April 19, 2024

NSFC | Piala sama dipikul, beban dijinjing seorang.

4 min read

Tenang semua!

Hal bolasepak Nismilan ini, terutama apabila kita melihat pemain keluar masuk tanpa kita ketahui puncanya, bukanlah salah NSFC sepenuhnya. Semua orang, termasuk VVIP dan kau semuo turut menyumbang kepada kepayahan pasukan melakukan persediaan diawal musim. Nampak? Begitu mudah Jang meletakkan kesalahan kepada orang lain, kan?. Menyalahkan orang ini memang kerja mudah. Lebih mudah dari mengunyah nasi berlauk ayam. Apa yang kita tahu dan mahu ialah berita-berita sedap dikeluarkan dari NSFC. Jika mereka senyap, kita terus menuduh mereka pisang, duduk mencangkung tepi longkang, melangok main solitaire dan sebagainya. Ini tidak manis.

Jika kita lihat senario bolasepak di Malaysia secara keseluruhannya, dan kita kena akui, sekurang-kurangnya pasukan kita tidak ada lagi kedengaran isu berat dan buruk seperti tidak membayar gaji berbulan, berhutang puluhan ribu kepada pemain dan NSFC juga tidak pernah membasuh cadar kotor dikhalayak ramai. Berbeza dengan banyak pasukan lain, tak perlu Jang sebutkan, jika kau mengikuti arus berita semasa bolasepak Malaysia, mesti sudah terbaca bagaimana Pengurus Besar sebuah pasukan merayu sumbangan orang ramai untuk berbelanja gaji dan duit hotel untuk away game. ini sadis!

Jika kita senaraikan jumlah pasukan berhutang gaji, dan diketahui umum, Jang letak jumlahnya lebih dari sebelah tangan. Salah siapa? management la, siapa lagi. Senangkan meletak kesalahan kepada management? Soalnya siapa yang beria nak jadi management ni? Sudah tentulah bukan kita, kerana kita penyokong dan kita selamat dirumah.

Bak kata bijak pandai, where money talks, nobody walks. Apa maksudnya tu? Jang bagi contoh; Lihat JDT, tiada pemain keluar mencari pasukan lain, kerana mereka dibayar sedap setiap bulan dan gaji dijamin. Walau hanya sekadar seronok melihat kawan-kawan lain bermain (ouch!) Jadi disinilah sebenarnya kemelut yang dihadapi oleh semua pasukan saban tahun tanpa gagal; iaitu mencari dana. NSFC tidak terkecuali dalam isu ini. Bukan mereka tidak merancang, tetapi percayalah, merayu belas ehsan wang ini bukan kerja sedap. Bayangkan kau kena mengemis sepanjang tahun untuk membayar gaji semua pemain. Jika pasukan kaya, burung terbang pun turun melihat kita berlatih.

Kenapa hal ini berlaku?

Mari Jang bawa kau semua kembali ke beberapa bulan yang lepas. Ketika pasukan NSFC begitu hampir menjadi juara Liga Perdana. Maso tu kau semuo tak boleh masuk stadium. Jang boleh sebab Jang Buapak. Masa itu, terutama ketika perlawanan terakhir menentang PDRM, grandstand kita penuh. VVIP kemain ramai. Semua nak sama-sama menjulang Piala Liga Perdana yang sudah lama dirindukan. Sampai satu masa, ketika mahu menyampaikan hadiah di padang, MFL hanya benarkan 2 orang sahaja VVIP turun ke padang. Pening kepala management nak pilih siapa sebab ada lebih 4 VVIP dan mereka tak tahu syarat MFL tersebut. Apa berlaku? Tak perlu Jang detailkan, tapi satu situasi tak sedap telah berlaku.

