September 14, 2024

Misi Layak Ke Liga Super Lebih Penting Daripada Tahun-Tahun Sebelum Ini

4 min read

The calm before the storm. Mungkin itulah ayat yang paling sesuai untuk menggambarkan jiwa setiap penyokong Negeri Sembilan pada hari ini. Adakah nasib kita akan sekali lagi jatuh ke dalam lubang jahanam. Ataupun putaran agung kosmos sudah berada pada paksi yang sebenarnya. Liga akan bermula. Sinar di awal waktu nampak seperti menjanjikan.

Setelah penswastaan Negeri Sembilan FA kepada NSFC berlaku. Beberapa benda yang membuatkan kami dahulu di Ultrajang ketip bibir apabila diceritakan. Sudah mula beransur pulih dan tersenyum bila dibandingkan. Seperti yang diberitahu sebelum ini, NSFC telah memanggil beberapa wakil kelab penyokong untuk merealisasikan program NSFC bersama penyokong. Usaha ini dijanjikan akan berterusan dan terbuka. Ini merupakan peluang untuk penyokong mengkritik dengan secara direct dan terbuka.

Pada hari tersebut, Michael selaku Bendahari NSFC dan beberapa pegawai telah memperjelaskan beberapa isu yang sering diragui oleh penyokong-penyokong Negeri Sembilan. Diterangkan dalam loghat Negeri Sembilan oleh Michael walaupun sedikit kekok, kami percaya yang setiap bibit-bibit kata-katanya dan pegawai yang ada bersama adalah jujur. Tiada buruk dan cela berlaku dalam majlis tersebut.

Isu paling utama tentulah tentang bajet. Pada dasarnya, bajet pada kali ini masih sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Berapa jumlahya? Kami tidak diberitahu secara spesifik. Dari cerita wakil NSFC kami yakin bajet kita adalah sangat sederhana. Matrix sebagai sponsor utama pun telah memotong sehingga 1/3 sahaja dari jumlah asal. Takkan kita nak berharap sepenuhnya kepada Negeri Roadstone yang kuarinya hanyalah batu kerikil dan bukan emas?

Ini juga sukar untuk pasukan Negeri Sembilan mengekalkan pemain-pemain terbaik mereka. Bila pasukan luar tawarkan gaji berlipat kali ganda, Negeri Sembilan tidak dapat imbanginya. Kecuali kita gadai tanah setiap kali tawar menawar berlaku. Oleh itu, besar periuk besarlah keraknya. Kita terpaksa bergantung kepada syarikat-syarikat yang sedia ada sahaja. Walaupun tidak besar mana namun keikhlasan mereka itu tidak diragui.

Berkenaan dengan pemilikan dan sponsorship yang lain. Michael ada menceritakan bagaimana mereka terpaksa merayu untuk mendapatkan tambahan duit. Bukan senang. Pelabur-pelabur yang datang untuk membeli juga tidak begitu meyakinkan seperti ZamSaham dan nama-nama besar yang lain. Bak kata pelabur dari Sri Menanti yang terkenal, Warren Buffett ada mengatakan “Our favorite holding period is forever”. Jadi kita perlu membuat penilaian dengan jangka masa panjang dan bukan sekadar hari ini menang tahun depan jatuh ke Liga Perdana semula.

Jika hangat-hangat taik ayam maka samalah nanti seperti ahli politik yang dahulunya menjaga pasukan bola sepak kita. Masa menang dituntut dan bila kalah disebut tidak masuk campur tangan dengan pasukan kami. Ini juga boleh berlaku pada pelabur. Bila tidak menjadi pasukan akan dicampak. Adakah anda masih ingat pada Ku Puteh Kelantan?

Jika apa yang dipersembahkan kepada kami itu semuanya benar. Secara logiknya adalah penting untuk kali ini Negeri Sembilan perlu layak ke Liga Super. Siapa yang ingin melabur pada pasukan yang lemah. Atas kapasiti potensi tentulah pasukan tersebut mempunyai fan base yang kuat dan paling utama bermain di Liga Super. Abang Tom masih percaya naik ke Liga Super perlukan masa. Mungkin tiga empat tahun sebelum ini sudah berjaya mematangkan pasukan NSFC.

NSFC juga secara jelas menyebut pada kali ini kuasa pengurusan taktikal diberikan sepenuhnya kepada K.Devan. Ini bermakna ketua jurulatih Negeri Sembilan K. Devan mendapat mandat sepenuhnya dalam menentukan taktikal pasukan. Keputusan ini sangat bermakna dan lebih dekat dengan tradisi bola sepak yang sebenar. Dalam bola sepak ini ada dua cabang utama yang harus dipisahkan namun tidak juga berjauhan seperti isi dengan kuku.

Cabang tersebut adalah pengurusan dan teknikal. NSFC hanya menjaga pengurusan seperti hak penyiaran, dokumen-dokumen penyertaan, kontrak dan sponsorship. Pasukan teknikal K.Devan pula lebih kepada pemilihan pemain, taktikal dan sebagainya. Negeri Sembilan FA berkenaan pembangunan pemain-pemain atau grassroot dan juga Futsal. Amat jarang seorang ketua jurulatih tempatan diberikan kuasa seperti ini. Malah susah berlaku di liga Eropah. Tidak percaya tanya penyokong Arsenal.

Mungkin sebab itu kita sudah dapat melihat hasilnya sudah mula menunjukkan reaksi positif. Tiga kemenangan persahabatan sebelum ini sudah pasti akan membuatkan anak buah K.Devan lebih yakin dalam mengharungi cabaran Liga Perdana 2021. Walaupun sekadar “juara friendly”, tidak boleh dinafikan perlawanan-perlawanan persahabatan itu lebih tinggi darjatnya jika hendak di bandingkan dengan tahun sebelum ini. Kalahkan Sri Pahang pasukan Liga Super tu.

Ini sudah pasti dapat membangkitkan semangat penyokong Negeri Sembilan untuk kembali gemilang. Harapan kami masih sama. Paroi tidak akan wujud dalam masa sehari dan tidak juga dilupakan beribu tahun lamanya. Empayar yang dibina dengan semangat dan tradisi akan kekal abadi sehingga matahari terbit di ufuk barat. Begitu juga Negeri Sembilan dalam usaha mereka ke arah bola sepak swasta dan moden.

P/S: Abang Tom ada satu soalan kepada NSFC. Jika NSFC tidak berjaya mendapatkan pemilik pada tahun 2023. Adakah NSFC akan di public listingkan? Atau hak pasukan sekadar kembali kepada kerajaan negeri.

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.