April 20, 2024

Kedah 1-0 Negeri Sembilan (aet) Piala FA pusingan ke-2

5 min read

Hampir berulang peristiwa tahun lalu dalam saingan Piala FA pusingan ke-2 malam tadi. Jika tahun lepas, Nismilan berjaya tundukkan Selangor menerusi penentuan penalti, kali ini Kedah berjaya tumpaskan Nismilan 1-0. Namun kejayaan Kedah tidak datang bergolek. Mereka terpaksa berhempas-pulas sehingga penghujung masa tambahan untuk mara ke pusingan seterusnya.

 

Taktikal yang sama dan skrip yang hampir sama dengan tahun lalu. Nismilan turun ke Darul Aman dengan game plan yang jelas. Bertahan bermati-matian dan cuba mendapatkan gol dengan counter attack. Trio serangan Nismilan dikepalai Udom dan diapit oleh Khairul Izuan dan Khairul Anuar. Speedy wingers. 

 

Seperti dijangka, juara bertahan, Kedah mendominasi perlawanan. Possession mereka hampir sekali ganda lebih berbanding Nismilan. Hasil hantaran-hantaran pendek dan pergerakan pemain mereka dengan mudah mereka memasuki final third Nismilan. Di sini lah segalanya menjadi menarik. Disiplin, compact, unity. Pemain Nismilan bertahan ibarat tiada hari esok. Bermati-matian. Rode dan Rizal Fahmi nyata menunjukkan kemampuan sebenar mereka. Biarpun Kedah memiliki beberapa percubaan on target, namun tidak begitu merbahaya dan mampu dikekang penjaga gol Nismilan, Ilham.

 

Fauzan Dzulkifli bertindak sebagai anchor man dengan baik. Melindungi barisan pertahanan sambil mematikan serangan pihak lawan. Entah berapa kali beliau berjaya tackle bola dengan jayanya untuk hentikan serangan lawan. Ada satu tackle dari Andik ke atasnya yang den rasa layak terima kad merah kerana 2 footed challenge dan Andik gagal dapatkan bola. Tapi biarlah. Pengadil pun orang kan? Mungkin masa kekasaran tu berlaku, pengadil tengah gosok mata sebab peluh masuk mata. Husnuzon la sikit. Takkan nak buruk sangka je.

 

Yang merencatkan persembahan Nismilan semalam ialah kapten kita, Kim Do-Heon. Dia kelihatan selangkah lambat setiap masa. Tidak kira ketika bertahan, menyerang, mahupun membuat hantaran. Den rasa dah cukup berlembut sebelum ini, tapi persembahan dia malam tadi terlalu mengecewakan. Sehingga terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama dan digantikan Faizal Abu Bakar. Biyane Kim hyung. Den rasa anda belum benar-benar mampu beraksi secara kompetitif selama 90 minit dalam Liga ini. Dan pertukaran ini juga lah yang menyumbang kepada kekalahan malam tadi. Nanti den cerita.

 

Selepas Kim dikeluarkan, gerakan Nismilan lebih lancar. Flavio, Faizal, dan Fauzan lebih selesa bergerak dan cuba menggerakkan permainan. Memandangkan Nismilan turun dengan rancangan untuk counter attack, maka ketiga-tiga mereka ini harus mengawal bola selama mungkin untuk membenarkan trio serangan kita membuat larian. Tapi pressing game Kedah ternyata amat bagus. Kerana inilah mereka bergelar juara Piala FA dan antara pasukan pilihan dalam saingan liga. Kerap kali digagalkan hantaran-hantaran dari midfield Nismilan. Kalau hantaran tersebut berjaya pun, dengan pantas mereka turun untuk bertahan. Dahsyat!

 

Aizul pula dikeluarkan kerana alami kecederaan groin. Den diberitahu dia alami kecederaan itu sejak perlawanan menentang Terengganu lagi. Diharap Aizul cepat sembuh.

 

Aroon dimasukkan dan mengisi posisi right back dan menolak Hazrul ke left back. Maka nampak lebih solid barisan pertahanan Nismilan. Udom hampir membuka jaringan pada separuh masa kedua selepas Khairul Helmi membuat kesilapan hantaran. Namun, ketika berdepan 1 lawan 1 dengan Ifwat, rembatan Udom liar selepas berlari hampir separuh padang. Teringat kes Farderin Kadir di Darul Makmur tahun lepas. Tapi tak apa. Den nampak Udom ni macam dah confident sikit masa main. Mungkin sebab dapat main posisi yang dia nak.

 

Faizal Abu Bakar turut mampu membuka jaringan selepas itu. Namun ketika cuba membuat turning shot, tergelincir pulak! Takdo joki la kan? Tapi takpe, Faizal berjaya menjawab semua kritikan yang dilemparkan kepadanya sejak musim lalu dengan satu lagi persembahan baik malam tadi. Syabas Sepet!

