Liga Super 2024/25 | Dimanakah salah dan silap NSFC sehingga kau semuo bongih tidak dapat diamankan lagi.
3 min read
Derita kita musim ini telah berakhir apabila pengadil meniup wisel penamat Liga Super 2024/25 di Paroi malam kelmarin. Seperti diduga, NSFC menutup musim ini dengan kekalahan kepada Kuching City FC dengan jaringan 1-3. Perlu diingat, Kuching City adalah pasukan yang solid, fizikal pemain yang bagaikan berumah di Gym dan sentuhan dan passing yang bermaruah dan berwibawa. Mereka mempamerkan permainan yang berkualiti LIGA SUPER! Teramat wajar jika NSFC mencontohi Kuching City FC dalam membentuk pasukan. Kerana apa yang dipamerkan oleh pasukan Kuching City FC, dan oleh semua pasukan lawan, itulah yang kita TIDAK mampu lakukan sepanjang musim ini. Terimalah hakikat itu.
Sekadar rekod, persembahan pasukan kita musim ini adalah sama buruk dengan pasukan yang bermain pada musim 2002 dan 2018 dimana kita hanya mampu menang 4 kali sahaja. (2002 -menang 4, seri 4, kalah 18 / 2018 menang 4, seri 3 dan kalah 15) sementara rekod terburuk kita adalah pada tahun 2013 dimana kita hanya menang SEKALI SAHAJA, seri 7 dan kalah 14. Dalam kesemua tahun tersebut, kita mengungguli petak terakhir liga dan diturunkan ke Liga Perdana. Begitu keras kehidupan menjadi penyokong Negeri Sembilan, namun hati kau semuo lebih keras dengan tetap turun ke stadium dan menyokong. Tidak ada mentaliti “buek apo nengok bola, manjang kalah je” dalam jiwa kau semuo. Tiada lain, hanya respek dan salute Jang buat kau semuo.
Jadi dimanakah salah dan silap pasukan NSFC musim ini hinggakan kito semuo merusuh, tidak dapat diamankan lagi (kecuali Abang FRU mula berkawad). Dari segi kewangan, CEO telah maklumkan bahawa ada peruntukan musim ini digunakan untuk membayar hutang musim lepas, terutama hutang KWSP. Jadi sedikit kredit perlu diberi kepada CEO kerana pasukan kito tidak la ado masalah gaji sangkut. Gaji lambek tu mungkin ado. Tetapi, jika tidak ada masalah gaji, kenapa kita masih kalah kepada pasukan yang tidak bergaji, tidak berlatih dan tidak membayar KWSP? Jeng! Jeng! Jeng!
Kerana gaji murah? Kenot be! Sasaki gaji murah juga (untuk kategori pemain import) namun beliau beri kesungguhan sehingga nama beliau menjadi perhatian dan sebutan peminat pasukan lain. Jadi adakah kerana kualiti pemain? Mungkin pemilihan pemain tidak serasi mengikut kehendak jurulatih? Tetapi difahamkan kesemua pemain adalah pilihan jurulatih, (Azmi dan Nantha) termasuk Pires. Jadi apo masalah eh?
Jang secara peribadi melihat pilihan dan kualiti pemain menjadi punca pasukan NSFC tidak dapat bergerak ‘helok’ sepanjang musim. Mereka seperti puzzle block yang sama bentuk. Bagaimana nak masuk jika semua puzzle block yang turun adalah berbentuk U. Mereka sebenarnya bagus cumo tak fluid. Fluid disini bermaksud boleh ubah bagaikan air sungai yang mengalir mengikut bentuk muka bumi. Fluid juga bermaksud boleh mengadaptasi perubahan permainan dan tugas mengikut keadaan semasa. Macam air, apobila dijerang, dia mendidih, apabila sejuk, dia membeku. Fluid juga bermaksud perubahan yang dinamik dalam posisi untuk menyerap taktikal lawan dan mencipta serangan yang tidak dijangka. Tetapi jika pemain bersifat statik atau rigid, maka dia tak boleh berubah kerana jika dia berubah, dia patah. Ada pemain laju tetapi barisan serangan slow nak naik atas. Ada pemain yang tidak ada rekod menerima bola dengan sempurna musim ini. Bagaimana kita nak nampak merbahaya apabila bola sudah bola dijangka tidak akan sampai ke gawang lawan? Pukul rata dan musim pun dah habis, kita simpulkan bahawa pilihan pemain musim ini sukar untuk gel, fizikal yang tidak cukup mantap juga menampakkan kelemahan pemain untuk bersaing.
Pasukan NSFC juga tidak ada manager/pengurus yang sepatutnya memainkan peranan penting dalam mengurus pasukan dan pemain. Apabila tiada pengurus, maka koordinasi pemain dan pasukan, jadual latihan, menyelaras pemain dan meshorat pasukan dikira tidak ada. Siapa pantau disiplin pemain, kecergasan dan prestasi? Takkan coach atau CEO atau suruh Acai menjawab? Coach hanya melatih dan dia mungkin boleh pilih kasih. CEO hanya uruskan hal dalam pejabat dan korporat isu. Pengurus sepatutnya menjadi orang tengah untuk handle isu pemain, pasukan dan management. Ini antara kesilapan musim 2024/25 yang tidak boleh dibiarkan kosong untuk musim depan.
Jadi untuk musim hadapan, pemilihan pemain mestilah dilakukan secara persetujuan bersama terutama dari jawatankuasa pemilihan pemain. Bukan apo, jika berlaku kesilapan, nanti tidak ada la yang kata “ini bukan pemain pilihan saya” ATAU jika ada pemain yang dipilih secara peribadi oleh coach tetapi tidak menjadi, tidak la pengurus atau CEO atau Presiden yang kena maki sebab ambil Pires. Jadi, untuk tanggungjawab bersama, pilih pemain selepas semua bersetuju. Jika pemain atau pasukan gagal, hadap makian penyokong juga bersama. Real kannnnnn?
Jika Jacque Faye dikekalkan, Jang akan merusuh di Jalan Rahang.