February 12, 2025

Kenapa Kita Perlu Turun Ke Paroi Jumaat ini

4 min read

Bukan menjadi kebiasaan untuk abang Tom menulis perihal Negeri Sembilan ini. Selalunya penulisan berkaitan Negeri Sembilan banyak diulas oleh penulis-penulis agung seperti Jang, Kid dan Muhayat. Manakala abang Tom diberi mandat oleh Jang untuk menulis berkaitan pengetahuan am bola sepak, bola sepak luar negara dan Liverpool. Namun tidak bermakna abang Tom tidak boleh menulis tentang Negeri Sembilan seperti penulis yang lain.

Negeri Sembilan sekarang banyak diuji dengan beberapa cabaran seawal musim ini. Dengan isu penjaga gol, penyokong rindukan sentuhan Lee Tuck dan penjualan kuaci di stadium yang merudum. Negeri Sembilan seolah-olah bernasib malang pada permulaan Liga Super 2018. Jadi sudah menjadi tanggungjawab abang Tom untuk menenangkan penyokong-penyokong Bani Minang seluruh alam. Kita tidak mahu terburu-buru menuding jari menyalahkan mana-mana pihak. Apatah lagi membuat spekulasi sendiri yang akhirnya akan memburukkan nama Negeri Sembilan di kemudian hari.

Walaupun saingan Liga Super masih awal, tidak menjadi masalah untuk kita bertindak cepat dengan kapasiti sebagai seorang penyokong. Jom kita lihat kenapa kita perlu ke stadium.

 

Negeri Sembilan Di Paroi

Sukar untuk abang Tom bicarakan tetang hala tuju skuad Rusa kali ini. Mengikut keadaan sekarang, kedudukan Negeri Sembilan seolah-olah sama seperti yang digembar-gemburkan oleh artikel fourfourtwo. Team tempat terakhir. Bukan tiada perubahan dilakukan, malah banyak perubahan telah dilakukan. Tapi semuanya seperti tidak menjadi.

Setakat ini, abang Tom lihat Negeri Sembilan akan bermain baik bila berada di Paroi. Passing dan movement semuanya menjadi malah gawang sendiri seperti sukar ditembusi. Dari segi pertahanan, Jorg Steinebrunner kelihatan mengambil pendekatan lebih serius pada tahun ini. Senang cerita, Negeri Sembilan di Paroi lebih kebal dan kuat daripada tahun sebelumnya.

Berkenaan penjaga gol, abang Tom mengambil pendekatan berkecuali. Kami di Ultrajang juga ada membuat perbincangan sesama sendiri mengenai isu penjaga gol. Masing-masing mempunyai pandangan tersendiri. Abang Tom berpendapat isu penjaga gol ini tidak perlu dibicarakan secara terperinci. Salah atau tidak isu nombor dua. Jika Saiful Amar Sudar dan Syihan Hazmi kembali terpacak di gawang gol, mereka perlu tahu abang Tom sentiasa di belakang mereka. Pembaca boleh membuat penilaian masing-masing. Tapi jika isu ni dipanjangkan, abang Tom berpendapat ianya tidak akan memberi apa-apa faedah malah akan merosakkan team spirit dalam jangka masa panjang.

 

Lee Tuck Menghantui Paroi

Untuk berjaya kita perlu move on. Ya, Lee Tuck memang seorang pemain yang disayangi oleh penyokong-penyokong Negeri Sembilan dan abang Tom sendiri tidak setuju melepaskan beliau ke Terengganu. Tetapi yang sudah tu sudah lah. Malah Lee Tuck sendiri sudah gembira berenang bersama penyu. Kenapa kita perlu memetik namanya lagi? Abang Tom menasihati adik-adik semua supaya tidak terlalu mengenang nama-nama seperti Andrew Nabbout, Marko Simic dan Lee Tuck ini. Biarkan mereka menjadi sejarah yang tidak penting dalam kitab agung kejayaan skuad Rusa. Tiada pemain lebih besar daripada kelab dan abang Tom. Simple!

Jadi bagaimana pula bila Lee Tuck datang ke Paroi nanti? Adakah beliau akan menggegarkan Paroi? Apa reaksi yang perlu kita buat? Acap kali abang Tom ulang kenyataan ini. Paroi adalah kubu segala kubu. Harimau akan sesat, gajah akan tumbang, penyu akan lemas tiap kali mereka hadir di sini. Hormat kepada beliau perlu ada. Namun abang Tom mengharap Lee Tuck akan menjadi seperti Paul Pogba ketika melawan Newcastle tempoh hari. Tergantung sepi ( Bak kata Haqiem Rusli) kerana takut dek keramat stadium Paroi.

Tambahan pula dengan Faizal Abu Bakar kelihatan bersemangat setiap perlawanan, tidak terlalu yakin abang Tom katakan beliau akan menjalankan tugas beliau menjaga Lee Tuck di atas padang nanti. Abang Tom percaya Lee Tuck akan sentiasa berada di dalam poket Faizal Abu Bakar setiap masa.

 

Tanggungjawab Penyokong Negeri Sembilan

Seperti artikel yang abang Tom tulis sebelum ini, kemungkinan nasib Negeri Sembilan di Liga Super 2018 bergantung pada penyokong mereka. Jika ramai turun ke stadium untuk menyokong, makin bersemangat lah pemain-pemain mereka. Apa yang kita buat ini selalunya tidak nampak secara zahir. Tapi kesannya paling besar pada kelab Negeri Sembilan FA. Ayuh lah ke stadium. Biarkan siaran langsung di kaca TV itu hanya untuk mereka yang duduk jauh, gadis-gadis sunti dan mak-mak datin sahaja.

Di saat pasukan perlukan kita, janganlah kita memalingkan muka. Jika kalah, kalah lah. Jika menang kita bersorak. Bukankah ianya adat permainan. Tak mahukah kita sama-sama lihat Lee Tuck terpaku di stadium Paroi? Adakah kita mahu memberi ruang untuk Terengganu memalukan Negeri Sembilan? Jika tidak datang macam mana kita hendak jawab persoalan ini.

Abang Tom tak halang penyokong menyuarakan pandangan mereka. Itu tandanya mereka sayang pada pasukan. Namun kita perlu menjaga adab ketika menyuarakan pendapat. Harga tiket RM 10 itu tak bermakna kita boleh memaki orang tanpa batasan. Ingat, maki di Facebook maki juga. Tetapi di Paroi kita bertepuk tangan dan menyanyi bersama. Barulah berbeza penyokong dan penonton. Betul tak?

 

 

P/S: Abang Tom pantang tengok orang membuang sampah kek teres-teres stadium. Paroi stadium keramat bukan stadium sampah korang tau tak?

 

 

Tom Bombadil – Mee Udang Pakar Paroi, 2018

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2025.