October 13, 2024

NSFC | Selamat datang Liga Super

3 min read

NSFC kembali semula ke Liga Super selepas membuat kemunculan secara ‘cameo’ pada tahun 2018. Pada musim itu, pasukan PBNS memegang ‘watak kecil’ sebagai pasukan pelengkap liga dan mengisi masa lapang jadual perlawanan. Dari 22 perlawanan, PBNS hanya menang 4, seri 3 dan mengalami kekalahan secara konsisten 15 perlawanan untuk berada dikedudukan paling corot liga. Untuk rekod, dikatakan musim 2018 itu, sekitar RM12 juta telah diperuntukan untuk pasukan. Sengaja Jang bawakan semula fakta nombor ini ke dalam minda kau semua agar kita tidak lagi jatuh ke lubang yang sama. Bak kata pepatah, barang yang lepas jangan dikenang, jika dikenang baran pun naik.

Hari ini, kita datang ke Liga Super sebagai juara Liga Perdana yang bermaruah. Bukan lagi sebagai pelakon tambahan atau Pak Pacak, bukan lagi ikut tingkap dan jauh sekali dengan berharap kepada pasukan lain dibuang mata atau tidak berlesen. Kita kembali menghirup udara segar Liga Super dengan mendada. Berdiri sama tegak dan duduk berlaga lutut dengan penyokong pasukan lain yang gah seperti JDT, Kedah dan Sri Pahang. Namun, kita tidak berniat untuk angkuh dan kita sentiasa menghormati pasukan dan penyokong lawan. Jauh sekali kita mahu memandang rendah kepada pasukan lain yang bermain di Liga Perdana, seperti Perak FC contohnya. Hmmmm..

Siapa musuh NSFC?

NSFC akan berlaga dengan banyak pasukan hebat musim ini. Namun hal dalam padang kita bincangkan kemudian. Jang khuatir dan bimbang pada susunan jadual yang perlu NSFC hadapi, terutama untuk 3 perlawanan awal ini. NSFC akan berkunjung ke Sabah pada 4hb Mac untuk perlawanan pertama. Perlu diingat, Sabah FC adalah the new JDT dengan kemasukan ramai pemain mantap dibawah bimbingan Datuk OKS. Jika NSFC berjaya mencuri 1 mata, Jang sudah berpuas hati. Kalau tigo mato, laie elok. Kemudian pasukan akan kembali semula ke Seremban sebelum berangkat ke Terengganu untuk perlawanan kedua pada 9hb Mac. Atas faktor kepenatan berjalan, sekali lagi Jang akan berpuas hati jika NSFC berjaya mendapat 1 mata. NSFC kemudian akan berentap sekali lagi dengan TFC untuk saingan Piala FA distadium yang sama pada 13hb Mac, iaitu hanya bersenggang 3,4 hari sahaja. Apa strategi NSFC samada terus kekal disana atau lepak jambatang main dang dua tigo papang, tidak pula Jang pasti. Kenapa NSFC kena away dan tidak menjadi tuan rumah Piala FA tapi pasukan Projek MSN dapat home juga menghairankan Jang. Tetapi undian adalah muktamad.

Tidak bermaksud mahu mencari alasan atau mempertikai susunan jadual MFL, namun bermain 3 away game pada permulaan musim mungkin memberi impak kepada pasukan jika gagal mendapat mata. Moral pasukan mungkin terjejas jika 2 perlawanan pertama berakhir tanpa mata. Moral penyokong toksah koba la. Jadual, moral, emosi dan kepenatan mungkin menjadi musuh kepada NSFC, bukannya kekuatan pasukan lawan. Disini, kebijaksanaan K. Devan dan barisan jurulatih serta management sangat kritikal dalam menyusun pasukan agar sentiasa fresh didalam padang. Jangan pula mengambil jalan mudah dengan tidak mensasarkan Piala FA kerana walau apa, siapa, bila dan dimana pun musuh datang, kita mestilah turun dengan jiwa dan mindset mahukan kemenangan, tidak mudah mengalah dan pantang dicabar.

Dari 2,3 perlawanan persahabatan yang sempat Jang lihat, pasukan kita agak mantap disemua bahagian. Suka Jang ingatkan, kekuatan pasukan kita bukan terletak pada pemain import kerana mereka hanyalah peluru dan pelengkap pasukan. Mereka akan jadi tidak berguna jika pemain lokal kita tidak sama-sama menjadi kuat. Jang sentiasa berfikiran bahawa kekuatan pemain import terletak pada sokongan pemain lokal. Jika lokal hancur, import akan makan gaji buta.

Baiklah, selamat datang NSFC ke Liga Super. Harapan semua peminat hanya mahu pasukan kekal di Liga Super sahaja. Janganlah diulang mimpi ngeri 2018. Jagalah air muka Negeri Sembilan.

Jang, Buapak Bolasepak Beradat.

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.