Kalau anda gembira, beginikah caranya?
4 min readDimanakah salah dan silapnya pasukan Negeri Sembilan sehinggakan kita seri dengan Kelantan dan kalah kepada Selangor? Bukankah sepatutnya kedua-dua pasukan ini dijadikan penanda aras kekuatan pasukan kita dalam saingan liga Super? Maksud Jang, kedua pasukan ini mengalami sedikit masalah didalam dan luar padang dan sepatutnya pasukan kita mesti menggunakan peluang dan kesempatan untuk mendapatkan 3 mata tetapi sebaliknya. Jika dengan pasukan yang lemah seperti Kelantan dan Selangor pun kita tak boleh makan, bagaimana kita nak hadap JDT? Perak dan Pahang?
Jang nak tanya, bagaimana prestasi pasukan dan pemain dibawah seliaan coach Azraai Khor? Bagaimana dengan corak persembahan pasukan, semangat juang pemain dan kecergasan? Masih sama, ada peningkatan atau bertambah buruk? Adakah pemain benar-benar gembira atau mereka memendam rasa? Dibawah Azraai Khor, kita kalah 1-0 kepada Kedah dalam saingan Piala FA, kemudian ditewaskan 4-0 di Darul Makmur sebelum kita berehat lebih sebulan untuk beliau mencari formula dan memperbaiki kesilapan Jorg. Adakah seri 1-1 dengan Kelantan dan kalah 2-1 kepada Selangor masih boleh diterima? Beri lebih banyak masa? Belum jumpa formula dan kombinasi?
Kenapa Jang bertanya begini?
Bagi Jang, selepas memberi persembahan bertenaga ketika menentang Kedah dan Pahang, pemain dan pasukan kita kembali semula ke mode asal, iaitu lemah dan tidak bersemangat untuk mencari kemenangan. Mereka seperti tidak ada banyak idea untuk melakukan serangan. Bola banyak hilang di bahagian tengah ke hujung. Meletakkan ramai pemain dibahagian tengah (4-5-1) tetapi bahagian tengah tidak pula menjadi enjin 5.0 sebaliknya kita mendayung sampan dikiri dan kanan (flank) untuk membuat crossing. Kita tidak pressing pasukan lawan dan banyak melakukan kesilapan individu sehingga menghasilkan gol kepada pihak lawan. Soalnya kenapa?
Pemain import no.7, Flavio Beck Jr. pada separuh masa pertama telah mengamuk di dalam padang memarahi pemain pertahanan. Diberitakan, semasa rehat separuh masa pertama, beliau terus mengamuk dibilik persalinan. Punyalah marah sampai 3 bahasa bercampur aduk, inggeris, melayu dan portugis. Ini bukan kali pertama beliau marah-marah, semasa menentang Melaka juga beliau mengamuk dan hampir dalam setiap perlawanan beliau seperti tidak gembira dengan permainan beliau sendiri dan juga pasukan. Adakah beliau tidak berpuashati dengan komitmen pemain lain? Adakah corak dan kehendak pasukan mengekang kebolehan beliau jadi beliau tidak dapat menunjukkan kehebatan sebenarnya? Bagaimana dengan import lain? Takkan Mony Udom itu biasa saja? Tak mungkin kapten Kim yang pernah bermain 2 kejohanan piala dunia tiba-tiba menjadi tak sedap? Kita semua dah tengok prestasi pemain tempatan seperti Hazrul, Khairul Bentong, Erix dan lain-lain dan kesemua mereka bermain dengan baik pada musim lepas, kenapa musim ini mereka tidak menjadi?
Sebagai penyokong no.2 paling bijaksana di Negeri Sembilan, (no.1 paling bijaksana dah tontu la kau semuo) banyak persoalan bermain dalam kepala Jang ini. Bagi Jang, bola sepak adalah satu permainan yang menghiburkan kepada semua orang. Jika kau tak terhibur atau ada hati yang tidak gembira, maka itu bukan bola sepak yang kita mahu. Penyokong, pemain dan pengurusan mesti menikmati bola sepak Negeri Sembilan dengan hati yang terhibur kerana kita lakukan semua ini, sebagai pemain dan penyokong, untuk bola kita. Soalnya, adakah kita semua terhibur atau terus disakiti?
Adakah pemain senang hati atau takda hati lagi jika mereka rasa peluang mereka untuk terus berada dalam pasukan pada pusingan kedua nanti masih samar? Coach Azraai Khor semasa press conference selepas perlawanan semalam berkata, beliau akan mendapatkan pemain import baru dibahagian serangan kerana jelas beliau gemar dengan posisi no. 9 berbanding striker no.10. Mony Udom juga telah tidak diturunkan dan bukan pilihan coach Azraai setakat ini. Jang menjangkakan Mony Udom juga bakal dihantar pulang. Bagaimana dengan moral pemain apabila mengetahui kedudukan mereka tidak lagi diperlukan? Menurut info sahih (bak kata pepatah moden, tak pasti jangan kongsi) coach Azraai telah pun terbang keluar negara mencari pemain import baru. hmmmm?
Maksud Jang disini, pemain kita bukan tidak bagus. Kita sentiasa mendapatkan pemain bagus dan buktinya import kita sebelum ini, Lee Tuck, Simic, Bruno, Nabbout dan ramai lagi, semuanya sangat baik dan meletup bersama pasukan baru mereka sekarang. Jadi jangan kata import kita sekarang tidak bagus dan nanti bila dah ditukar, kita akan alami nasib yang sama juga; diketawakan dan dianggap silap kerana menukar import.Tetapi kenapa ketika bersama Negeri Sembilan, mereka seperti tidak dapat menunjukkan prestasi mereka yang sebenar?
Bagi Jang, coach Azraai mesti membuktikan beliau masih relevan dengan kehendak bola sepak sekarang dengan membuktikan sesuatu menggunakan pemain sedia ada dahulu. Takkan kita kene tukar kesemua pemain kot? 5 import mewakili 50% kekuatan pasukan sementara 50% lagi dari pemain lokal. Berapa peratus coach Azraai boleh perah dari pemain sediada? Setakat ini keseluruhan tidak mencapai 50%. Jang bukan mendesak tak tentu pasal tapi jika Jorg baru 3 perlawanan sudah diberhentikan maka untuk berlaku adil, coach Azraai juga mesti diberi tempoh masa yang lebih kurang sama. Soal pilihan pemain sepatutnya bukan isu kepada jurulatih kerana kita tahu kemampuan pemain dan mereka telah buktikan.
Jang belum panik tetapi bagi Jang, pasukan perlu diberi sedikit tekanan agar mereka tahu. Penyokong telah buktikan, tetap setia dan sanggup berkorban masa dan wang ke stadium maka kami ‘demand’ prestasi dan semangat juang dari pasukan pula. Jang anggap menentang Kedah esok dan JDT Jumaat ini sebagai peluang kepada pasukan untuk buktikan, bukan harap menang tapi kesungguhan, dan jika gagal, Jang akan riot!