Malaysia gagal ke Piala Dunia…lagi!
5 min read
Tamat lah kempen skuad bawah 16 tahun negara untuk melayakkan diri ke Piala Dunia bawah 17 tahun di Peru tahun depan. Sebaik tamat perlawanan tadi, heboh netizen meluahkan pendapat masing-masing. Ada juga yang menuding jari menyalahkan orang lain. Jadi salah siapa sebenarnya? Salah NFDP? Salah Lim Teong Kim? Salah pemain? Atau salah Mohamed Salah?
Kalau berdasarkan persembahan pada kejohanan ni, DNA yang digembar-gembur ingin ditanam oleh NFDP dalam pemain kita nampak tak begitu kuat. Ni pendapat den lah. Bukan tak ada langsung, tapi belum sebati. Persembahan daripada perlawanan dengan Tajikistan sehingga ke Jepun. Berbeza permainannya. Ketika menentang Tajikistan, gameplay skuad Lim Teong Kim sangat fluid. Kalau dalam possession tu, option untuk pass ada 2-3 orang. Luqman Hakim pulak macam kena rasuk saka Micheal Owen. Laju dan tajam menyudahkan peluang.
Ketika lawan Thailand pulak, den tengok pasukan jiran kita lebih banyak menguasai perlawanan. Ini sebelum Luqman Hakim yang kena rasuk saka tadi tu kena kad merah tahu? Memang Malaysia bermain dengan baik, tetapi lebih banyak bertahan. Bila dah tinggal 10 orang, memang susah la nak cari gol untuk menang. Perkara yang sama berlaku ketika lawan Jepun tadi. Jepun totally dominated the game! Ada lah a brief period masa separuh masa kedua yang nampak Malaysia bahaya. Dalam 5 ke 7 minit. Kemudian, Jepun dengan bersahaja mengawal tempo perlawanan. Apa yang mengecewakan, skuad muda negara kita langsung tidak menunjukkan corak permainan seperti perlawanan pertama. Kata menyerang dari bawah? Kata main short and simple passes? Ada lah nampak mereka cuba bermain seperti itu, tapi midfield macam tak nak terima passes dari defender. Ataupun sebenarnya Jepun dah menutup segala ruang untuk mereka sehingga menyebabkan mereka melambung bola ke atas tanpa pedoman?
Den bukan kecam mahupun marah. Cuma keliru. Dengar cerita batch inilah yang dirisik Chelsea lah, PSG lah. Kalau game tadi, pemain Malaysia yang nampak outstanding sikit ialah Firdaus Ramli yang pakai jersi nombor 3 dan juga kapten pasukan. Untuk game tadi dia betul-betul a rock for the Malaysian defense. Menaikkan semangat rakan sepasukan. Den nampak lah ciri-ciri leadership tu.
Berbalik kepada kenapa DNA yang tak begitu jelas kelihatan, adakah disebabkan tekanan daripada penyokong sendiri? Dengar cerita jugak, kalau budak-budak ni ada perlawanan, ibu bapa tidak dibenarkan duduk di tepi padang. Kena tengok dari jauh je. Den bangkitkan isu ini sebab setiap kali pemain-pemain muda ni nak build up play dari bawah, penyokong akan menggesa mereka melambung bola ke bahagian depan. Ada kalanya pemain-pemain ini akur dengan kehendak penyokong. Penyokong ni pulak, bila orang tu dah lambung bola ke depan dan penyerang kita yang kurang tinggi tu tak dapat bola, dia marah pulak kenapa lambung bola ke depan. Lah? Fahaman bola sepak apa yang kita semua pegang sebenarnya ni? Tapi den harap ini bukan lah sebabnya. Sebabnya, sampai bila nak main dalam stadium tak ada penonton? Kalau nak jadi world class player, pasti bermain dalam stadium yang penuh.
Faktor cuaca panas ke? Pemain Jepun tak rasa ke teriknya mentari Malaysia tadi ni? Den yang duduk tadi pun lecak lah. Inikan pulak pemain. Maka kita tolak ke tepi alasan ini.
Ada yang melaungkan argument bahawa mereka masih muda dan jangan terlalu menghukum. Dalam bab ni, Jang pernah cakap sampai bila nak layan macam budak-budak? Takkan umur dah 21 atau 23 tahun baru nak ajar erti kehidupan sebenar? Den memang bersetuju lah dengan Jang! Rooney buat debut untuk Everton umur berapa? Messi debut untuk Barcelona umur berapa? Giggs debut untuk United umur berapa? Nampak tak apa yang den nak sampaikan ni? Kekuatan mental kena dipupuk sekarang. Bentuk mentaliti to win at all cost! Mentaliti bahawa ‘aku lebih baik daripada kau’ kena ada dalam setiap pemain! Kalau awal-awal dalam diri dah cakap yang pihak lawan lagi hebat, maka kau dah pun kalah sebelum berjuang. Perkara ini perlu dipupuk sekarang supaya apabila mereka menginjak usia 20-an, mereka dah ‘masak’. Mereka dah boleh menjadi pejuang di atas padang. Bukan sekadar leka membuat challenge entah apa-apa yang trending di internet!