 

Nismilan melakukan pertukaran ketiga dengan memasukkan Ferris Danial dan mengeluarkan Khairul Izuan. Tindakan ini diambil untuk memasukkan fresh legs di bahagian sayap untuk menyukarkan full back Kedah bertahan ketika Nismilan melakukan counter attack. Namun Kedah terus menguasai perlawanan dan Nismilan gagal buat counter attack. 

 

Sebaik masa tambahan bermula, Fauzan kelihatan terhencot-hencot. Cedera. Ingat tak Faizal ganti Kim masa separuh masa pertama? Bayangkan Faizal yang disenaraikan dalam kesebelasan utama. Pasti Nismilan mempunyai satu lagi pertukaran untuk mengeluarkan Fauzan kan? Jadi den cabar pihak kejurulatihan untuk tidak lagi menurunkan Kim dalam perlawanan seterusnya, jika tidak cergas sepenuhnya. Macam mana? Berani? Ini kerana pasukan harus diisi oleh pemain yang benar-benar mampu beraksi dan bukan hanya kerana kuota dia sebagai pemain import, pemain tempatan yang lebih baik diketepikan begitu sahaja.

 

Nismilan bagaimanapun berjaya bertahan bermati-matian. Serangan bertali arus Kedah berjaya dikekang sehinggalah seminit sebelum masa tambahan berakhir. Hantaran lintang Syazwan Zainon disambar Baddrol Bakhtiar di far post untuk gol kemenangan Kedah. Kesilapan ini berpunca daripada Ferris Danial yang gagal man mark Baddrol. Lagipun, ketika ini pertahanan pun dah tak larat. Hampir 2 jam masa perlawanan pertahanan Nismilan diasak bertubi-tubi, mana tak penat kan?

 

Perlu den ingatkan bahawa begitu susah payah juara bertahan Kedah ingin menewaskan Nismilan. Itu Nismilan belum fokus kepada Piala FA tau. Kira macam Nismilan belum all out la semalam. Bayangkan kalau Nismilan all out? Rasa-rasa macam mana?

 

Di media sosial ramai yang memuji pengendali baru Nismilan, Azraai Khor yang berjaya beri impak serta-merta kepada persembahan pasukan. Namun, penyokong jangan lupa bahawasanya Coach Asri yang memilih pemain malam tadi manakala Coach Azraai memberi sentuhan taktikalnya. Pastinya Coach Asri lebih mengenali kemampuan pasukan dan beliau ternyata telah memudahkan Coach Azraai untuk mencatur sentuhan magisnya. Den yakin gandingan ini bakal menghadirkan gerun buat pasukan lawan selepas ini.

 

Kepada barisan pemain, terima kasih atas persembahan anda semalam. Anda semua telah berusaha sedaya-upaya untuk memberi kemenangan kepada pasukan dan penyokong. Seperti yang den pernah cakap sebelum ini, kami sebagai penyokong tidak mengharapkan bulan dan bintang. Cukup sekadar pemain buktikan mereka bermain dengan sepenuh hati dan berhempas-pulas untuk menang. Walaupun tewas, den yakin ia tidak terasa seperti kekalahan. Satu perasaan yang amat positif berjaya dilahirkan selepas perlawanan malam tadi. Hold your heads high lads! The season is still long! There’s more to come.

 

Kepada para penyokong. Den kagum dengan anda yang sanggup ke Darul Aman. Den kagum dengan anda yang mengukur baju di badan sendiri. Yang sedar bahawa Kedah merupakan pasukan yang kuat dan faham mengapa Nismilan bermain secara ultra defensive. Yang membuatkan bulu roma den meremang ialah apabila segelintir daripada kita akui, perlawanan malam tadi merupakan persembahan terbaik Nismilan musim ini walaupun tidak banyak menyerang. Ini membuktikan bahawa kesedaran penyokong kita tentang the art of football semakin tinggi. Bukan hanya tahu nak gol sahaja walaupun mendahului lawan dengan 2 atau 3 gol. Syabas waghieh! Kita teruskan mentaliti dan momentum ini!

 

Akhir sekali, nampak tak macam mana kita semua bersatu menyokong pasukan ketika menentang Kedah semalam? Maka, berilah sokongan kepada pasukan. Caci-maki ni kita simpan dulu. Memandangkan musim masih panjang, kita beri sokongan. Kalau Kedah pun payah nak kalahkan kita yang tak fokus sebab semua beri sokongan, bayangkan kalau kita semua beri sokongan dan pasukan kita fokus? Fuuhhh!

 

Sekian,

MUSUHNYA HABIS BINASA!

Kid.

 

P/S : Den tak tokojut berlaku perubahan first eleven lopeh ni dalam pasukan Nismilan.

 

Foto : Team N9FC

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.