October 13, 2024

PBNS: Tiada berita bermaksud berita buruk?

3 min read

Adapun, telah lebih sepurnama perlantikan barisan baru Presiden dan Exco Persatuan Bola sepak Negeri Sembilan, namun tidaklah Jang mendengar walau sebutir berita pun yang boleh Jang putar. Begitu senyap dan sunyi sekali hatta jika jarum jatuh pun, tiadalah ianya mengeluarkan bunyi kerana malu dengan diri sendiri. Gundah gulana hati Jang, kerana adapun, jika tiada berita artinya ianya berita buruk jua adanya. Adapun, berita terakhir khabarnya mahu berdialog bersama rakyat jelata. hmmmmm

Melihat kepada senario ekonomi bola sepak sekarang, bolehlah dikatakan telah banyak pasukan yang demam dan ada pula yang telah kembali ke alam barzakh. Diberitakan sahibul hikayat, pemain Felda sudah lama tidak ke mesin ATM kerana gaji sangkut dan bakal berhadapan potongan gaji secara besar-besaran atau mungkin juga dibubarkan. Ini demi survival syarikat itu sendiri kerana tiadalah pernah lagi terdengar dalam hikayat, ada pasukan bola sepak di Malaysia yang menjana duit keuntungan selepas bermusim di liga Malaysia. Adapun kesemua pasukan telah rugi jua adanya. Felcra FC telah kembali ke alam baka, diberitakan PJ Rangers yang mendapat sponsor sedap dari Air Asia juga bakal mendarat di KLIA 2 selepas terbang tinggi tanpa penumpang. Adapun, pasukan bola sepak MOF (Kementerian Kewangan) juga tutup kedai kerana Menteri Guan Eng tiadalah beliau berhenti beratib tentang hutang negara. Hmmmm

Oklah, enuff with drama.

Point Jang simple; pengurusan PBNS yang baru harus sedar realiti bola sepak Malaysia sekarang. Tanpa sokongan dana yang kuat, jangan bermimpi boleh survive walau separuh musim 2019. Pengurusan lama boleh mendabik dada dengan reputasi tidak pernah gagal membayar gaji pemain mengikut waktu setiap bulan. Adakah reputasi ini akan tercalar dengan pengurusan baru? Jeng! Jeng! Jeng!

Maka, sebelum berbelanja, pastikan kantung PBNS penuh dan mencukupi. Jangan ukur baju di badan JDT tapi berbelanjalah dibawah kemampuan, bukan mengikut kemampuan. Ya, jangan sampai Jang bercerita tentang financial planning, please. Tidak semestinya menggaji pemain mahal dan ternama sahaja sebagai jalan keluar untuk berjaya. Gunalah pemain yang boleh menerima gaji setimpal dari kalangan pemain tempatan yang masih muda dan bertenaga. Tetapkan bayaran gaji dalam lingkungan bawah 20,000 atau maksima 30,000 hanya kepada 2,3 bintang. Ingat! peruntukan yang diterima bukan hanya untuk pasukan senior tetapi keseluruhan perbelanjaan dibawah PBNS seperti pasukan presiden, Belia, pasukan wanita, futsal dan juga akar umbi (jika ada)

Persoalannya, siapa sponsor baru PBNS?

Jang dapat perkhabaran, Matrix Concept mungkin memotong sedikit peruntukan mereka. Mungkin hanya bagi 3 juta atau 5 juta atau mungkin 2 juta? Selebihnya mungkin datang dari penaja lain seperti Hospital Salam dan juga penaja biasa dari kerajaan Negeri seperti Negeri Roadstone. Jang dengar khabar angin, selama ini juga PBNS ada mengambil peruntukan dari MSN (Majlis Sukan Negeri) yang sepatutnya digunakan untuk sukan-sukan lain. Tak manis lah buat begitu, sukan lain pun nak makan jugak. Malah sukan lain sudah banyak menyumbang pingat kepada kita. Tapi itu mungkin perangai pengurusan lama, harap pengurusan baru jadikan ianya sempadan.

Persoalannya, siapa nak cari sponsor baru ni?

Eh! Exco la, siapa lagi! Siapa nak jadi pengurus baru pasukan senior? Jang dengar Datuk Najib. Hmmmmmmm. Panjang Hmmmm Jang. Siapa nak jadi pengurus pasukan Presiden? Hmmmmmmmm. Ini hal ranking dan buat kerja, samada mahukan kerja itu atau terpaksa, ikhlas atau tidak dan ada mengambil keuntungan dari kerja itu atau tidak, itu Jang tak berani nak ulas lagi. TETAPI suka Jang nak ingatkan, penyokong sekarang semakin bijak dan berani. Mereka tidak bodoh lagi dan, ingat ni; PENYOKONG SUDAH MUAK DIBODOHKAN. Senario ini boleh dilihat dalam semua pengurusan FA ditempat lain dan paling jelas, dalam politik kerajaan. Menteri dan ADUN selamba je kene hentam. Jang tidak mahu senario sama dialami oleh pengurusan baru. Dulu penyokong naikkan banner PBNS Bangsat merata Seremban, takkan pengurusan baru tak mahu ambil apa-apa iktibar dan pastikan perkara ini tidak berulang. Reputasi Tuanku Besar Tampin harus dijaga.

Jika perlu mengambil entiti lain, pengurus pasukan secara eksekutif dari luar dan digaji untuk menguruskan pasukan bola, maka lakukan. Bukan apa, jangan nanti tak mampu nak bawa, pasukan merudum, masa itu baru nak buat, susah juga. Sebab antara tujuan asal perubahan diminta dari penyokong adalah kerana mereka mahukan pembaharuan, penswastaan, kemajuan dari PBNS. Penyokong tidak dapat kesemua itu dari pengurusan lama. Jangan takut untuk berubah atau membuat penukaran kerana bak kata Einstein, ‘melakukan perkara yang sama berulang-ulang dan berharap keputusan yang berbeza adalah kerja gila’. Jang harap PBNS baru jangan la buat kerja gila.

Apapun, Jang doakan semoga diberi kemudahan kepada pengurusan PBNS baru dalam menjalankan tugas. Amin.

Jang,

Buapak Bolasepak Beradat

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.