December 11, 2024

Kemenangan Liverpool Umpama Lukisan Yang Agung

3 min read

Akhirnya setelah bertahun tersiksa menunggu dan beberapa siri kekecewaan. Liverpool berjaya menjulang piala kejuaraan liga buat kali ke 19. Perkara ini terjadi apabila Chelsea berjaya mengalahkan Manchester City sebanyak dua berbalas satu sekaligus mustahil untuk Manchester City memintas Liverpool secara hukum fizik dan matematik.

Tiga puluh tahun mereka menunggu. Dari zaman Graeme Souness diganti dengan zaman Roy Evans sehingglah zaman Rafa Benitez diganti dengan zaman Brandon Rodgers. Namun usaha mereka tidak berbuah. Sepanjang era itu Liverpool telah banyak memenangi piala-piala berprestij tetapi bukan piala liga. Ayah sudah menjadi atuk dan anak sudah menjadi ayah. Seolah-olah Liverpool sudah ditakdirkan tidak akan menang liga sehinggalah EPL dimansuhkan.

Walau bagaimanapun Liverpool tidak pernah mengalah. Kedatangan Klopp pada tahun 2015 jelas mengubah nasib mereka. Beliau menggelarkan dirinya sebagai The Normal One dan diangkat terus sebagai penyelamat oleh penyokong-penyokong Liverpool. Sediki demi sedikit, hari demi hari Jurgen Klopp berjaya membangkitkan kepercayaan kepada penyokong-penyokong Liverpool bahawa hari Liverpool menjadi juara liga Inggeris pasti akan tiba. Pada awalnya Jurgen Klopp juga nampak seakan harapan palsu. Kalah pada tiga perlawanan akhir dan hanya hampir juara dengan perbezaan satu mata dengan Manchester City. Air pun ada pasang surutnya, takkan pasang selalu dan surut senantiasa.

Ada beberapa pihak yang melabelkan Liverpool sebagai Mat Tandus kerana 30 tahun bermain tanpa piala liga. Abang Tom katakan nanti dahulu. Bagi orang yang memahami seni mereka akan faham erti kemanisan sabar dan nilai masa itu pada sesuatu karya. Bak kata orang Melang “You can’t rush art”. Samalah seperti Michelangelo ketika melukis seni agungnya di siling gereja Sistine Chapel. Beliau mengambil masa selama berpuluh tahun untuk belajar dan mengasah skil melukisnya. Hasil daripada masa yang dihabiskan itu akhirnya diterjemahkan di dinding siling lantas diangkat sebagai salah satu hasil seni yang hebat sebaris dengan lukisan Mona Lisa dan The Birth of Venus.

Begitulah juga nilai kemenangan liga ini. Kejuraan liga adalah suatu karya. Apalah taraf sesuatu kejuaraan itu jika begitu mudah dikecapi. Liverpool sudah sedar tentang hal ini ketika mereka menang UCL di Istanbul dahulu. Oleh sebab itu seperti yang pernah diberitahu oleh abang Tom. Liverpool sebenarnya sengaja tidak memenangi kejuaraan liga walaupun mempunyai beberapa peluang kerana ingin memaksimakan kemanisan kemenangan EPL itu nanti. Semuanya telah pun dikira-kira oleh Liverpool. Namun usaha ini tidak akan menjadi tanpa berkat kesabaran penyokong.

Seperti yang diperkatakan oleh Jurgen Klopp di dalam loghat Jerman. “Kemenangan ini adalah milik anda semua”. Walaupun ayat ini begitu klise, namun dari segi maksud ianya memang tepat sekali. Liverpool tidak akan wujud tanpa penyokong. Sebaliknya penyokong masih wujud tanpa Liverpool. Cuba kalau penyokong Liverpool berhenti berharap. Adakah mereka akan lihat Jordan Henderson mengangkat piala UCL untuk Liverpool bagi kali ke enam dan kejuaraan liga untuk kali ke sembilan belas?

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggal nama, Mat Void mati meninggalkan Mat Bitter. Nama-nama mereka ini akan bergema beribu tahun lamanya. Sumpahan tanpa piala liga akhirnya telah dimansuhkan oleh Jurgen Klopp dan barisan pemain Liverpool. Semangat tidak mengaku kalah penyokong-penyokong Liverpool wajar dipuji dan diberikan pengiktirafan. Bagaikan lukisan yang agung, semakin lama ia semakin tinggi nilainya. Itulah tanda harga semangat kemenangan kejuaraan liga yang pertama sejak EPL diperbaharui pada tahun 1992. Mungkin inilah maksud jiwa bola sepak yang sebenar. Semangat dan berharap pada pasukan tanpa mengaku kalah.

Menidakkan kehebatan Liverpool itu adalah mustahil. Simple.

P/S: This year is our year

Image by jorono from Pixabay

-Tom Bombadil-

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.