October 13, 2024

Mat Yo Nadi Sebenar Harimau Malaya (atau dalang?)

5 min read

Assalammualaikum, salam sejahtera, salam 1 seantero dunia Alep ucapkan pada penyokong tegar Harimau Malaya all around the world! Ya, Alep datang lagi, dahulunya sendu (rujuk https://www.ultrajang.com/hm-u23-kita-tak-layak-ke-asia-salah-siapa/) kini sedikit ceria (sedikit je lah). Alep tahu korang semua mesti tengah senyum lebar, mana tak nya? Tengah sedap sambut Hari Raya, kita disajikan pula dengan kenduri dari Timor Leste. Bukan biasa biasa, mula mula 7-1, lepas tu 5-1. Cuba korang bagitau Alep, bila masa Malaysia pernah menang dengan agregat lebih dua angka ni? Tak pernah beb, sekali seumur hidup tengok skor 12-2, biasanya kita je yang terkono dan Alep sangat berbangga sebab Alep sendiri jadi saksi detik bersejarah tu di Bukit Jalil malam semalam.

Overall, corak permainan Malaysia sangatlah memuaskan kalau nak banding dengan tahun terdahulu, tapi macam biasa, banyak lagi nak kena baiki sebelum kita berangan nak ke Piala Dunia. Tapi, bukan itu yang Alep nak bincangkan harini, sebagai genius taktikal bola sepak yang tidak iktiraf, it’s better for me to get to the elephant in the room. Mat Yo, Alep yakin ramai yang begitu tak berkenan dengan Mat Yo. Baik dari peminat kasual mahupun penyokong tegar. Tapi Alep ingin menyatakan satu pendapat yang penuh kontroversi (Baru sedap sikit nak baca kan?). Kita lebih perlukan Mat Yo, lebih dari kita perlukan Akhyar atau Safawi

Ramai sudah sedia tahu dengan apa yang Mat Yo mampu tawarkan di atas padang. Beliau lebih gemar menggentel, menggelek serta menggelecek bola, kalau boleh bola tu dia nak bawa ke tepi main atas line dulu daripada rembat terus. Beliau juga adalah antara penyerang yang Alep yakin ramai persoalkan kebolehan “decision making” beliau kerana Alep juga kadang kadang termangu-mangu dengan apa yang dilakukan oleh beliau. Mat Yo memang seorang striker yang licik, tapi sedikit tumpul dan sangat kurang sesuai dijadikan sebagai poacher/fox in the box. Tapi korang kena ingat! Beliau adalah antara pemain penyerang tempatan yang mampu menyesuaikan diri dengan taktikal Tan Cheng Hoe dan seperti TCH, Alep nampak sesuatu yang dimiliki oleh Mat Yo yang tak dimiliki oleh mana mana penyerang tempatan buat masa ni – DIMENSI.

Dalam taktikal TCH yang lebih banyak menerapkan hantaran bola bawah dan pendek, kita dapat tengok sendiri yang Mat Yo lebih banyak turun ke bawah untuk mengutip bola dan beroperasi sebagai salah satu creative outlet untuk pasukan Harimau Malaya. Betul, peranan Mat Yo dalam kejohanan Piala AFF dan perlawanan pertama lawan Timor Leste adalah sebagai goal getter, namun kecederaan yang menimpa Syafiq Ahmad sebenarnya adalah rahmat yang tersembunyi kepada skuad negara. Selepas kecederaan tersebut, Mat Yo terus diberikan lesen untuk berlegar legar diantara bahagian attacking midfield dan juga betul betul luar kotak penalti (Final third) dan beliau melaksanakan tugas ini dengan penuh jayanya, melakukan larian larian untuk menarik barisan pertahanan lawan dan membuka ruang untuk pemain negara yang lain.

Kelicikan Mat Yo

Contoh dapat dilihat dalam gol pertama Malaysia dalam perlawanan pertama lawan Timor Leste. Bagaimana Mat Yo yang berada pada posisi blindspot dan kemudian membuat larian kearah depan dan menarik pemain pertahan Timor leste sekaligus membuka ruang tengah yang kosong untuk Corbin Ong masuk dan menanduk. Lagi 11 gol tu Alep rasa tak perlulah ulas banyak banyak sebab Alep yakin yang Mat Yo memang ada terlibat. Jadi kalau korang masih ada was was tentang Mat Yo, korang tengok highlights perlawanan terdahulu melibatkan Malaysia dan Mat Yo. Perhatikan pergerakan beliau dan korang semua akan sedar bahawa beliau banyak merencana pergerakan secara tidak langsung, terutamanya dari segi pergerakan frontline dihadapan, beliau juga adalah antara penyerang yang Alep perhati mampu simpan bola, cuma ya lah, decision making dan profligasi (ketumpulan penyudah) rakan sepasukan agak menghampakan. Korang ingat lagi 2010? 2012? 2014? Mat Yo adalah sejenis penyerang yang memerlukan perlukan pasangan penyerang untuk berganding dengan beliau, the perfect foil, satu hubungan simbiosis dimana Mat Yo bertindak untuk menyuap dan rakannya sudahkan. Dahulunya kita ada Safee (2010-2012), Safiq Rahim yang banyak melakukan late runs dari tengah (2014) dan kini Shahrel Fikri sebagai Top Forward.

