tu, adakah engkau juga ikut jadi beruk? Atau kau boleh membuat pilihan untuk kekal jadi manusia dan biarkan lawan kau nampak bodoh kerana perbuatan dia? Tidak, kalau lawan menjadi beruk sebelum itu, maka engkau jadi beruk juga setelah berjaya mendapat gol penyamaan. Maaf cakap, hal ini aku boleh berdebat dengan kau untuk 20 tahun kedepan yang tindakan dua pemain Perak itu sangat tidak professional. Ketepikan kad kuning dari pengadil sebagai hukuman keatas aksi “celebration” itu. Itu dah memang tugas dia. Tapi setelah berfikir sebagai lelaki dewasa yang penuh waras, aku faham kenapa dua pemain itu bertindak sedemikian. Tekanan perlawanan akhir sangat tinggi, pengadil pula dikira gagal secara total. Perak terdesak mendapatkan gol waktu itu. Tiada pemain yang bisa menjaringkan gol tatkala perlawanan berbaki beberapa saat saja. Atas ehsan kegagalan pertahanan Terengganu mengekalkan disiplin bertahan, Perak mengambil peluang yang amat sedikit itu untuk diterjemahkan kepada gol penyamaan, sumbangan Igor Zonjic.

Dan untuk rekod, penentuan sepakan penalti bukanlah forte Terengganu. Terengganu ini lebih terkenal dengan open play dan raja “comeback”. Keputusan memberi tugas sepakan penalti yang pertama kepada Igor adalah satu kesilapan yang maha besar pernah dilakukan Terengganu. Member tengah down penyebab own goal, kau suruh dia ambil penalti? Baler.

The rest is history, 2 penalti Terengganu berjaya diselamatkan penjaga gol Perak sekaligus menebus kesilapan melepaskan dua goal mudah. Dan Terengganu sekali lagi mengulangi skrip 1998, tewas pada penentuan sepakan penalti pada pasukan yang sama, Perak. Pengajaran yang amat berguna buat Terengganu supaya lebih berdisiplin dalam bertahan serta tidak sekali-kali alpa dan memandang rendah pihak lawan. Satu perlawanan yang sangat epik pada aku. Atau tidak keterlaluan kalau aku panggil ini final of the century dalam bola sepak Malaysia. Tahniah kepada kedua-dua penyokong pasukan yang sangat sporting, berhemah, berdisiplin dan saking menghormati semasa di stadium. Sampai ketemu lagi musim hadapan. Kami akan kembali dengan lebih kuat dan bersedia Perak!!

Artikel oleh : Jarr Nadjmuddean
Facebook : Jarr Nadjmuddean
Twitter : @JarrNadjmuddean
IG : @Jarr9881

Gambar: NSTP

0Shares

2 thoughts on “Final Piala Malaysia: Siapa buat Penyu menangis?

  1. Ada kesalahan fakta. Ingat Jang buat artikel ni. Rupanya bukan Jang. Kipre injured lepas one by by dengan keeper sambil dihimpit Idris. Tak bertembung pun. Dia sempat shoot tapi Hafizul tepis. Gol Brendan Gan minit 90. Bukan 93. Awok tengok kat stadium tapi tengok highlights banyak kali, kita hafal dah. Haha. Pada aku kesilapan Terengganu adalah clear bola cepat sangat. Patut pegang bola, short pass. Boleh tengok balik macam mana gol ketiga Perak tu. Pemain Perak build up serangan dengan sabar. Pemain Terengganu cepat sangat clear bola. Aku masa gol ketiga tu tak sangka gol. Mana nampak. Hujung padang sana. Nampak orang celebrate baru tahu gol. Apa pun pun good game.

    1. Ianya ditulis oleh seorang penyokong Ganu. Biasala tengok kat stadium ni dengan emosi memang usah nak ingat fakta tepat2 melainkan buat catatan. Thanks sebab komen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.