Tetapi dimana mereka ketika pasukan kita pudoi? Dimana mereka yang berkuasa ini ketika pasukan terdesak mahukan penajaan sebelum musim bermula? Takkan tak boleh nak memberi bantuan seperti bercakap dengan beberapa syarikat besar untuk salurkan penajaan dengan memberi inisiatif pelepasan cukai dan blabla CSR atau CPR. Takkan nak tunggu syarikat swasta yang mahukan sesuatu (seperti mendapat tanah untuk dijadikan pembangunan) sebagai pertukaran wang penajaan yang belum pasti hadir. Takkan tiap musim kita kena game dengan pelabur? Adakah Jang memaksa pihak berkuasa melakukan sesuatu untuk membantu NSFC? YA! sebab mereka ada kuasa dan waktu sedap dan senang, mereka bersama menjulang piala kemenangan.

NSFC kan swasta, carilah penaja sendiri. Ya, NSFC juga kena cari penaja sendiri tanpa alasan. Period

Apabila ada kewangan yang solid, contohnya mendapat penajaan selama 2 tahun, barulah management berani angkat muka. Ini camno nak menjawap Ya atau Tidak kepada pemain jika kewangan masih belum pasti? Takkan nak janji kosong? Justeru, ada pemain yang meninggalkan pasukan kerana mereka berhak menentukan masa depan dan kontrak.

Kita pasukan juara Liga Perdana 2021, takkan nak naik Liga Super kita takda penaja sedap? Mustahil! Takkan Matrix Concept masih nak taja RM2 juta saja? Atau sama nilai dengan tajaan Kerajaan Negeri dan kemudian dua-dua nak logo mereka ada didepan jersi, buruk amek-amek la ada duo logo depan jersi! Salah satu mesti kena up tajaan menjadi 3 atau 4 juta, baru boleh letak nama didepan jersi. Satu harga dan satu penaja saja untuk letak logo depan jersi. Tajaan pula mesti 2 tahun. Matrix Concept lebih memahami selepas lama menjadi penaja bola sepak kita. Jika tidak, carilah kontraktor tebang pokok dan turap jalan yang ketika ini begitu rancak dapat projek sana-sini.

Kita sebagai penyokong, tak perlu nak beri sedekah atau sumbangan membantu pasukan. Tugas kita, bila ada game, turun stadium, beli tiket, beli jersi. Itu sahaja dan itulah yang kita dah buat selama ini, kan? Belum cukup lagi Jack! Kena tambahkan jumlah kedatangan stadium waktu game biasa. Bukan waktu sedap dan nak julang piala saja baru nak datang. Kita bukan VVIP. Parking grandstand pun kita tak dapat, inikan meehun semasa half time. Dalam media sosial, Jang tak akan kawal atau kisah kerana bagi Jang, sesiapa pun berhak untuk memberi komen kerana bola sepak adalah hak semua insan.

Jang bukan marah pada VVIP atau kau semuo tapi ketika semua pasukan dalam Liga Malaysia ini struggle, seeloknya kita sama-sama bantu dan fikirkan jalan keluar. Jang bukan suruh NSFC terus bergantung kepada dana kerajaan tetapi satu kaedah atau jalan keluar mesti dirangka bersama. Kita bukan nak ubah Qada dan Qadar Tuhan atau ubah waktu matahari tenggelam. Kita juga bukan mahu mencipta semula roda baharu. Kita hanya melakukan benda asas yang dilakukan oleh mana-mana kelab bola didunia yang fana ini. Semua ini boleh dilakukan! Tiada yang mustahil. JDT hidup kerana kuasa dan kerahan TMJ. Kita pun boleh juga tiru sikit-sikit. Nak hidup, kan? Jangan la overthinking sangat. Mark Twain berkata, Kita ini terlalu banyak sangat risau hal-hal yang tidak berlaku pun sebenarnya.

Sepurnama dua sahaja lagi musim baru 2022 akan bermula. Pasukan boleh dibina dengan 5 juta tapi tak dapatlah pemain sedap. Jang menjangkakan, mungkin 7 atau 8 juta adalah jumlah memadai. Janji buang import yang tak berguna dan dapatkan pemain yang lebih sedap. Jika ada penaja nanti, senaraikan nama agen yang terlibat. Masa itu NSFC jangan nak berahsia sangat pulak. Ronaldo pun kita tahu siapa agen dia, takkan pemain passing kelaut pun nak berahsia nama agen.

Jang,

Baru jumpa password website.

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.