October 24, 2021

KENAPA MESTI KEKALKAN SIMBOL KIJANG DALAM LOGO BARU KELANTAN?

3 min read

Oleh Cech Adrea

Simbol binatang di sesebuah logo pasukan bola sepak ada nilainya tersendiri. Macam kelab Itali AS Roma menggunakan serigala dan dua bayi kembar Romulus dan Remus, simbol kota Rom yang ikonik. Tetapi tidak semua pasukan mahu menunjuk garang dengan simbol binatang. Macam Arsenal, tanpa simbol binatang, masih garang dengan meriam.

Di Malaysia, lihat saja logo pasukan Terengganu sejak 2017, ringkas dengan emblem hitam putih sebagai mengambil warna bendera, tidak pula menggunakan simbol penyu di logo pasukan. Pahang juga, tidak mengguna gajah sebagai simbol pahlawan negeri itu Tok Gajah, ayah kepada Mat Kilau. Ada pasukan yang tampil dengan logo lebih garang selepas penjenamaan, Johor DT misalnya. Lihat saja logo ketika masih dikenali sebagai Johor FC sebelum ni, tak garang langsung. Sejak penjenamaan semula pada 2013, simbol harimau mengaum diabadikan di logo JDT, sesuai dengan jata negeri Johor.

Logo baru Kelantan era Zamsaham pula mendapat reaksi pelbagai. Ada yang mahu logo era Annuar Musa dikekalkan kerana banyak kenangan manis termasuklah ketika The Red Warriors merangkul gelaran Treble pada tahun 2012. Ada juga yang bersetuju dengan penukaran logo yang dibuat. Logo baru The Red Warriors dipilih melalui satu pertandingan dan dimenangi oleh saudara Afiff Hakimi, dikatakan akan diubah mengikut citarasa pemilik kelab sebelum diguna secara muktamad pada musim 2021. Ada peminat yang memberi kritik tentang gambar binatang dengan tanduk bercabang di logo itu, kerana ia menggambarkan rusa bukannya kijang. Pada 30 Oktober laman media rasmi Instagram Kelantan FA memuatnaik satu logo yang diubah suai, tanduk binatang di logo kelihatan lebih pendek untuk menggambarkan seekor kijang.

Jangan keliru antara kijang dengan rusa, ia adalah dua haiwan berbeza. Gigi taring kijang panjang dan keluar sedikit, tidak seperti rusa. Tentang kelajuan berlari pula, kijang lebih pantas kerana kelincahan tubuhnya yang kecil. Saiz dua haiwan ini berbeza, rusa mempunyai saiz lebih besar berbanding kijang. Tanduk rusa bercabang tiga sedangkan kijang cuma bercabang dua. Bahkan tanduk rusa jauh lebih panjang daripada kijang. Ada juga kijang yang tidak mempunyai tanduk. Rusa adalah simbol pasukan Negeri Sembilan.

Apa pun respon peminat, bagaimana sekalipun bentuk logo baru Kelantan FC, pengekalan simbol kijang patut diberi pujian. Ada sebab kenapa simbol kijang tak boleh lepas dari memberi makna besar untuk Kelantan. Semuanya bermula ketika pemerintahan Cik Siti Wan Kembang.

Ada pendapat mengatakan Siti adalah gelaran kepada perempuan yang menjadi tuan kepada ramai. Dalam sebuah buku tulisan Arifin Abdul Rashid pada 1962, menyebut bahawa Siti bererti tuan yang layak digelarkan kepada perempuan yang mula-mula menjadi pemerintah sesebuah negeri. Daripada kenyataan itu, benarlah, kerana Cik Siti Wan Kembang adalah pemerintah perempuan pertama yang memerintah Kelantan.

Ketika era Cik Siti Wan Kembang, Kelantan dimasuki oleh ramai pedagang, membuktikan beliau memperkasakan ekonomi Kelantan dari segi perdagangan. Pemerintahan beliau tidak menunjukkan kelemahan walaupun diterajui oleh seorang perempuan. Beliau bahkan menunjukkan kepimpinan yang cerdik, contohnya ketika  membina satu lagi pusat pentadbiran kerana bimbang pusat pentadbiran di Gunung Chinta Wangsa diserang, menjadikan Kelantan mempunyai dua pusat pentadbrian dengan membuka Kota Tegayong. Sekarang, lokasi tempat itu adalah di Kedai Piah, Ketereh.

Ada beberapa pendapat tentang kaitan kijang dengan Cik Siti Wan Kembang. Ketika beliau mula terkenal, rakyatnya yang mendiami Gunung  Ayam membawa pelbagai persembahan buat beliau termasuk seekor anak kijang. Kerana sayang terhadap kijang itu, beliau abadikan dalam dalam dinar emas negeri dan lambang kebesaran negeri. Pendapat lain pula mengatakan, ada pedagang Arab yang menghadiahkan kijang kepada Cik Siti Wan Kembang ketika masuk berdagang. Ternyata, pengaruh Kelantan ketika itu menjadi gah kerana kepimpinan wanita ini.

Fakta bonus tentang Cik Siti Wan Kembang, beliau tidak pernah berkahwin,  dan mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat.

Antara sebab Cik Siti Wan Kembang menjadikan kijang sebagai belaan beliau adalah kerana baunya harum umpama kasturi. Ada rujukan tentang cerita ini, daripada kitab Iq Al-Aqaa dan kitab Jaami Karaamat al-aliyaa; ketika nabi Adam diturunkan ke bumi, baginda diziarahi oleh seekor kijang betina lalu dihadiahkan kepada kijang itu secebis daun dari syurga.

Kepimpinan Cik Siti Wan Kembang dikenali luas. Kalau anda cuma melihat simbol kijang hanya sebagai haiwan mangsa tanpa melihat latar belakang dan sejarah, anda akan memandang rendah. Di sini, kijang adalah sebuah simbol dengan nostagia  sejarah kepimpinan dan pengaruh luas negeri itu.

Sebab itu peminat sensitif bila kijang nampak macam rusa.

Lambang kijang juga diguna sebagai logo dalam wang kertas Malaysia oleh Bank Negara Malaysia sejak 1967. Ada sumber cakap itu bukan kijang, tapi anjing firaun. Itu cerita lain lah.

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copyright © Ultrajang 2021.