Ataupun sebenarnya pemain kita tidak tahu bermain apabila ketinggalan? Masa lawan Tajikistan, everything was sailing smoothly. Lawan Thailand pulak, Malaysia sentiasa mengejar perlawanan. Ada ketika kita perlu lakukan high pressing tapi tak buat. Begitu juga dengan perlawanan tadi. Dah minit ke-90 baru nak pressing. Sebab penat ke? Atau tak terfikir nak pressing? Atau tak tahu macam mana nak pressing? Perkara macam ni kalau pihak NFDP atau Lim Teong Kim boleh jawab mesti sedap!
Pada den, kekalahan Malaysia tadi memang tak dapat dielakkan. Jepun macam berada pada satu level di atas kita. Ketahanan fizikal mereka jauh lebih baik berbanding pemain kita. Ada nampak ke pemain Jepun terhincut-hincut akibat kekejangan otot? Pemain kita pula daripada perlawanan pertama hingga tadi selepas minit ke-60 dah mula bergelut untuk tidak kejang otot. Pemain mereka juga sentiasa tenang di atas padang. Touches mereka cukup sempurna, persis pemain professional! Saiz jangan cakap lah. Nampak struggle pemain kita apabila nak challenge mereka. Den pun tak tahu nak selesaikan masalah fizikal ni. Pernah dengar kena jaga pemakanan dari awal. Budak-budak NFDP ni tak cukup awal ke dijaga pemakanannya?

Sebaik perlawanan tamat, FAM keluarkan kenyataan bahawa Lim Teong Kim dipecat sebagai jurulatih skuad bawah 16 tahun. CEO NFDP, Safirul Azli Abu Bakar pula mengumumkan perletakan jawatannya. Banyak juga pihak menuding jari ke arah mereka ekoran kegagalan Malaysia ke Piala Dunia Bawah 17 tahun ini. Justeru, pelbagai maklumat yang tidak sepatutnya didedahkan, telah diketahui umum. Nilai gaji mereka contohnya. Den suka bila sesetengah pihak ni all out dalam sesuatu perkara. Ini menunjukkan mereka tahu banyak perkara yang kita tak tahu. Cuma yang tak manisnya ialah nampak macam nak jatuhkan orang sangat. Peminat-peminat bola sepak negara pun tak tahu nak percaya siapa. Takut masing-masing ada agenda sendiri yang ingin dicapai. Hmm.
Rata-rata yang marah akan kegagalan ini menyatakan persiapan selama 4 tahun itu cukup lama. Tambahan pula peruntukan yang dilabur untuk program ini bukan kecil-kecil anak. Puluhan juta ringgit nilainya! Jadi tak salah lah mereka meluahkan amarah mereka. Dengan berita-berita kejayaan yang dikecapi pasukan ini dalam kejohanan luar negara lagi. Sudah tentu expectation tinggi diletakkan ke atas bahu mereka!
Jadi, salah siapa Malaysia gagal layak ke Piala Dunia lagi ni? Mengenalpasti punca kegagalan memang penting. Tapi peringkat seterusnya itu lebih penting dan vital, iaitu penambahbaikan. Jangan lah dibubar terus tapak bernilai puluhan juta ringgit ini. Biasalah tu ada kerosakan sikit di sana-sini. Rumah kau kalau ada retak sikit, kau runtuhkan ke untuk buat rumah baru? Begitu juga lah hal bola sepak. Kejayaan bukan boleh dikecapi dalam masa yang singkat. Lain lah kalau kau Manchester City atau PSG. Itu pun tak menang-menang Champions League. Hmm. Hal Champions League ni lain kali kita bincang.
Den tetap berharap program ini diteruskan. Andaikata DNA yang dijanjikan itu belum sebati sepenuhnya, pupuk dan semai lah ia. Berikan sepenuh tumpuan kepadanya agar ia menjadi insan yang berjaya. Kalau nak cakap pasal kecewa, sudah tentu semua kecewa. Kecewa lagi penyokong Liverpool yang kalah pagi tadi dan dah lama tak menang liga. Berpuluh tahun pulak tu. Namun mereka tetap chill dengan slogan this is our year. Itu maknanya harapan mereka terhadap pasukan tidak pernah padam. Itulah pengajaran paling besar yang mereka sampaikan kepada umat manusia. Maka kau sebagai manusia, janganlah abaikan pengajaran ini!
Kepada skuad bawah 16 tahun negara kita, kegagalan itu adalah langkah pertama menuju kejayaan. Den harap kau semua tak putus asa dan tak putus harap. Terus berusaha bersungguh-sungguh untuk jadi yang terbaik. Bukan yang terbaik di Malaysia, tapi di dunia! Negara ini sayangkan anda!
Sekian,
Kid.
P/S : Jangan seorang pun tanyo den pasal Nismilan tahu?