April 18, 2024

Kota Paroi Bukan Dibina Dalam Masa Sehari

3 min read

Bagai getah dibawa ke semak. Begitulah masalah pasukan kita Negeri Sembilan. Hari demi hari masalah mereka semakin rumit. Desakan letak jawatan dan pelbagai kritikan makin kuat dirasai. Lepas satu-satu ujian yang timbul. Seperti tiada kesudahan dan penghujungnya. Jika ditanya pada bomoh Siam maka dia pun bersara lantas terus menjadi ejen insuran. Siapa lagi hendak kita salahkan? Buang sudah ramai dibuang dari zaman Faizal sehinggalah ke zaman Satwant. Malah pada waktu ini, pihak pengurusan sudah mula berkira-kira untuk membuang lagi beberapa pemain dan jurulatih. Seperti anak ayam kehilangan ibunya. Membuat keputusan seperti ini tidak akan menyelesaikan masalah.

Pada pandangan kami, bukan pihak pengurusan tidak pernah mendengar rintihan daripada penyokong-penyokong. Dahulunya kita mahukan Shahurain Abu Samah. Beliau sudah pun dibawa masuk. Kita cuba untuk tiru pasukan lain dengan wujudkan pas bermusim. Juga sudah dilaksanakan dengan hambarnya. Sesi bersama penyokong? Jang cakap dengan abang Tom sampai habis bihun dan karipap kau semua kerjakan. Pemain import dikekalkan? Semua masih dikekalkan dan masih juga susah menjaringkan gol. Tak perlulah abang Tom senaraikan semuanya. Cukup untuk membuktikan ada usaha dari pihak pengurusan untuk berubah.

Dengar keluhan penyokong itu perlu. Tanpa mereka siapalah pasukan Negeri Sembilan. Namun bukan itu isu nombor satu pengurusan perlu utamakan. Setiap tahun Negeri Sembilan menjanjikan tempat di Liga Super. Nampak manis tetapi ini adalah kesilapan nombor satu Negeri Sembilan. Kita perlu akur bahawa pasukan kita masih dalam proses pemulihan. Kaki yang disimen belum kering acuannya sudah dipaksa berlari. Kita lihat sahaja pasukan bola sepak Eropah di liga bawah apabila ditanya apakah objektif mereka. Mereka akan berkata kami hanya mahu kekal di liga utama. The key word is ‘kekal’. Mereka tahu yang ini merupakan pelan jangka panjang.

Oleh itu perlu untuk PBNS meletakkan target masa. Berikan tempoh berapa lama Negeri Sembilan perlukan bagi persedian kembali ke Liga Super. Bukan terus meletakkan tempat. Penyokong pun tak adalah terus berharap. Apabila jangka masa itu sudah ada, barulah pihak pengurusan tahu siapa yang mereka perlukan dalam pasukan atau yang bakal ada pada tahun-tahun selepasnya. Dengan adanya jurang masa ini, barulah PBNS boleh cari penyelesaian untuk soalan-soalan berikut. Berapa jumlah peruntukan yang perlu dikumpulkan? Siapa yang akan mengemudi pasukan selepas tiga ke empat tahun akan datang? Adakah orang yang sama? Ataupun jurulatih muda yang lain?

Dengan ini bila ada situasi pemecatan nanti, penggantinya sudah ada. Tiada lagi panic buy. Bukan jirus dulu baru kencing. Tak menjadi masalah pun jika ambil pemain atau jurulatih buangan. Bila sifirnya betul, teori Isaac Newton pun boleh dipatahkan.

Jangan membina rumah bermula dengan atap jika bakal dilanda badai. Begitu juga dengan cita-cita kita sendiri. Apa guna naik sekejap jika pasukan dibina untuk turun semula. Negeri Sembilan bukan pasukan gergasi buat masa ini. Jauh setaraf dengan pasukan seperti JDT. Pembentukan itu mengambil masa bertahun-tahun. Bila ada potensi, baru ada pembeli. Paroi wasn’t built in a day bak kata orang Senawang. Ingat, sabar adalah segalanya. Jika kita abaikan ini maka kita akan ulangi kesilapan yang sama. Buang duri ganti dengan racun. Buang Moyes ganti dengan Ole. Nevertheless, rintihan abang Tom hanyalah sekadar bualan kosong. Mungkin ianya serba sedikit mampu menyedarkan pihak pengurusan jika mereka benar-benar ikhlas.

Masih teringat kata-kata rakan abang Tom yang bernama Rosli Cavani yang more or less berbunyi begini. “Kenapa nak marah bila penyokong maki. Dah itu sahaja kami boleh buat sebagai penyokong. Takkan nak salahkan Liverpool?” Ada benar kata-katanya. Penyokong telah melakukan tugasan mereka. Dengan cara mereka yang tersendiri. PBNS perlu ingat, mereka jugalah yang paling terkesan dengan kedudukan Negeri Sembilan sekarang. PBNS, now your move sir.

P/S: Dulu ado Asri Ninggal dibuang ehhhhh.

-Tom Bombadil-

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.