April 26, 2024

Luqmanisasi, Naturalisasi dan Manipulasi

3 min read

Jang jarang menyentuh hal Luqman yang kini bermain diliga luar. Secara peribadi, Jang rasa masih terlalu awal untuk melambung Luqman kerana Luqman bukan pemain pertama negara yang dapat beraksi diliga luar. Bagaimana Luqman atau pemain lain dibawa bermain diliga luar, itu cerita lain. Berbeza dengan ramai pemain terdahulu yang keluar dan balik dengan kisah sendiri, pemergian Luqman Jang anggap sedikit berbeza. Luqman menjadi penentu atau kayu ukur kepada kejayaan seorang anak muda yang terlatih (bersama NFDP) dan biasa bermain dalam pertandingan di negara luar ketika kanak-kanak sebelum menjadi pemain pro. Bagi Jang, Luqman adalah penentu. Jika dia gagal dan balik semula ke Selangor, maka Jang sendiri akan sahkan, semua pemain kita, hanya sesuai bermain di padang liga kampung. Tidak sesuai dengan cuaca sejuk, makan pasta atau roti, ombak rindu dan berhati kecil.

Namun, jika dilihat dari kualiti latihan, jerkahan dan ketegasan jurulatih akar umbi sekarang ini (dan Jang assume semua jurulatih akar umbi adalah tegas dan garang) maka Jang berani katakan Luqman telah bersedia mental dan fizikal untuk bermain diliga luar. Cabaran Luqman bukan kecil. Jika kita lihat filem dokumentari Forever Pure atau Anelka di Netflix, maka kita akan faham dugaannya. Bagi Jang, persediaan pemain secara mental dan fizikal untuk bermain diliga luar perlu dididik semenjak dari akar umbi. Drogba telah meninggalkan Ivory Coast semasa kanak-kanak untuk tinggal di Perancis dan ramai lagi ahli sukan terkenal yang bermula semenjak kecil dengan cabaran tinggal berjauhan. Kerana semua skil boleh didevelop dan bersaing. Yang menentukan menang kalah kini adalah emosi. Maksud Jang, mereka perlu struggle ditanah asing sambil mendapat khabar bahawa rakan sebaya mereka sedang mencipta nama di JDT dengan gaji sedap dan mencetak gol setiap minggu. Pressure bai!

Inilah Luqmanisasi. Satu term yang dicipta untuk menjadi pintu membawa ramai pemain keluar dari kepompong kampung. Jika jumlah mereka telah cukup dalam 6,7 orang, maka pasukan negara akan berhenti melihat kepada satu lagi term yang dinaikkan oleh seorang bekas jurulatih negara, naturalisasi.

Naturalisasi

Bagaimana naturalisasi bermula? Semua maklum ianya dimulakan ketika pasukan Malaysia pulang dari kekalahan 10-0 dari UAE. Jurulatih pada ketika itu menyarankan agar Malaysia mengambil pemain naturalisasi untuk menguatkan pasukan kerana kita kalah dari segi fizikal. Semenjak dahulu lagi Jang tidak bersetuju (tetapi tidak pula menghalang) niat mengambil pemain naturalisasi untuk kekuatan fizikal. Ternyata, pasukan sekarang dibawah TCH tidak pun ada pemain berfizikal tinggi dan besar, namun bersusah payah juga UAE nak kalahkan kita. Kerana apa? kerana kekuatan mental sentiasa menang dalam pertarungan. Bak kata pepatah Van Gaal, ‘train your brain not your leg’. Tak perlu Jang ulas secara panjang lebar, kita semua dah lihat kekuatan pemain lokal kita yang bermain untuk Malaysia sekarang ini.

Pemain naturalisasi juga hadir ketika mereka sudah matang, sudah keras dan sukar dibentuk. Ada juga yang sudah lengkap dengan ego. Ini akan menjadi sedikit rumit kepada jurulatih untuk melakukan kerja. Bagi Jang, biarlah tugas memartabatkan maruah bolasepak negara digalas oleh anak muda yang sedari kecil telah dididik, dimarah, dijerkah, dijemur dalam terik mentari setiap hujung minggu sehingga mak bapak nak berehat atau pergi kenduri kahwin pun susah. Jangan la semua pengorbanan ini dipandang sepi, dipandang remeh dan dikorbankan hanya kerana mahukan kejayaan segera. Luqmanisasi adalah lebih bermakna dari naturalisasi. Simple!

Manipulasi

Ini satu hal yang ada bagus dan ada tak bagusnya. Apabila dilakukan secara berlebihan, maka akan mendatangkan kebencian. Ya, Luqman main di Belgium, tapi sampai RTM nak beli hak siaran liga sana (RTM bagaimanapun menafikan berita ini), tulis surat ke kelab minta Luqman diturunkan dan blabla adalah satu bentuk manipulasi untuk kepentingan sendiri. Self interest adalah musuh bolasepak dan Jang dah lihat sendiri di Negeri Sembilan dan tahu keburukannya.

Johan Cryuff ada berkata, ‘Bolasepak adalah satu permainan mudah dan bermain mudah itulah yang susah’. Jang suka nak ubahsuai sedikit mengikut situasi bolasepak kita di Malaysia, “Main bola ni senang, kita sengaja suka menyusahkan diri sendiri dengan pegang bola lama, dribble dan tak nak pass kepada kawan lain’.

Jang,

One touch football.

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.