April 19, 2024

Piala FA: Terima kasih Negeri Sembilan

4 min read

Kita tidak melangkah ke pentas final tetapi apa yang berlaku di Paroi sudah cukup memuaskan hati kita. Lebih 38 ribu peminat dan penyokong berbagai latar ketegaran memenuhi setiap inci dan ruang stadium. Ianya bagaikan pesta yang ditunggu-tunggu. Debarannya begitu memuncak dan Jang berani katakan, semua orang menikmati momen ini dengan kemuncak yang positif. Terima kasih Jang ucapkan kepado seluruh umat manusia yang hadir ke stadium walau ada yang balik masa half time atau balik waktu perlawanan masih belum tamat. Tidak mengapa, hidup ini satu proses pembelajaran dan untuk menjadi penyokong yang cekal dan berwibawa, masih banyak yang kita semua kene belajar.

Jang telah berada di perkarangan stadium semenjak kaunter tiket dibuka pada hari Rabu pagi sehinggalah lewat malam selepas perlawanan. Jang betul-betul menikmati momen ini, melihat penyokong tak putus-putus datang membeli tiket, berbual bersama mereka, melihat mereka gembira bergambar dengan tiket sehinggalah melihat puluhan yang beratur pada pagi Sabtu kecewa bila tiket habis. Menariknya, ada ramai lagi yang datang hanya untuk melihat, mengambil feel dan sekadar memeriahkan suasana.

Ulat tiket pun ramai. Mereka beratur paling depan setiap hari. Harga tiket dijual semula pada harga RM15 dan kemudian meningkat pada hari Sabtu kepada RM30 dan lewat petang kepada RM50. Mana yang terdesak tetapi tidak mahu ketinggalan pasti ‘terkorban’ RM50. Ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada seluruh peminat bola sepak supaya mendapatkan tiket awal dan jangan teragak-agak. Ada yang komen, kene limitkan pembelian setiap orang, ada yang kata kene tunjuk IC supaya penyokong luar tak beli tiket kita dan bermacam idea lagi. Bagi Jang, kau jangan bagi syarat itu ini dan membising sangat suruh orang buat kerja lebih untuk kau datang berlenggang kangkung ke kaunter tiket untuk beli sekeping tiket. Maksud Jang, kau nak tiket, datang awal, beratur dan beli. Bukan bagi arahan kepada kaunter supaya minta IC la, limit 5 seorang lah, sementara kau duduk rumah tunggu hari Sabtu baru nak muncul. Banyak cantik!

Tindakan penguatkuasa mengarahkan semua peniaga untuk berpindah ke ruang parking sebelah kubur dibelakang stesen minyak Petron adalah tindakan bijak dan wajar dipuji. Sepatutnya dari dulu lagi ianya diletakkan disitu atau jika mahu juga duduk dikawasan parking, berdisiplin la sikit menyusun atur khemah tu. Ambil satu barisan sahaja, ini tidak, dari kubur ke tandas berterabur kedai. Setakat jual jersi ok lagi, jual pomade ada, jual beg ada, jual permainan kanak-kanak ada, jual majalah juga Jang tengok berdisiplin tinggi dan professional. hmm.. Jang bukan apa, stadium kita ini majoriti orang datang naik motokar dan motorsikal. Bagilah keutamaan kepada mereka untuk parking. Walau dikedudukan baru, Jang lihat berduyun orang datang dan membeli barangan, macam pasar Ramadhan meriahnya. Menang-menang la tu.

Kemasukan penyokong kedalam stadium pula Jang anggap sedikit rileks walau belum mencapai tahap beratur macam orang beriman. Jang lihat kemasukan dipintu sebelah kedai Popia lebih tinggi berbanding dengan pintu berdekatan tandas awam. Jika mereka rajin sikit memantau dan melihat, mereka mungkin tak perlu bersesak dipintu yang sama kerana ada 2,3 pintu lagi yang sedikit lega. Tapi mungkin kau semua suka bersesak-sesak, Jang mana tau.

Atmosphere atau suasana dalam stadium memang mengujakan. Meremang bulu tengkuk Jang bila kau semua berpadu suara menyanyi setengah jam sebelum sepak mula. Inilah momen yang kau semua alami sendiri dan akan kenang. Inilah bola sepak kita, wajah kita. Kita datang untuk menyokong dan enjoy dengan bola sepak yang dimainkan. Tambah menarik, penyokong pelawat juga penuh dan tidak mengalah dalam memberi sokongan terutama dari kumpulan ultras mereka.

Dalam padang, Jang sedikit kecewa melihat tandukan import Pahang dari Korea yang seakan tidak mendapat tentangan atau challenge dari pemain pertahanan. Bagi Jang tendangan percuma itu juga telah masuk kedalam kawasan untuk penjaga gawang, Amar Sudar untuk turut sama melompat dan menumbuk bola keluar tetapi beliau memilih untuk menunggu. Bagi Jang, kedudukan itu terlalu dekat untuk Amar bertindak menyelamatkan bola tandukan. Gol minit ke 5 itu dilihat terlalu awal untuk diterima oleh kumpulan penyokong Negeri Sembilan yang masih belum panas.

Walaupun pemain kita dilihat menguasai permainan dengan hantaran-hantaran kemas dan membuat tidak kurang 9,10 percubaan namun semuanya tersasar. Mujur tandukan Bruno menembusi gawang namun bagi Jang waktu itu sudah terlewat untuk menggandakan asakan. Disaat kita galak menyerang, pertahanan kita menjadi lompong dan Pahang berjaya menambah jaringan untuk memadamkan terus harapan kita. Ini klasik dan berlaku dalam banyak perlawanan sepenting ini. Kita terpaksa ghairah mencari gol dan sebenarnya pada waktu begini kita memang kene naik untuk membantu serangan kerana kalah 2-1 atau 20-1 tidak memberi beza lagi. Apapun tahniah untuk semua pemain kerana telah berusaha.

Maka berakhir harapan dan tugas kita dalam saingan Piala FA. Menjadi 4 pasukan terbaik bagi Jang cukup memuaskan memandangkan misi utama pasukan adalah kekal dipuncak liga untuk naik ke liga Super. Kita move on dan kembali fokus pada tugas utama. Tahniah Pahang kerana layak untuk bertemu Kedah nanti.

Tahniah dan terima kasih kepada semua penyokong tegar Negeri Sembilan. Kita semua menang dan tepukan Minang kita selepas perlawanan adalah bukti kita masih setia.

#BolasepakKItaWajahKita

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.