Kedah 3-3 Negeri Sembilan (Matchday 8 Liga Super 2018)
4 min read
Terkejut bukan? Punya lah bersusah payah nak dapat shot on target masa lawan Selangor dengan Kelantan tempoh hari, sekali hembus je Nismilan berjaya jaringkan 3 gol menentang Kedah semalam. Away pulak tu. Di manakah logiknya? Mengapakah persembahan sebegini tidak dapat ditunjukkan dalam setiap perlawanan?
Separuh masa pertama jelas menunjukkan kelemahan Nismilan ketika bertahan. Kedah dengan bersahaja menembusi benteng pertahanan untuk membuat percubaan ke arah gol di dalam kotak penalti. Terlalu mudah. Ketiadaan Renars Rode memang dirasai. Gandingan Nasriq dan Rizal di center back sedikit longgar. Cubaan mengcompactkan kawasan di luar kotak penalti tidak berapa menjadi. Movement pemain Kedah dan hantaran tiki-taka mereka dengan mudah memecahkan kunci pertahanan Nismilan. Right back, Fauzan banyak kali ditembusi. Mungkin belum dapat match sharpness sebab tak dapat banyak peluang untuk beraksi musim ini. Aizul pula nampak okay di mata den sehinggalah dia menghadiahkan sepakan penalti untuk Kedah.
Di midfield, kehadiran Aiman Khalidi sedikit mengujakan den. Setidaknya dapatlah kita tengok keupayaan pemain lain untuk bermain di posisi itu selain daripada Kim, Flavio dan Faizal. Mengambil tempat Faizal sebagai defensive midfielder, Aiman den nampak tenang dan mampu mengawal tekanan. Dia juga banyak cover posisi yang ditinggalkan Kim dan Flavio apabila mereka menyerang. Flavio pula yang den puji semalam apabila dia bersungguh membuat larian mengejar Baddrol Bakhtiar ketika 1 on 1 dengan Ilham. Percubaan Baddrol terkena palang gol mungkin disebabkan tekanan yang diberi Flavio.
Di mata den, serangan Nismilan lebih lancar dan merbahaya sekiranya Flavio dan Kim cepat membuat hantaran kepada rakan. Di separuh masa pertama Kim dan Flavio terlalu lama memegang bola. Ini membenarkan pemain Kedah menutup segala ruang hantaran yang ada. Menyebabkan Kim atau Flavio terpaksa membuat hantaran ke belakang atau kehilangan bola. Tapi perkara ini tak berlaku pada separuh masa kedua. Kim dan Flavio lebih cepat membuat hantaran untuk mencari pemain sayap Nismilan, yang kemudiannya mengeksploitasi bahagian tepi padang. Overlapping daripada kedua-dua full back juga membantu serangan dan memberi tekanan kepada pemain sayap Kedah untuk turun bertahan. Jadi susah lah mereka nak counter attack.
Nico pulak den tengok macam trying too hard untuk cipta sesuatu dalam perlawanan semalam. Sepatutnya dia lebih tenang dan let the game come to him. Dalam-dalam struggle dia pun, berjaya jugak jaringkan satu gol semalam. Kehadiran Thana juga memberi dimensi baru kepada serangan Nismilan. Dan berdasarkan persembahan dia dalam perlawanan semalam serta menentang Selangor tempoh hari, dia memang layak untuk berada dalam kesebelasan utama. Larian yang dia buat ke dalam kotak penalti untuk menyambut cross sangat boleh dipuji. Jika nak harapkan Nico seorang je, sampai sudah lah tak gol. Tapi untuk meletakkan Thana sebagai lone striker adalah tak relevan. Dia perlukan strike partner yang mampu berlari bersamanya dan saling bertukar hantaran untuk mencipta peluang gol. Cadangan den, kalau Nico top striker, Thana di belakang Nico atau sebaliknya.
