September 14, 2024

LS26 | Kucing City cakar muka NSFC namun darahnya telah lama hilang bersama maruah.

2 min read

Perlawanan terakhir melibatkan Negeri Sembilan FC vs Kuching City FC yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menjadi penutup musim yang barai bagi saingan Liga Super 2023. Kekalahan pasukan Negeri Sembilan pada perlawanan terakhir semalam merupakan gambaran jelas bahawa pasukan itu tidak pernah mencapai sebarang piawaian standard dari awal musim sehingga tamat.  Tiada standard, laoya, habiskan boreh, tidak menuras dan membuang masa. Terlalu keras? ya, kerana masa berlembut tidak pernah hadir sepanjang musim ini.


Kemenangan pasukan Kuching City malam semalam yang juga merupakan kemenangan kedua mereka dalam saingan liga kelihatan begitu mudah apabila mempamerkan corak permainan yang proaktif dan memegang keseluruhan statistik permainan. Hal ini kerana, pasukan kendalian Aidil Sharil menurunkan kesemua 5 pemain import berbanding Negeri Sembilan yang hanya dapat menurunkan Hein Htet Aung seorang sahaja. Kelincahan Petrus Shitembi menjadi watak penting Kuching City apabila banyak gerakan cantik dapat dilakukan dengan mudah melepasi beberapa pemain seterusnya melenyapkan impian pasukan Negeri Sembilan mengutip mata penuh pada perlawanan akhir.

Dari pandangan sudut individu, Negeri Sembilan sekadar bernasib baik dapat menamatkan saingan di kedudukan “Top 10” dan tidak ada apa yang patut dibanggakan. Edisi kali ini merupakan genap 100 tahun penubuhan pasukan bola Negeri Sembilan yang menjadi episod duka apabila lebih banyak mengutip kekalahan berbanding kemenangan. Laungan “CEO, Terima Kasih Telah Menjahanamkan Kenikmatan Ini” oleh Ultras Nogori menjadi wakil keseluruhan peminat untuk menggambarkan kekecewaan prestasi musim ini. 


Buat pengurusan baharu yang dikatakan akan menerajui kepimpinan bolasepak Tanah Beradat ini, terdapat 4 perkara yang sangat mustahak untuk diterapkan bagi menghadapi saingan dalam jangka masa panjang.

  1. Fasiliti yang maju (atau kalau bukan maju sangat pun, cukuplah jika ada)
  2. Pembangunan yang berterusan (Akar umbi, transisi terjaga dan squad depth)
  3. Pemain yang berkualiti (bukan berkuali besar)
  4. Pengurusan gred A (berwibawa la. Jumpa orang kat luar tak la malu)

Terima kasih diucapkan kepada para pemain yang telah berkorban berjuang demi panji kuning merah hitam. Selamat maju jaya juga diucapkan kepada pemain pinjaman yang turut bertungkus-lumus bermain bersama. Buat sekalian yang setia, terima kasih tak terhingga kerana selalu bersama ketika menang dan kalah. Ada masa, ada rezeki kita jumpa tahun 2024. Salam Selamanya Negeri Sembilan, Musuhnya Habis Binaso!

Jacks-san

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.