October 13, 2024

Negeri Sembilan | Masa untuk pemain buktikan mereka tidak bersalah

3 min read

Apakah pembaharuan yang bakal kita saksikan dalam pasukan Negeri Sembilan malam esok? Ada sedikit keterujaan dalam hati Jang untuk mengetahui apa yang boleh dilakukan oleh Tuan Haji Zaki dan Sazali Saidun. Walaupun mereka hanya baru beberapa hari sahaja bergabung dan melatih pasukan namun dalam bolasepak bersifat instant noodle ini, semua mesti dilakukan dengan cepat. Lebih-lebih lagi saingan Piala Malaysia ini pendek, jadi strategi bijak sangat-sangat diperlukan untuk mencipta kejayaan (mengejut).

Persembahan pasukan Negeri Sembilan akan dinilai dengan lebih teliti, terutama dari pemerhati bola sepak yang mengikuti perkembangan pasukan. Lawan mereka malam esok adalah pasukan Kedah yang baru sahaja dinobatkan sebagai juara Piala FA 2019. Namun, bagi Jang, kekuatan dan kredibiliti pasukan lawan tidak boleh dijadikan kayu ukur persembahan pasukan kita. Lawan kita boleh jadi Kedah atau JDT atau Sekolah Sukan Za’ba,  tidak kisah mana-mana dan tidak penting, kerana bagaimana kita menghadapi pihak lawan yang lebih utama.

Rata-rata penyokong melahirkan rasa tidak pasti akan kemampuan pasukan jika berdasarkan prestasi semasa diambil kira. Kedah pasukan liga super, sementara Negeri Sembilan hanyalah anak kecil yang baru sahaja ditinggalkan bapa. Ada beberapa perkara yang Jang ingin lihat dalam persembahan pasukan Negeri Sembilan malam esok. Antaranya ialah persembahan pemain yang diberi peliuang bermain selepas lama duduk dibangku simpanan. Mungkin ada beberapa pemain yang tidak mendapat cukup peluang bermain dibawah Mat Zan dan terasa hati. Jang dah kenalpasti beberapa nama pemain yang telah lama tidak tersenarai dalam pasukan. Adakah kerana mereka tidak sesuai dengan taktikal Mat Zan atau mereka sendiri tidak tunjukkan kemampuan?

Ini adalah topik yang sangat menarik tetapi jarang dibualkan dalam portal sukan. Mujur Jang ada. Hmmmmm…

Walaupun tidak tersenarai dalam kesebelasan utama kerana taktikal atau tidak menepati perancangan jurulatih adalah perkara biasa dalam bola sepak, namun menunjukkan kesungguhan dalam latihan dan perlawanan persahabatan adalah kunci penting kepada seorang jurulatih untuk memilih pemain. Mat Zan, Haji Zaki atau Sazali Saidun tidak akan memilih pemain yang mereka rasakan tidak mampu mengalas tugas dalam padang. Kesemua jurulatih akan menilai prestasi pemain semasa latihan, baik dari segi disiplin, kesungguhan dan kecergasan untuk dipilih sebagai first 11. Takkan ada seorang jurulatih memilih seorang pemain yang tidak berdisplin, tidak menunjukkan kesungguhan dan tidak cergas untuk bermain kerana apa pemain lakukan dalam padang mencerminkan kebijaksanaan jurulatih tersebut.

Maksudnya, kalau ada pemain yang kerap sepak tak kena, tanduk lelap mata dan tidak cergas atau lembab, tapi masih dipilih bermain, maka penyokong akan mempersoalkan, kenapa jurulatih tetap memilih pemain ini bermain sedangkan sudah jelas pemain ini banyak melakukan kesilapan dan tidak cergas. Kredibiliti jurulatih akan dipertikai dan akan mula cakap-cakap belakang. Walaupun setiap jurulatih ada kriteria dan kepercayaan tersendiri dalam memilih pemain, namun tiada waktu tepat bagi seorang jurulatih menentukan samada pemain itu sesuai atau tidak melainkan dinilai semasa latihan.

Maksud eh, pemain kena la buktikan dengan penuh kesungguhan semasa latihan bahawa mereka benar-benar berkualiti dan layak dipilih. Jika pemain hanya beri 70% semasa latihan, jangan hairan dan terpinga-pinga atau merajuk jika nama tidak tersenarai. Ini bukan roket sains, bukan kesusasteraan klasik dan bukan ilmu alam. Ini benda basic. Jurulatih tidak akan meletakkan leher mereka untuk disembelih dengan memilih pemain begini. Setiap perlawanan adalah satu perjudian kepada jurulatih dan semestinya mereka mahukan daun sedap dan kalau boleh semua daun Ace.

Dipendekkan cerita, penyokong mahu semua pemain membuktikan mereka layak menyarung jersi keramat Negeri Sembilan. Jika mereka rasa, banyak lagi pasukan lain, betul dan tak mengapa. Memang banyak lagi pasukan lain,cuma, sekarang ini mereka bermain untuk Negeri Sembilan. Berikan kesungguhan kepada jurulatih dan pasukan. Buangkan rasa rendah diri, merajuk atau disiplin yang tidak manis. Lihat kualiti dan kemampuan masing-masing, jangan lihat kekurangan jurulatih atau fasiliti atau pengurus atau penyokong atau pejabat PBNS kerana melihat kekurangan orang lain tidak menjadikan kita lebih baik.

Jangan buruk sangka dengan jurulatih kerana jurulatih lebih kenal pemain dari pemain kenal jurulatih.

Dikhabarkan, Kapten Norhafiz dan Halim adalah dua pemain yang menunjukkan kesungguhan semasa latihan. Mereka ini pemain veteran, sudah tentu mereka lebih masak hal-hal basic tetapi mereka tidak menjadikan status veteran dan umur mereka sebagai alasan. Pemain muda kenalah jaga muka masing-masing. Kalau Jang jadi pemain, Jang akan sampai padang latihan sebelum Kapten Norhafiz dan Halim sampai.

Untuk rekod, David Beckham, Cristiano Ronaldo dan Lee Tuck adalah pemain yang suka melakukan latihan tambahan sendiri walaupun mereka adalah pemain yang sudah pasti disenaraikan dalam kesebelasan utama. Mereka tidak ambil mudah. Jadi kepada semua pemain, jaga maruah Haji Zaki, Sazali Saidun, PBNS dan yang utama, maruah penyokong yang setia.

Jang
Sekadar Posmen

 

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.