Penyerang muda kita, Fauzi juga memberi impak yang besar kepada perlawanan semalam. Kalau bukan kerana dia, tak dapat lah penalti. Kalau tak dapat penalti, kalah lah semalam. Jadi tahniah Fauzi! Team effort yang ditunjukkan semalam memang boleh dipuji. Kesungguhan yang ditunjukkan pemain juga lebih daripada biasa. Kan nampak hasilnya kalau bersungguh sedikit. Jangan lah lemau-lemau. Kalau pemain lemau, memang penyokong makan kuaci sambil main Mobile Legend lah!
Kecederaan Andik Virmansyah juga turut mernyumbang kepada Nismilan mencuri satu mata di Darul Aman. Menurut peminat Kedah, pemain skuad Lang Merah seakan-akan memboikot pemain gantiannya, Pablo Pallares menyebabkan serangan skuad Lang Merah pada separuh masa kedua tidak sehebat seperti di separuh masa pertama. Itu hal rumah tangga mereka, kita jangan campur. Lantak mereka lah nak boikot ke nak berkempen ke nak makan laksa ke. Siapa suruh mereka tak selesaikan perkara itu sendiri.
Walaupun nampak macam den memuji persembahan Nismilan semalam, tapi den sebenarnya tak puas hati sangat. Terutamanya pada separuh masa pertama. Bukan tak bersyukur dapat satu mata, cuma kita boleh buat lebih baik. Ye lah, kalau cepat sangat puas hati, tak maju lah nanti. Kena lah sentiasa ada misi dan visi untuk perbaiki diri dan pasukan. Nanti kalau dah menang liga ke Piala FA ke Piala Malaysia ke World Cup ke, kau semua jugak yang nak menjobo. Bukan orang lain. Betul?
Peminat pun janganlah mudah berpuas hati. Janganlah selepas kita gagal kutip mata, kemudian pemain datang melambai dan selfie bersama kita, kita lupa bahawa kita kalah. Ketika menentang Selangor tempoh hari, segelintir peminat bersorak apabila mendapat cenderahati daripada Thana dan Flavio. Wah, macam menang liga pulak sambutannya. Walhal kalah teruk. Betul kita kena berterima kasih kepada mereka sebab mencuba sedaya uaya, betul kita kena bagi kata-kata semangat kepada mereka, tapi adakalanya kita kena beritahu mereka bahawa apa yang mereka persembahkan kepada kita tak mencapai piawaian. Dengan harapan, mereka akan berusaha lebih keras untuk mencapai piawaian kita. Janganlah kau semua keluarkan kata-kata kesat serta caci nista pula. Berhemah la sikit. Jangan lah akhlak tu ditinggalkan di rumah pulak.
Jadi diharap kesungguhan yang ditunjukkan semalam dapatlah dikekalkan untuk 90 minit dalam setiap perlawanan. Janganlah hanya bermain 10 minit di separuh masa pertama dan 5 minit terakhir separuh masa kedua kemudian bila kalah satu gol, kita menyalahkan nasib. Baki 75 minit masa perlawanan itu untuk apa? Agak-agak terlalu sukar tak permintaan den ni? Dengan keberanian Coach Azraai meletakkan pemain muda dalam pasukan, mungkin nasib Nismilan musim ini boleh berubah. Kudrat mereka ini yang ditagih untuk berlari 90 minit. Masalah midfield yang mudah lesu mungkin boleh diselesaikan dengan cara ini. Inilah peranan pemain-pemain muda kita.
Semangat ini perlu dibawa ke perlawanan bertemu JDT Sabtu ini. Sepatutnya main Jumaat, tapi ditangguh. Faktor cuaca katanya. Entah lah. Jadi kepada pemain, jangan lah terlalu dibuai kejayaan satu mata di Darul Aman. Satu mata itu telah menjadi sejarah. Fokus kepada JDT pula selepas ini. Ada sebab kenapa mereka juara Liga Super untuk 4 musim berturut-turut. Bukan calang-calang pasukan tu.
Sekian,
MUSUHNYA HABIS BINASA!
Kid.
Foto : FB Team N9FC