November 6, 2024

LP1 | NSFC 2-1 JDTII – KakiJersi vs Nike

3 min read

Hujan yang turun malam tadi setelah seminggu Seremban berpanas, seolah-olah menggambarkan perasaan pencinta bola sepak. Bahang yang dirasa menanti bola sepak dimainkan semula, dilembutkan dengan tiupan pertama pegawai perlawanan berbaju biru di atas padang. Dan Negeri Sembilan lulus cabaran pertama. Walaupun terlalu awal untuk memuji skuad ini, but credit must be given where credit is due. Kemenangan 2-1 ke atas JDTII cukup untuk membuatkan jang dan milah bermimpi indah untuk sehari setelah beberapa hari tidur tak lena dek kepanasan.

Negeri Sembilan terlebih dahulu membuka jaringan gol menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Zaquan Adha. Kesilapan pertahanan JDTII melakukan kawalan bola yang kemas memberi ruang kepada Rafael Gomes untuk berhadapan dengan penjaga gol sebelum dijatuhkan. Dalam situasi ini, den puji sifat Saiful Rizwan yang begitu fighter sekali berlari dari kawasan tengah padang untuk bertanya kepada pengadil kenapa penjaga gol JDTII tidak dilayangkan kad merah. Walaupun permainan Saiful sedikit sebanyak menguji kesabaran den, sifat yang tampak remeh ini perlu ada dalam diri setiap pemain, supaya pengadil tidak prejudis dalam membuat keputusan.

Walaupun JDTII menyamakan kedudukan sebelum wisel rehat ditiupkan, Negeri Sembilan akhirnya tersenyum lega pada separuh masa kedua apabila Rafael sekali lagi dibentes di dalam kotak penalti oleh pertahanan JDTII setelah menerima lorongan cantik dari Akono. Berbanding sepakan penalti pertama, di mana rundingan perlu dilakukan untuk menentukan siapa yang mengambil sepakan penalti, kali ini semua pemain membiarkan Akono mengambil bola untuk meletakkan bola di dalam jaring. Cumanya, untuk kedua-dua insiden ini, den melihat Rafael dengan tenang keluar dari kotak penalti walaupun turut mempunyai hak untuk menyepak. Mungkin beliau mempunyai rasa hormat kepada kasta pengambil sepakan penalti, tiada siapa yang tahu.

Formasi Dan Corak Permainan

Sebagaimana yang den maklumkan dalam artikel pra perlawanan sebelum ini, den menantikan taktikal yang akan digunakan Devan dengan kehadiran tiga pemain penyerang di atas padang. Menariknya, untuk perlawanan ini Devan menurunkan lima pertahanan untuk membentuk formasi 5-4-1 ketika bertahan dan bertukar kepada 5-2-3 ketika menyerang. Kenapa den cakap 5-2-3? Kerana kedua-dua pertahanan sisi tidak terlalu aktif menyerang dan sentiasa bersedia untuk terus turun ke posisi asal setelah JDTII mempunyai penguasaan bola.

Aksi Bertahan

Sekali lagi, honorable mention perlu diberikan kepada susuk tubuh yang telah beberapa tahun berada di pintu gawang Negeri Sembilan untuk malam tadi. Jika Rafael dan Akono menyinar di bahagian hadapan, Kaharudin Rahman memastikan pemain-pemain terus bersemangat dengan menafikan percubaan ke arah gol. Beberapa kali bahagian serangan JDTII berjaya melepasi barisan pertahanan Negeri Sembilan, dan Kaharudin menjadi The Great Wall of Paroi. Tidak dinafikan kesilapan Kaharudin mengagak arah tuju bola Rafiefikri yang menghasilkan jaringan penyamaan, Kaharudin pantas melupakan insiden tersebut dengan meneruskan aksi cemerlang termasuk menyelamatkan keadaan dalam situasi satu lawan satu.

Dengan lima pemain di bahagian pertahanan, tampak terlalu sukar untuk pemain JDTII memasuki kawasan final third sehingga memaksa pemain JDTII beberapa kali melakukan percubaan dari jarak jauh. Namun sekali sekala kombinasi larian dari belakang dan lorongan through ball mencemaskan pintu gol Negeri Sembilan dan perkara ini boleh diperbaiki lagi. Jika mengikuti temu bual Kid bersama Hafiz Zamani Misbah, ia memerlukan pemain untuk bijak membaca gerakan lawan dan di manakah hantaran akan dilakukan untuk bersedia di tempat yang sepatutnya.

Aksi Menyerang

Tampak ada sinar untuk penyokong Negeri Sembilan menikmati keindahan jaringan-jaringan gol padang berbanding musim yang sudah. Perkara asas untuk pemain menyerang, ketiga-tiga pemain yang diturunkan mampu berlari dan menggelecek bola. Ini membolehkan gerakan serangan yang dilakukan lebih fluid walaupun baharu sahaja selesai bertahan. Ditambah pula kehadiran Beomgeun di bahagian tengah, pergerakan bola ke hadapan membuatkan adrenaline peminat-peminat yang sanggup membayar untuk menonton secara pay per view, menaik.

Cumanya, adakah ada isu para pemain tidak bersuara untuk meminta bola atau ia sekadar bad decision making, tidak pula dapat dipastikan. Hal ini bersandarkan beberapa kali terjadinya keadaan di mana possible receiving player telah berlari ke ruang kosong untuk menerima hantaran, namun penghantar bola memilih untuk mencari pemain yang dikawal sehingga menyebabkan kita kehilangan bola. Dalam permainan yang pantas di mana pemain perlu cepat melakukan tindakan, komunikasi sesama pemain penting untuk meningkatkan awareness di dalam padang.

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.