April 25, 2024

NSFC | Realistik ke neraka dan ianya abadi disana.

3 min read

Mengikut kata jurulatih lagenda Kelantan, Allahyarham Mohammed Che Su; “bola sepak adalah permainan orang jantan. Ianya bukan kasar tetapi keras”. Sengaja Jang ungkap semula kata-kata beliau agar kau semua mengenal semula watak lama jurulatih di Malaysia yang pernah membawa ‘drama’ kedalam kancah bola sepak tempatan. Drama adalah satu hal yang sangat mustahak dalam bola sepak kita. Tanpa drama, emosi dan harapan, permainan bola sepak akan menjadi bosan, kaku dan tidak menyelerakan. Siapa pelakonnya? Kita semualah.

Sebenarnya banyak drama menarik berlaku dalam pertembungan klasik NSFC dan JDT Rabu lepas. Jika kau fikir ianya sekadar kalah menang, kau umpama pelakon porno yang tidak ada unsur drama. Bagi Jang secara peribadi, unsur drama dan suspen menjadi punca stadium Paroi penuh. Manusia dari segenap pelusuk Negeri Sembilan, Johor dan kawasan lain sanggup bersusah payah memandu dan bersesak ke Paroi. Ada yang turun dari Muor, Pontian (Pengadil perlawanan) JB, Parit Semantan (Pak mentuo Jang), KL, Selangor dan sejauh Pulau Pinang. Walhal mereka boleh saja tengok secara live di Youtube atau tunggu results siapa menang dan kalah. Tetapi jelas, mereka mahu turut sama menjadi saksi drama epik perlawanan Liga Super 2022. Tahniah Jang ucapkan kepada semua 22 ribu penyokong NSFC dan JDT yang hadir.

Realistik telah pergi ke neraka dan ianya kekal abadi disana. Secara realistiknya, adakah pasukan NSFC yang baru terlepas dari belenggu Liga Perdana mampu menarik penyokong memenuhi setiap ruang teres batu berlumut stadium kami? Adakah kerana lawan kami adalah JDT? Adakah kerana kedudukan NSFC ketika itu dipuncak liga? Semuanya benar tetapi apa yang Jang nak kobakan adalah kemeriahan bola sepak boleh dihidupkan jika kita semua mencipta keghairahan. Ghairah untuk menang, ghairah untuk datang, ghairah untuk berada diluar stadium dan bersorak didalam stadium Jujur Jang kata, suasana malam itu tak ubah seperti ketika Jang berada di stadium Jalan Stesen sekitar tahun 87-88, dimana, penyokong hadir dengan hati yang suci demi pasukan.

SYIHAN ADALAH SHILTON (kau mana kenal!)

Kenapa angkat drama Syihan buang masa dan tenggelamkan aksi hebat beliau menggagalkan percubaan sedap Arif Aiman dan ramai lagi bintang JDT? Ini tidak manis. Buang masa adalah satu aksi biasa bola sepak dan dimainkan oleh ramai pemain. Jang sendiri akan menyampah jika pasukan Jang sedang mencari gol dan pihak lawan buang masa. Tetapi untuk pasukan yang mahu seri atau sudah leading, buang masa adalah satu kaedah yang sah dan halal. Syihan adalah Shilton dan jika NSFC adalah bank, perompak kena berhadapan dengan kunci paling akhir, iaitu Syihan.

Namun Jang benar-benar puas melihat aksi kesemua pemain malam itu. Ianya seperti yang Jang ramalkan. JDT akan bermain sangat pantas dan tidak akan membiarkan bola di kaki pemain NSFC. Sementara pemain NSFC pula bermain dengan penuh kesungguhan untuk memastikan gawang tidak dijadikan lauk tempe. Arif Aiman adalah bintang yang sangat baik. Begitu jelas, bek NSFC, Zamri Pin gagal mengekang beliau. Larian Arif Aiman dan keyakinan beliau dalam membuat gelecekan begitu segar. Bergson pula memang solid sebagai striker, namun Jang puji keyakinan benteng pertahanan NSFC, Anas dan Nasrullah kerana tidak merasa kecil ketika berhadapan dengan beliau. Inilah yang Brian Clough dambakan.

Momen dalam bola sepak adalah sesuatu yang sangat istimewa. Jangan nafikan momen-momen ini semua dan jangan biarkan ego menjadi Tuhan. Bagi Jang, semua momen adalah untuk dinikmati dan dikenang. Momen JDT membuat percubaan yang hampir menggugurkan jantung penyokong NSFC. Momen NSFC hampir menjaringkan gol saat akhir yang membuatkan penyokong JDT yang hadir di Paroi ditoreh muka tak berdarah dan saat-saat melihat bola curling menerjah gawang NSFC lalu membuatkan Jang rasa kecewa dan mahu menangis. Ini semua momen dan Jang sangat sentimental pada momen ini. Ingat! jika kau tidak rasa ianya penting, kau umpama pelakon porno Jepun yang anti-drama.

Banyak sebenarnya aksi luar padang yang wajib pihak berkuasa ambil maklum dan perbaiki. Jangan biar penyokong beratur sampai kaki masjid untuk masuk stadium sebab masalah kekurangan kakitangan dan leceh nak scan tiket. Pihak berwajib, terutama NSFC, janganlah hanya tumpu pada kedatangan penyokong grandstand sahaja. Takkan tak nampak beribu penyokong lain yang hadir dan perlukan keselesaan dan kesegeraan yang sama. Jang pantau dan tegur bukan kerana sengaja cari kesalahan tetapi Jang mahu penyokong sentiasa hadir dan anggap kedatangan ke stadium adalah sesuatu yang menggembirakan. Semua pihak mesti menang; penyokong sendiri dan lawan, pasukan dan management serta pengawal keselamatan.

Baiklah, sekarang Jang perintahkan kau semua move on ke perlawanan seterusnya. Jangan buang masa hal yang lepas kerana masa tidak pernah menunggu sehingga 10 minit untuk kau semua. Sekali lagi, tahniah NSFC kerana bermain dengan baik, tahniah penyokong kerana hadir dan tahniah JDT kerana menang.

Jang,

Buapak Bolasepak Beradat.

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.