November 6, 2024

Malaysia 1-2 Korea Selatan (Suku Akhir Kejohanan AFC Bawah 23 2018)

3 min read

Sumber : goal.com

Semangat juang tinggi dan permainan berkualiti berjaya ditunjukkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dalam aksi suku akhir Kejohanan AFC 2018 Bawah 23 sebentar tadi! Kecewa? Sedih? Tiada langsung perasaan itu kat hati den. Tidak pernah termimpi bahawa Malaysia mampu mengimbangi perlawanan tadi dengan naib juara Korea Selatan!

 

Walaupun Korea Selatan mencipta sejarah tersendiri apabila menjaringkan gol terpantas kejohanan itu selepas 15 saat permainan dimulakan hasil kesilapan kecil Matthew Davies, namun skuad muda kita tidak terus menundukkan kepala. Mereka bangkit! Mereka bermain dengan sangat baik pada separuh masa pertama. Berani den cakap kita mengatasi persembahan Korea Selatan pada separuh masa pertama.

 

Beberapa gerakan berbahaya berjaya dihasilkan skuad muda negara namun gagal menewaskan penjaga gol Korea, Kang Hyeon Mu. Den tidak pasti mengapa Korea Selatan membenarkan pemain negara menguasai permainan. Mungkin memilih jalan selamat untuk bertahan atau sememangnya pemain kita mempunyai keazaman yang tinggi untuk membuktikan sesuatu kepada dunia. Ya, dunia! Bukan sekadar ingin membuktikan sesuatu kepada rakyat Malaysia.

 

Mengapa den cakap membuktikan sesuatu kepada dunia? Kerana mereka bermain bola sepak secara positif. Bukan sekadar bertahan dan melambungkan bola kepada penyerang. Mereka memecahkan pressing yang dilakukan Korea Selatan. Pemain kita juga tidak takut untuk memegang bola dengan lama dan menunggu peluang membuat hantaran-hantaran berbahaya. Bila kali terakhir kita melihat skuad negara kita bermain possession apabila menentang pasukan yang berkredibiliti tinggi selain daripada Kejohanan AFC ini? Batch Irfan Fazail dan Nazmi Faiz ke? Tidak juga. Kerana itulah den cakap mereka ingin membuktikan sesuatu kepada dunia! Lihat sahaja statistik perlawanan ini.

Statistik perlawanan tadi. Tiada banyak beza bukan? Sumber : theafc

 

 

Meremang bulu roma den bila Thanabalan, anak jati Nismilan menggegar jaring Korea untuk menyamakan kedudukan. Tak boleh digambarkan perasaan itu. Setelah 65 minit beraksi, sekali pun den tak ingat ada crossing yang betul-betul berkualiti selain hantaran Safawi ke Thana. Sekaligus, Thana membuktikan bahawa dia sememangnya seorang poacher yang berkualiti. Mampu berada di kawasan yang betul pada waktu yang betul.

 

Kekuatan mental skuad muda negara juga harus dipuji. Mampu bermain dan bertahan dengan baik sehingga minit ke-85. Ingat kah ketika Haziq melakukan double save untuk menidakkan percubaan Korea Selatan? Pada pendapat den itu merupakan turning point utama perlawanan tadi. Korea benar-benar tersentak dengan save tersebut. Beriyo lak den berceghabih ni kan? Ia merupakan turning point kerana Korea lebih agresif melancarkan serangan selepas itu. Malaysia dipaksa bertahan bermati-matian sambil perlu mencari gol kedua untuk mara ke separuh akhir.

 

Malaysia mampu mara ke separuh akhir sekiranya para pemain tidak kepenatan. Mereka kelihatan sedikit penat kerana mengamalkan tempo permainan yang tinggi untuk terlalu lama dan bertahan terlalu lama. Bukan lah sesuatu yang negatif untuk bermain dengan tempo permainan tinggi terlalu lama, malah ianya amat menarik dan den mengalu-alukan corak permainan sebegini. Cuma kudrat yang dimiliki pemain tidak cukup untuk mengamalkan permainan sebegini selama 90 minit. Lihat saja 15 minit terakhir tadi, berapa kali Korea Selatan berjaya melepasi benteng pertahanan kita dengan mudah, menerusi hantaran ke bahagian sayap? Kecergasan pemain negara harus ditingkatkan lagi pada masa akan datang.

 

Korea menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85. Benteng pertahanan negara yang diasak bertubi-tubi akhirnya tewas untuk kali kedua selepas mempamerkan persembahan berkualiti sepanjang permainan. Apakan daya. Inilah bola sepak. Ianya satu permainan yang kejam. Namun tidak wajar untuk rakyat Malaysia berduka. Apa yang kita mahukan daripada pasukan telah pun mereka berikan!

 

KESIMPULAN :

Tidak susah untuk memuaskan hati peminat. Tunjukkan corak permainan yang baik dan bersungguh-sungguh, sudah memadai bagi peminat. Kami sedar, Malaysia bukan lah powerhouse dalam dunia bola sepak, jadi KPI kami terhadap pasukan sekadar inginkan persembahan yang baik sahaja, dan pasukan telah berikannya kepada kami sepanjang Kejohanan AFC 2018 ini. Setidaknya, mereka telah buktikan yang Malaysia kini bukanlah pasukan belasahan di peringkat antarabangsa. Tahniah Datuk Ong Kim Swee! Tahniah para pemain dan juga staf!

 

Kepada para pemain, diharap momentum ini dapat dikekalkan. Attitude yang ditunjukkan sepanjang kejohanan ini tidak boleh hilang sekiranya ingin melangkah lebih jauh pada masa akan datang. Jangan terlalu selesa dengan situasi sekarang. Anda semua perlu majukan diri untuk membantu peminat melihat Jalur Gemilang berkibar di kejohanan Piala Dunia suatu hari nanti!

Kepada peminat, janganlah ingat kejayaan mara ke suku akhir kejohanan ini telah merubah landskap bola sepak Malaysia secara total. Kita harus realistik. Perjalanan masih jauh. Cuma setidaknya, harapan yang sebelum ini malap untuk melihat perubahan dalam landskap bola sepak negara, kini bersinar kembali.

 

Sekian,

MUSUHNYA HABIS BINASA!

Kid.

 

 

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.