October 13, 2024

Harapan penagih di Liga Super

3 min read

Musim bolasepak kita sudah bermula! Inilah yang kita tunggu-tunggu setiap hari, kita bualkan di laman sosial, di kedai mamak dan di mana-mana saja. Kita teruja dengan bolasepak kita sendiri, kita kecewa juga dengan bolasepak kita sendiri, tetapi percayalah, ianya jauh lebih berbaloi dari keasyikan memuja liga luar.

Ultrajang.com, laman web bola paling adil dan berat sebelah di dunia, sekali lagi membuka ruang kepada mana-mana peminat bola tempatan untuk menghantar coretan mereka tentang pasukan kesayangan (kebencian pun digalakkan) baik di Liga Super atau liga Perdana, liga bola sepak rakyat atau liga FAM. Syaratnya mudah, 400-500 patah perkataan dan menggunakan bahasa dan ejaan elok. Hantar ke ultrajangmag@gmail.com dan Jang akan tapis ikut selera Jang.

Artikel pertama dari Zaim Ramli dari Shah Alam.

Harapan di liga Super. 

Belum pun bermula Liga Super, sudah banyak kemagikan yang terjadi sebenarnya. Skrip yang serupa dan berulang-ulang saban tahun setiap kali liga super akan membuka tirainya. Ini bola sepak atau drama pukul tujuh sebenarnya? Hal kontrak pemain, sailang-menyailang, penajaan, jersi yang memiliki kuasa magik, stadium bertukar warna, logo pasukan yang tiada originaliti, dan sebagainya. Itu belum masuk hal remeh seperti burger stadium yang tidak sedap lagi.

Baiklah, sudah pastilah sebagai penagih bola sepak kita mengharapkan yang baik-baik untuk musim 2016 ini. Tidak ada sesiapa pun yang mengharapkan perkara tongong-tongong akan berlaku. Tapi, belum pun berlangsung sepak mula ia sudahpun berlaku. Bak kata pepatah Melayu lama, hendak ditelan mati emak, hendak diluah mati ayah. Begitulah ibaratnya kita sebagai penagih bola sepak tanah air. Walau penat bermaki hamun, terpaksa juga gagahi jiwa untuk menonton Liga Super. Hendak ke Old Trafford untuk menonton perlawanan bola sepak sebenar, terlalu jauh. Hendak ke Anfield lagilah tidak berbaloi.

Kita tinggalkan hal itu semua. Mari kita berdiskusi tentang harapan untuk Liga Super musim baharu ini. Untuk meringkaskan lagi artikel ini, saya berikan 10 harapan secara peribadi dalam bentuk point agar ia mudah dibaca.

1. Corak permainan yang mengujakan. Bukan clear dan passing bola seperti orang hilang akidah.

2. Pengadil yang telus dan memahami undang-undang offside. Juga bukan pengadil yang menyambung perlawanan ketika pemain masih seronok berlari ke sekelililing stadium meraikan jaringan.

3. Pemain import yang boleh menahan dan menghantar bola dengan baik. Bukan pemain import yang level-level gelecek macam S. Kunanlan yang kita mahukan. Carilah yang senonoh sikit main bola tu. Kalau ada pemain import yang tanduk bola sambil pejam mata, lekas-lekas hantar balik ke negara asal.

4. Pendedahan kepada bakat-bakat muda. Berilah peluang kepada mereka untuk bermain. Tidak kasihankah melihat mereka duduk di bangku simpanan sambil double tap foto Nora Danish di Instagram?

5. Siaran langsung yang adil dan saksama. Kalau setiap minggu asyik pasukan yang sama, Mat Sabu pun boleh baling mikrofon sekali lagi.

6. Pengulas yang tidak membosankan dan perlu sedar bahawa dia sedang mengulas perlawanan bola sepak, bukannya upacara pengebumian orang mati.

7. Kebangkitan pasukan-pasukan tidak ternama, barulah liga kita nampak lebih sengit walaupun ada pemain yang minit ke 70 sudah cekak pinggang. Mungkin kebangkitan seperti Leceister City. Mungkinlah.

8. Tiada bookie. Ini hal serius! Judi tidak berlesen adalah haram di sisi undang-undang. Untuk pencerahan boleh tanya Zahid Hamidi.

9. Tidak terbawa-bawa budaya penyokong Liverpool. Ini penting! Jangan ada penyokong JDT yang komplen selepas ini terpaksa bayar harga 20 ringgit untuk tengok Azamuddin Akil main sudahlah.

10. Jang akan mengulas tentang pasukan Negeri Sembilan untuk Liga Super musim hadapan. Ini paling penting! (ekau mengutuk Jang ke ni? – editor)

Itu sahajalah harapan saya secara peribadi. Nampak macam sukar. tapi, kalau benda mudah buat apa kita pasang harapan? Datuk Seri Vida dulu pun bukan pasang harapan yang mudah-mudah sampai dia boleh taja pasukan Kelantan.

Zaim Ramli, 13 Februari 2016, Shah Alam.

0Shares

1 thought on “Harapan penagih di Liga Super

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.