Persahabatan | NSFC 2-1 Penang FC
4 min readBola sepak adalah satu permainan kompetitif, bersifat melawan, memerlukan kekuatan fizikal dan mentaliti mahu menang yang solid selama 90 minit.. Kesemua elemen ini hanya dapat diperolehi melalui latihan yang keras, rehat yang cukup, pilihan pemain yang sesuai dan kerjasama berpasukan yang serius.
(Bagi can la Jang intro panjang sikit, lamo tak menulis ni)
Wabak covid merencatkan persiapan semua pasukan dalam Liga Malaysia musim 2021 termasuk pasukan kita, Negeri Sembilan FC. Kesemua pasukan hanya dapat melakukan latihan secara berpasukan selama 2 minggu sahaja sebelum sepak mula pada 5 Mac depan. Syukurlah, pasukan NSFC tidak dilanda kemelut luaran yang bersifat drama seperti pasukan Kedah FC dan Perak FC atau masalah gaji seperti 5 pasukan lain. Justeru fokus mereka didalam padang sepatutnya tidak terganggu.
Jang diberi kesempatan dan peluang untuk menyaksikan perlawanan malam tadi di Paroi. Ketahuilah, nikmat turun stadium menyaksikan pasukan bermain sekarang terlalu tinggi nilainya. Boleh dijadikan modal untuk potong barisan suntikan vaksin. Jang syak, kau semuo mesti dah lupo rupo tiket dan teres stadium Paroi kan? Bersabarlah. Hmmmm.
NSFC memulakan perlawanan pra-musim (friendly) dengan baik. Sabtu lepas mereka menang 1-0 keatas pasukan KLFC di Cheras (Gol: Zaquan) dan membuat ‘comeback’ malam tadi untuk menang 2-1 keatas Penang FC. Masih terlalu awal untuk Jang menilai prestasi pasukan NSFC namun perlu diingat, Penang FC adalah sebuah pasukan kuat! Mereka adalah juara Liga Perdana musim lepas. Jang lihat, mereka mempunyai pemain tinggi lampai yang solid dibahagian pertahanan dan lebih menjadi duri dalam daging yang mencalar ego Jang apabila melihat bekas pemain kacukan Negeri Sembilan, David Rowley mengemudi bahagian tengah Penang dengan baik. Misai juga dah tebal balik.
Penang FC menghasilkan gol awal belum pun minit ke 3 melalui set piece apabila free kick mereka dari luar kotak ditanduk oleh pemain mereka yang tinggi lampai. Damien Lim, penjaga gawang NSFC tidak dapat menyelamatkan bola itu. Jang lihat size Damien ni kecil betul. Mujur bola sepak dimainkan selama 90 minit.
Mengikut pemerhatian Jang malam tadi, pasukan NSFC kali ini bermain jauh lebih baik dari musim lepas. Jika musim lepas kita begitu bergantung kepada import Brazil, Almir Neto untuk buat kerja dan Igor Luiz untuk jatuh dan kemudian Nakatake buat freekick, tapi kali ini pasukan kita ada banyak pilihan pemain untuk melakukan kerja dan membuat percubaan.
Percubaan pertama datang dari import Korea, Bae Beom Gun dari luar kotak penalti hanya sipi terkeluar dari gawang gol. Kemudian Zaquan juga mendapat peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan namun percubaannya dari dalam kotak penalti ditepis penjaga gawang Penang. Bola juga bersimpang siur dalam kotak penalti Penang dan jumlah tendangan sudut juga agak tinggi berbanding musim lepas.
Akono Akono
Akono ni Jang tengok begitu pendiam dan tak banyak cakap semasa diluar padang. Jang risau juga melihat sikap beliau yang agak tidak beremosi. Macam tak suka je datang Negeri Sembilan. Ternyata Jang silap. Sekali masuk padang, Akono berubah menjadi brutal, vokal, kompetitif, winning mentaliti dan no bullshit. 1 kad kuning kerana maki pengadil sebagai bukti dia sangat vokal. Apabila hantaran pemain tidak kena dengan seleranya, dia akan menjerit. Ah! kau tengok la sendiri nanti. Kang koba Jang up lebih pulak. Tapi bagi Jang, dah 2 musim Jang memendam rasa dendam kesumat melihat aksi Igor Luiz yang kerap jatuh dari membuat percubaan, maka aksi Akono Akono malam tadi bagai menemui vaksin dan terhapuslah covid dari muka bumi ini. Kalau kau tengok gol Akono Akono berdesup dari luar kotak malam tadi, pasti kau akan setuju dengan Jang.
Gol kedua pula datang dari Alif Romli, pemain Belia yang dinaikkan ke pasukan utama. Sangat manis gol beliau dan jika dibentuk dengan baik, Alif boleh pergi jauh. Jang bersetuju dengan Kid, permainan Alif umpama melihat kembali Akhyar Rasyid sebelum beliau disimpan sejuk. Barath Kumar juga membaca permainan dengan baik dibahagian tengah. 10 minit terakhir permainan, boleh kata Penang FC sudah kehabisan idea dan tenaga untuk melakukan serangan. Kena pula Selvam dah masuk, lagi barai bek Penang FC nak manage gandingan Akono, Alif, Selvam dan Ferris Daneil.
Barisan pertahanan NSFC perlu dipertingkatkan lagi dan perlu lebih vokal dalam memberi arahan kepada pemain lain. Jang lihat Annas sesuai diberi peranan untuk menjadi vokal dalam mengemudi bahagian belakang. Namun, Jang salute gandingan lokal dalam pertahanan NSFC. Special mention Jang kepada penjaga gawang, Kahar yang membuat aksi berani berwibawa mengagalkan percubaan terakhir Penang FC. Inilah keberanian penjaga gawang muda kena belajar dari Kahar. Salute!
Import
Setakat malam tadi, hanya Akono dan Bae Beum Gun yang dilihat bersinar. Fernando Barbosa ni apo bosa bona lak badan eh? Perintahkan dia untuk turunkan berat badan atau bersedia untuk dikecam. Tapi permaianan dia ok la cuma aksi import lepas, Matheus Villa begitu menghantui fikiran Jang, maka Jang akan berkira dengan pemain import.
K. Devan
Brutal dan tak duduk diam. Selalu berdiri memberi arahan dan menjerit pada pemain dan juga pengadil. Pilihan pemain dikira sedap dan boleh diharap. Terpulang kepada beliau untuk membentuk sebuah pasukan mantap terutama dalam menguruskan strategi dan selera (attitude) pemain.
Jang tak sabar untuk melihat aksi seterusnya dari NSFC. At the end of the day, penyokong hanya mahu lihat aksi permainan yang bermaruah dari pasukan. Mereka tidak mahu drama berebut tanah atau harta pusaka, logo dan sebagainya. Mereka hanya mahu sebuah pasukan mantap demi menjaga nama baik Negeri Sembilan dan sebuah pengurusan yang bijak.
…dan jersi cun untuk dipakai dengan bangga.