October 13, 2024

Ganyang Malaysia!

3 min read

Ketika perlawanan pusingan akhir kelayakan Piala Dunia diantara Syria menentang Korea Selatan berbaki 3 minit masa tambahan di stadium Paroi, Jang tidak menunggu lagi dan terus meninggalkan stadium untuk ke kedai mamak berdekatan. Walau Jang tahu suasana meriah di Paroi akan terus berlangsung selepas perlawanan bertaraf dunia ini, tetapi hati ini, cinta ini kepada pasukan kebangsaan terlalu menebal. Jang tak mahu terlepas walau seminit pun masa permainan Harimau Malaysia.

Untuk rekod, pasukan Harimau Malaysia menentang Indonesia dalam satu perlawanan persahabatan ketidaklayakan Piala Dunia di stadium Manahan, Solo.

Melihat aksi hebat Korea Selatan dan Syria dalam kelayakan Piala Dunia dan selang seminit kemudian menyaksikan pula pasukan Malaysia bermain, bolehlah diumpamakan bagai telah berada di pintu syurga tetapi dipanggil turun semula untuk melihat kembali dosa-dosa lampau. Terlalu berat dosa dan tidak lagi mampu disorokkan untuk menjadi tatapan semua.

Bagi Jang, adalah pelik dan luarbiasa jika peminat tidak kecewa atau marah melihat aksi pasukan kebangsaan malam tadi. Terus memaki dan marah-marah pula dilihat sebagai tidak memberi ruang kepada Ong Kim Swee dan anak didiknya, lebih teruk, dilabel tidak patriotik. Serba salah dibuatnya dimana mahu berdiri. Tetapi kita telah dihidangkan dengan mutu bola sepak yang lebih solid (dalam kes Jang, baru saja selesai melihat Korea Selatan bermain) semestinya kita boleh nampak dengan jelas corak permainan pasukan kebangsaan kita. Maka dengan anugerah akal dan kebijaksanaan kurnian Tuhan, kita mampu menilai. Kau faham tak ni?

Pemilihan pemain oleh Datuk Ong Kim Swee sentiasa dipertikaikan walau beliau berjaya memujuk Azizul Abu Hanifah sekalipun untuk kembali bermain. Kenapa? Bagi Jang kerana mutu pemain kita sendiri yang sedia teruk. Kalau Jang pun berada di tempat Ong Kim Swee, Jang tak tahu nak pilih siapa yang benar-benar berkualiti. Fadhli Sas? Ikut statistik yang Jang sendiri lihat, beliau terlalu kerap melakukan kesilapan dan tidak sepatutnya nama beliau dipertimbangkan lagi dimasa depan. Azrif NasrulHaq? Jang tak pernah anggap dia bagus, baik untuk Selangor atau JDT. Dia hanyalah pemain biasa yang berambut tebal, itu saja. Amri Yahyah? Dia striker berpengalaman tetapi tiada karekter atau kualiti kapten untuk memimpin pasukan. Fakri? ok, dia menampakkan usaha dan kesungguhan yang baik. Veenod? Oh Tuhanku!

Naturalisasi, emak inggeris, bapak Melayu Negrito atau apapun, semua nampak sama ketika diatas padang. Kualiti sewaktu bersama pasukan atau kelab sendiri dengan ketika mewakili negara begitu cepat berbeza. Kenapa? Ada kemungkinan kesilapan Ong Kim Swee disitu kerana beliau diberitakan tidak pandai bertaktikal seperti Gomez. Ini disahkan sendiri oleh beberapa pemain yang menghubungi Jang dan ada Jang tulis dalam satu artikel lepas.

“Striker buat larian di depan dan midfield hantar ke belakang defend”, ini je taktik dia utk menyerang semasa team meeting. Tak de langsung explain di mana sepatutnya posisi setiap pemain apabila kita menguasai bola untuk membuat hantaran pendek, buka ruang untuk hantaran seterusnya, tahu di mana setiap posisi pemain lain, mcmane nak main beri tekanan atau terima tekanan, mcm mane nak tarik satu opponent utk buka ruang kpd player yang opponent itu jaga, Banyak lagi hal dari segi taktikal utk ball possession”

Artikel sepenuhnya di sini: https://www.ultrajang.com/eksklusif-jurulatih-kita-miskin-idea/

Bukan Jang seorang, malah semua peminat bola sepak kita dah bosan dan akan sampai satu tahap, dimana kita tidak lagi merasa apa-apa perasaan pun dengan pasukan kebangsaan, baik ketika menang apatah lagi ketika kalah. Bercakap hal kesalahan dan menghentam memang mudah, terutama dari media bebas seperti ultrajang dan banyak lagi diluar sana tetapi untuk menjadi positif dan optimis bukan mudah. Lainlah kalau kita dibayar untuk menjadi optimis.

Mengambil contoh saudara Hafizal Ahmad, pengacara Astro Arena yang Jang hormati, beliau mampu bersarkastik dan kemudian marah sebelum kemudiannya optimis dengan masa depan pasukan kebangsaan menjelang Piala AFF tidak lama lagi. Menyentuh pengacaraan juga, apabila pasukan kita bermain teruk, selalunya Jang perasan pengulas juga seperti hilang punca nak bercakap apa dan ketika itulah mereka suka mengarut dan bercakap tanpa point jelas dan dibuat-buat. Sesungguhnya Jang amat peka dengan setiap butir yang keluar dari mulut pengulas. Kenapa?

Sebab dah takda apa yang nak dilihat diatas padang!

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.