April 11, 2026

Hanya Penyokong Setia Kekal Di Teres Batu Stadium Paroi.

Desas desus berita beberapa orang penting dalam pasukan NSFC sudah mula angkat kaki semakin rancak kedengaran. Bukan sahaja pemain-pemain dan pegawai-pegawai, malah pihak pengurusan sehingga ke peringkat tertinggi pun sudah mula meninggalkan NSFC. Sumber abang Tom ini tak berapa kuat. Namun jika dilihat dalam keadaan semasa, angin nampak telah beralih ke arah selatan durjana (Tidak dituju kepada mana-mana pihak).

Terbaru, pengarah kelab bola sepak Negeri Sembilan (NSFC) Satwant Singh telah meletakan jawatan. Khabarnya dia mengumumkan keluar pada hari isnin semalam dan berkuat kuasa serta merta. Tulah, kau semua kuat sangat suruh dia letak jawatan. Sekarang dia betul-betul letak jawatan. Untuk pengetahuan semua, Satwant antara individu yang selalu ‘berperang’ dengan kami di Ultrajang.

Banyak artikel dan video kami dibantah keras oleh beliau dulu. Ada masanya beliau betul dan ada masa kami pula yang betul. Tidaklah sampai bergaduh walaupun kadang-kadang sedikit tegang. Nothing personal. Semuanya hanya untuk kemajuan bola sepak NSFC kita sendiri. And at the end, dia buktikan dia boleh dan berjaya membawa NSFC ke Liga Super. We appreciate what you did for the club sir and wish you best of luck for your future endeavors.

Berbalik semula kepada NSFC. Apa masalah sebenarnya berlaku di jalan Rahang ini? Kenapa seolah-olah bila juara Liga Perdana kelab lebih kepada menarik nafas lega daripada merasai kejayaan? Laungan swastakan bola sepak Malaysia ini sudah lama kita dengar. Dari zaman Mokhtar Dahari sehinggalah ke zaman Ole Gunnar Solskjaer. Nampak JDT berjaya semua rasakan mereka juga boleh berjaya sama.

Bagaimanapun bak kata orang Seri Menanti “The grass always greener on the other side”. Ada beberapa kekangan datang daripada tradisi bola sepak Malaysia itu sendiri menghalang untuk kita diswastakan secara penuh. Misalnya dari segi mencari dana untuk mengubah landskap bola sepak tempatan. Malah kita pun sudah dengar pemasalahan daripada pasukan lain yang mana pembeli atau penaja yang berpotensi sering meletakan pajakan tanah salah satu daripada klausa mereka. Ini tidak boleh sewenang-wenangnya diluluskan oleh kerajaan negeri. Kesannya lebih besar daripada bola sepak itu sendiri.

Bagai tongkang pecah dibelah ombak. Tiada siapa boleh nafikan nasib kelab bola sepak yang kita sayang ini nampak semakin kelam. Kita perlu berbuat sesuatu sebelum terus jatuh ke kancah Liga Perdana semula. Cukuplah kita menunding jari pada PBNS baik dari zaman Tok Mat sehinggalah ke zaman Tok Min. Kita perlu berubah daripada menyalahkan orang lain. Juga tolonglah pada semua VIP jangan lepas tangan. Jang sudah menulis pada artikel sebelum ini. Tak perlu abang Tom ulas panjang.

Mungkin juga inilah nasib sebenar kelab bola sepak tempatan. Ini kerana di penghujungnya semua bergantung kepada duit dan populariti sahaja. Apabila potensi hilang, semua larikan diri. Kau yang membaca ini juga jika ada duit boleh membeli NSFC dan ubah segalanya. Cuma nak bagitahu, orang gila sahaja berani untuk melabur duit pada benda tak pasti tatkala musim covid ini.

Siapa paling terkesan? Tentulah penyokong itu sendiri. Sebab itu kita tak perlu terlalu hormat pada mereka sangat. Mereka semua professional dan bergaji. Jika apa-apa jadi mereka boleh angkat kaki. Tiada masalah dalam hal ini kerana mereka juga perlu mencari rezeki. Ucapkan sahaja semoga maju jaya. Kami akan kekal di sini apabila ada di antara anda pulang semula ke mari. Kepada penyokong-penyokong, ingat kata-kata ini sampai mati. Pemain dan pengurus datang dan pergi. Hanya penyokong setia kekal di teres-teres batu stadium Paroi.

-Tom Bombadil-

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2026.