Aik? Apa jadi tahun 2016? Ini adalah tempoh dimana sama ada Mat Yo tak dapat call up ataupun beliau bertindak sebagai penyerang tunggal a.k.a poacher. (Mana maunya). Dan pada masa ni Malaysia begitu payah nak dapatkan jaringan dan mengalami zaman jahiliyyah untuk masa yang agak lama juga (Korang check la sendiri rekod dan korang akan faham apa Alep maksudkan).

Relevan lagi ke Mat Yo?

Ok Alep, we get it. Mat Yo can be a decent no 10, he can be a good attacking midfielder”
Siapa kata Mat Yo seorang midfielder?
Korang dah lupa ke beliau pada asalnya seorang striker?

Dengan adanya Mat Yo di atas padang, walaupun Malaysia bermain formasi 4-2-3-1/ 4-3-3 dengan Mat Yo beroperasi di bahagian tengah kreatif, di atas kertas Malaysia masih, pada hakikatnya bermain dengan 2/3 orang penyerang. Secara tak langsung, kita ada lebih banyak sumber untuk buat dan jaringkan gol. Dalam perlawanan yang agak straightforward menentang Timor Leste (dan Timor Leste pun memang bukan lawan kita) memang mudah untuk kita memandang enteng sumbangan Mat Yo (atau tak pandang pun) tapi bagi Alep, Mat Yo ada peranan yang lebih besar untuk pasukan negara pada masa hadapan.

Percaya lah cakap Alep, apabila kita bertemu pasukan yang lebih kuat seperti Vietnam atau Korea Selatan, kita akan merindui magis Mat Yo di tengah (Harapnya beliau main false 9 atau sebagai Nombor 10 dan bukan sebagai poacher lah). Betul, Mat Yo sudah tidak punya pace atau kelajuan untuk menewaskan pemain pertahanan, tapi beliau punya akal licik dan disinilah beliau mampu memanfaatkan kebolehan Akhyar atau Safawi/ Sumareh yang mampu melakukan larian larian pantas bagi menebuk pertahanan lawan. Tambahan lagi, Mat Yo mampu melakukan larian atau beberapa skill/trickery bagi membuka ruang untuk pemain penyerang yang lain, berapa ramai je pemain penyerang kita yang begitu konfiden nak berskil-skil bila take on pemain pertahanan ni? Mat Yo je boleh! (Ok ok gurau)

Big Game Player

Bila sebut pasal Mat Yo, ramai yang teringat dengan skill beliau di line tepi untuk beat pemain pertahanan Indonesia dan begitulah skill yang beliau repeat sampai jadi trademark. Mungkin ramai peminat boleh dimaafkan kalau mereka terlupa betapa tenangnya Mat Yo dalam merencana dan menyudahkan pergerakan untuk muncul sebagai hero Malaysia pada saat saat genting. Beliau merupakan dalang disebalik kemusnahan Indonesia di Bukit Jalil pada tahun 2010, menyelamatkan Malaysia dengan gol jarak jauh lawan Bahrain dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia pada tahun 2012, Jaring dan assist gol masa Separuh akhir AFF 2014 di Vietnam, beliau juga merupakan pemain yang paling banyak mencipta peluang untuk Malaysia semasa Final AFF 2014 di Bukit Jalil (Kalaulah striker kita yang lain lebih tajam…). Tak cukup lagi?

Gol kemenangan lawan Kemboja masa group stage AFF 2018, 2 gol lewat masa lawan Laos, dan sudah semestinya 2 gol menentang Thailand di separuh akhir AFF 2018 untuk mengubah Rajamangala menjadi mimpi ngeri penyokong Thailand. Betapa tenangnya Mat Yo bergelek dan berpusing melakukan rembatan menewaskan Chatchai Budprom. Di saat kita semua menjangkakan Akhyar Rasyid atau Safawi untuk menjadi pemain bintang (breakout star) dalam kejohanan tersebut, Mat Yo pula yang menyinar dan membuktikan bahawa dirinya masih relevan (Dan mereka berdua pula yang hmmmmmm… tak apa lah muda lagi)

Kesimpulannya, walaupun ramai yang bakal menyangkal dan mungkin juga menganggap Alep seorang yang deluded. Alep tak kisah, we can always agree to disagree on things. Apa-apa pun, Alep menjangkakan yang Mat Yo bakal menjadi pemain tunjang dalam strategi TCH untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia yang akan datang

PS: Tak berharap sangat ke Piala Dunia, banyak lagi kena baiki. Dapat ke Asia pun dah cukup bermakna

Oleh: Alif Azizan

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.