April 19, 2024

Kemenangan NSFC Adalah Untuk Semua

2 min read

Ya tuhan. Berkat kesabaran penyokong -penyokong akhirnya piala Liga Premier dapat pulang dan dijulang semula di stadium Paroi. Penuh getir dan turun naik perjalanan pasukan NSFC pada tahun-tahun sebelum ini. Kontroversi selepas kontroversi NSFC tempuhi. Dari penukaran pemain di pertengahan musim, logo baharu dan isu kemasukan permain lebihan menentang Kelantan FC, mereka akhirnya berjaya menjulang piala dengan merit. Sekaligus melenyapkan elemen-elemen negatif yang wujud sebelum ini.

Ketua jurulatih kesayangan ramai K Devan memulakan press conference dengan memuji semua barisan pemain NSFC. Beliau merasakan setiap individu yang terlibat layak menerima kemenangan dan kami di Ultrajang menyokong pandangannya. Beliau sering kali mengulangi bahawa NSFC adalah satu keluarga. Mereka sentiasa susah dan senang bersama. Riak muka setiap pemain pun jelas yang mereka sangat gembira dengan hasil penat lelah mereka.

Beliau memuji sikap pemain-pemain senior seperti Zaquan dan Nasrullah yang sering membimbing pemain-pemain muda. Beliau juga menambah ucapannya dengan mengatakan NSFC mempunyai kapasiti yang cukup untuk bersaing dalam kejuaraan Liga Super nanti. Kami juga cukup yakin kerana tekanan bermain dengan pasukan yang penuh harapan daripada penyokong ini tidak boleh dibuat main. Bahangnya turut terasa kepada setiap individu sehinggakan masih ada yang tak percaya kita juara.

Penyokong-penyokong NSFC khususnya UN9 menyambut kemenangan seperti tiada hari esok. Inilah semangat yang kita perlu ada. Tak perlulah kita menuding jari siapa lebih penyokong daripada yang lain. Jika baru belajar tengok bola dua minit sebelum NSFC menjulang piala Liga Premier pun tetap layak untuk dia menyambut kemenangan ini.

Tahniah sekali lagi kepada semua di NSFC. Ketua jurulatih K.Devan dan pegawai-pegawainya. Para pemain dari kesebelasan utama, bangku simpanan sehingga ke piala presiden.  Tahniah juga pada pasukan media NSFC kerana berjaya menceriakan suasana dan membawa NSFC ke arah lebih professional. Tahniah juga kepada pihak pengurusan yang juga mengembalikan kepercayaan kepada penyokong NSFC. Perjumpaan dengan Micheal pada pemulaan musim jelas membawa hasil.

Paling penting, tahniah kepada penyokong-penyokong NSFC yang terus menerus menyokong pasukan kita baik dari lubuk kehinaan sehingga menjadi juara. Pasukan silih berganti, penyokong kekal di teres-teres lusuh stadium Paroi.

Bola sepak untuk semua. Tidak kira tua mahupun kecil. Lelaki ataupun perempuan. Kemenangan NSFC ini untuk semua. Sambutlah dengan riang tanpa prejudis dan hasad dengki kepada orang lain. Ini masa untuk meraikan bersama bukan masa mencari kesalahan orang lain. Hobin Jang Hobin.

P/S: This year is our year

-Tom Bombadil-

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.