NSFC | Berdiri di bumi nyata.
4 min readIzinkan Jang mencoret sedikit hal tentang persembahan pasukan NSFC untuk 2 perlawanan pertama ini. Jang terpaksa meluahkan hal ini kerana tidak lagi larat menanggung tayangan percuma yang terus bersiaran didalam kepala Jang ini. Bak kata pepatah inggeris, ‘living rent free in my head’. Adapun demikian, hal ini bukanlah serius tetapi hati dan jiwa lelaki bola sepak Jang ini tidak tenang selagi ianya tidak diluahkan.
Adapun, pasukan NSFC berjaya memperoleh 2 kemenangan dari 2 perlawanan pembukaan Liga Perdana musim 2021. Sedikit kelegaan terhela dari nafas kesemua peminat bola sepak Negeri Sembilan yang menanti penuh sabar dan positif. Sementara yang berharap kepada kekalahan pasukan demi memuaskan hati sendiri, mereka tetap menanti dengan sabar. Biasalah, setiap orang ada kehendak dan nafsu yang perlu dipuaskan justeru kepentingan sendiri lebih diutamakan.
Adapun, pemain dan pasukan NSFC telah bermain dengan baik didalam kedua perlawanan pertama ini. Perlu diingat! pasukan lain juga kuat dan mereka juga ada kaki dan berlatih. JDTII dengan DNA Spanish sementara SelangorII dengan DNA Jerman. Jadi setiap pasukan yang ditentang NSFC memberi cabaran sengit. Tiada istilah menang mudah bagi mana-mana pasukan pun. Keadaan cuaca dan jarak diantara 2 perlawanan yang begitu dekat menambah tekanan kepada pasukan.
JDTII
Bagi Jang, NSFC mendapat 2 penalti yang sangat adil apabila striker import kita, Rafael dijatuhkan dalam kotak penalti. Ini diakui sendiri oleh pengendali JDTII, Rafa Gil dalam sidang media selepas perlawanan. Cuma Jang nak tambah sedikit lagi dari artikel ulasan perlawanan yang telah dibuat oleh saudara M.A https://www.ultrajang.com/lp1-nsfc-2-1-jdtii-kakijersi-vs-nike/ tentang passing yang tidak sempurna atau tidak lengkap. Bahagian tengah pasukan NSFC kelihatan begitu struggle untuk memegang bola. Banyak passing yang tidak lengkap dan apabila passing tidak sempurna, possesion kita rendah. Jang juga bersetuju dengan pendapat M.A, terdapat lorongan atau thru ball dari tengah kepada pemain hadapan menjadi sia-sia apabila ianya tidak berkualiti. Hal ini begitu jelas di mata M.A yang hanya menonton dari handphone melalui pay per view, Jang yang duduk diteres grand stand lagi la jelas. Begitu dominan sekali Gary Steven Robbat mengemudi bahagian tengah JDTII.
Keadaan sama juga berlaku ketika kita menewaskan SelangorII di Selayang. Hantaran kurang kemas sekali lagi menghantui barisan pemain. Seperti ketika di Paroi, di Selayang juga menyaksikan kehebatan Kaharuddin teruji. Berpunca dari beberapa kesilapan membaca serangan lawan atau alpa, Kahar terpaksa berindak keluar membuka dada demi menyelamatkan gawang. Sekali dua ok la, kalau tiap minggu, sian la kawan kita tu. Di Selayang NSFC terpaksa bermain 10 orang apabila Annas diperintah keluar padang. Jang suka ingatkan kepada pasukan, kata-kata hikmat Sir Alex Ferguson; ‘Attack wins you games, defence wins you titles’ bermakna peranan setiap department menjanjikan 3 mata namun pertahananlah yang memastikan kita menjadi juara Liga Perdana ataupun tidak.
Mujur K. Devan sendiri mengakui akan hal ini dalam sidang media selepas perlawanan. Jang akui, faktor cuaca (hujan lebat di Paroi selepas panas berdonting selama sebulan dan kemudian bermain dalam cuaca panas waktu petang di Selayang) memberi impak kepada pemain, itu hanyalah bersifat sementara. Maksud Jang, selepas ini faktor cuaca tidak boleh digunakan selalu. hehe.
Namun ada beberapa faktor menarik yang suka Jang kongsikan kepada kau semua;
- Bahagian serangan kita begitu berselera mencari gol. Gandingan Rafael dan Akono nampak baik dan kedua pemain ini berlumba mencari gol. Kita juga ada Zaquan dan Beom yang mampu menghasilkan gol dengan percubaan luar kotak. Kita banyak membuat serangan dari arah kiri dan kanan dan gol pertama dihasilkan hasil larian dari belah kanan padang sebelum masuk ketengah. Kita ada ramai pemain berpotensi menghasilkan gol, jadi Jang takkan terima 0 gol dalam satu perlawanan.
- Kita mempunyai senarai pemain simpanan yang berkualiti. Ini terbukti apabila K. Devan membuat beberapa pertukaran sepanjang 2 perlawanan ini dan dalam tiga perlawanan pra musim, corak dan energy pasukan masih sama. Malah kemasukan Selvan dan Ariff Romli seakan menjamin satu gol pasti akan terjadi.
- Persembahan Nasrullah dibahagian pertahanan begitu baik bersama Barbosa. Kaharuddin membuktikan beliau adalah penjaga gawang no.1 NSFC. Apabila kita bertahan, kita kelihatan solid dan sukar untuk ditembusi. Namun persefahaman dan ketangkasan membaca hantaran bola lawan mesti dipertingkat.
- Mentaliti mahu menang walau ketika masa semakin suntuk dan bermain 10 orang begitu mengujakan Jang. Ini mesti dikekalkan dan diserap dalam jiwa setiap pemain. Kita bermain untuk menang dan menang dan menang!
- Jang sentiasa betul.
- Pasukan NSFC boleh menjadi semakin kuat jika bahagian tengah benar-benar dapat dikemudi dengan baik dan hantaran kehadapan dapat dilakukan dengan berkualiti.
Namun perjalanan masih panjang. Latihan dan perlawanan akan memenatkan pemain dan prestasi Akono pasti akan menjadikan beliau mangsa rantaian pertahanan lawan. Menjadi tugas K.Devan untuk memastikan semangat pasukan NSFC terus membara dalam apa keadaan pun. Paroi adalah kubu kuat kita, pastikan pasukan yang datang tidak mendominasi padang, baik dari segi permainan, suara atau 3 mata.
Kau semua tontonlah perlawanan NSFC dalam talian. Pay Per View ini menyumbang terus kepada pasukan. Koba dulu support? Ha supportlah dengan membeli jersi, menonton perlawanan dalam talian dan sebagainya. Yo, ado hiccup sikit sano sini tapi bagi can la. Mereka bukan pro tapi akan perbaiki siaran setiap minggu sehingga sempurna. Kritikan kau semuo akan membina kekuatan kita bersama. Ingat! kita mesti berpijak di bumi yang nyata.
Hobin jang Hobin!
Jang,
Buapak kau semuo.