November 6, 2024

Liga Perdana: Rekod tanpa kalah Negeri Sembilan ternoda di Kuala Lumpur

4 min read

Dimana Jang nak bermula? Itulah persoalan yang bersarang diminda Jang sepanjang perjalanan pulang dari stadium Selayang ke Seremban. Perlukah Jang menyorot semula detik perlawanan diantara Negeri Sembilan dan T-Ting di Paroi yang berkesudahan seri 3-3? Perlukah Jang bercakap semula tentang rotasi dan kepentingan piala mana yang menjadi tumpuan? Adakah keputusan akan berbeza jika kita rehatkan semua pemain utama kita semasa menentang T-Ting? Tak sedar Jang kereta dah sampai ke tol Seremban dek kerana fikiran melayang dipadang bola.

Jang menahan diri dari mengulas perlawanan Negeri Sembilan dan T-Ting pada Jumaat lepas kerana tidak mahu mengganggu mood perlawanan penting semalam. Banyak perkara yang ingin Jang sentuh dalam perlawanan tersebut, terutama keluhan sesetengah penyokong yang kecewa apabila Lee Tuck dikeluarkan dan menganggap kita seri kerana Lee Tuck tiada. Ini tidak betul. Lee Tuck bukan defender dan kita bukan one man team. Gol ketiga T-Ting berpunca dari bek kita menarik baju pemain lawan. Pengadil tidak ada pilihan selain dari memberi sepakan penalti kepada pasukan lawan.

Soalnya kenapa pemain bek kita tarik baju pemain lawan? Kalau pemain lawan terlepas, masih ada penjaga gawang yang kita percaya mampu melakukan sesuatu.  Adakah sebab keletihan atau kegagalan mengawal pemain lawan lalu mengambil langkah singkat? Apa impaknya kepada pemain lain dengan situasi begini? Apa impaknya kepada penyokong? Moral akan tergugat? Malas Jang nak tolong jawabkan. Mungkin bukan kali ini.

Jang masih percaya kepada barisan pertahanan kita dan rekod tanpa kalah kita bukti mereka bagus. Jang tetap percaya kepada Nasriq dan Anas dan bagi Jang mereka adalah terbaik.

Kembali semula ke Kuala Lumpur, Jang sampai ke stadium Selayang sekitar jam 7.30 malam. Suasana begitu tenang dan boleh dikatakan seperti tiada tanda-tanda akan ada satu perlawanan merebut tempat pertama liga bakal berlaku sebentar lagi. Perlawanan top of the table apa ni? satu kedai jual jersi pun takda! Oklah, ada satu, itu pun kedai jual jersi Negeri Sembilan yang datang dari Seremban. Penyokong tuan rumah tak ramai kelihatan dan kemeriahan bola sepak langsung tiada. Mungkin faktor stadium Selayang yang sedia kelam tanpa vibe…atau masih terperangkap dalam kesesakan lalu lintas… atau Kuala Lumpur memang tak ramai penyokong?

Kuala Lumpur tidak menurunkan kesebelasan utama mereka dalam perlawanan lepas dan mereka kalah 3-0 kepada Perak dalam saingan Piala Malaysia. Maknanya apa? Ya, mereka melakukan rotasi pemain dan menumpukan tenaga pemain utama untuk membenam Negeri Sembilan. Selera mereka ditahan lalu mereka dihidangkan gulai daging salai kobau campur pucuk ubi lalu mereka meratah kita tanpa sedikit rasa kasihan.

Kuala Lumpur mendapat gol awal melalui satu tandukan cantik DePaula hasil dari satu tendangan percuma yang diambil. Tandukan rendah ala flying header dari sudut sukar itu memang diluar angle Kahar, bola melencong dan terkena tiang lalu masuk.Tahukah anda, statistik kita bocor berpunca dari tendangan percuma ada dalam simpanan Jang? Jelas, samada kita tidak bersedia atau lemah dengan set piece lawan. Gol awal Kuala Lumpur memberi mereka suntikan semangat untuk terus mendominasi permainan. Sementara jelas pemain kita nampak keletihan dibelakang bola. Sabri terlalu kecil untuk mengawal De Paula. Vidic pula terlalu kepenatan untuk menjadi DM malah Jang syak beliau menghabiskan permainan dalam kesakitan.

Kuala Lumpur terus menambah jaringan demi jaringan dengan begitu bergaya. Kita ketinggalan 3 gol tanpa balas. Kita terdesak dan pemain pasukan lawan melengahkan permainan dengan berpura-pura cedera. Jang tak faham, bagaimana pengadil boleh melepaskan pemain yang cedera tidak boleh bangun tetapi setelah stretcher dibawa masuk kedalam padang, dia boleh bangun dan berjalan keluar bagaikan miracle. Sepatutnya kad kuning diberikan kepada pemain yang melengahkan permainan tahap teruk. Melengahkan permainan adalah biasa tetapi sampai menyusahkan medik yang berlari bawa masuk stretcher adalah satu penghinaan kepada permainan.

Sedih melihat pasukan kesayangan Jang yang bermain dalam tekanan dan keletihan. Lebih sayu mereka tetap berusaha keras mencari gol walau bagaimana penat dan sakit sekalipun. Bila mereka jatuh atau cedera, mereka tetap teruskan permainan. Inilah semangat yang Jang mahu kita semua raikan dan puji. Inilah semangat demi lencana didada. Kita bangkit dan berjaya menghasilkan 2 gol melalui tap Bruno dan tandukan Faderin. Ianya mencemaskan sejenak kem Kuala Lumpur. Kebangkitan inilah thrill yang cukup klasik dalam perlawanan semalam.

Usai permainan, penyokong kita tetap setia dengan pemain. Mereka tidak simpan dalam hati atau sekurang-kurangnya mereka hargai usaha pemain. Aksi menyanyi bersama dan membuat viking clap jelas menunjukkan kepada pasukan dan penyokong lawan bahawa walaupun kita kalah, tapi kita tetap ceria, bersatu dan bersedia untuk kembali merampas semula takhta liga. Kita kalah dalam padang tapi diluar, semangat penyokong dan pemain kita dicemburui lawan.

Ini adalah kekalahan pertama kita dalam liga dan ketiga dalam keseluruhan musim ini. Kekalahan ini bagus jika dijadikan iktibar dan diambil langkah pembendungan awal dari menjadi habit dan merosakkan moral pasukan. Kita telah rasa pahitnya kalah dan kita tahu manisnya menang. Kita pilih mahu terus merasa pahit atau kembali semula kepada kemanisan.

Ingat! yang memberi kita kemenangan selama ini adalah semangat juang, kerjasama dan mentaliti ingin menang yang cukup padu. Cari semula ketiga-tiga elemen ini dan insyallah, kita akan kembali merampas takhta liga.

Tahniah Kuala Lumpur! Kedudukan mata 4 pasukan teratas begitu rapat. Hanya perlu satu kekalahan atau kemenangan untuk menjarakkan diri. Negeri Sembilan tidak mahu lain selain menjadi juara liga perdana musim ini.

Ingat! Ini amaran kami!

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.