May 25, 2025

Piala Malaysia | “JDT ada Pablo Aimar pun Keh pepoh” ujar penyokong Sri Pahang yakin.

4 min read

Pablo César Aimar, seorang pemain bola sepak super-bintang yang merupakan idola Lionel Messi
dan juga merupakan pemain magis yang telah memenangi pelbagai kejuaaran sepanjang 22 tahun
karier beliau sebagai jagoan bola sepak . Beliau telah mengecapi pelbagai kejuaraan berprestij
seperti La Liga, UEFA Europa Leauge dan Primeira Liga di peringkat kelab dan bersama skuad
Argentina pula beliau telah menjulang Piala Dunia Remaja FIFA pada temasya tahun 1997 yang
berlangsung di Malaysia. Walaupun telah melalui perjalanan karier bola sepak yang gemilang,
fenomena dan luar biasa, namun satu perkara yang sentiasa menghantui dan menjadi mimpi ngeri
kepada El Mago yakni Pablo Aimar ialah beliau tidak pernah memenangi perlawanan menentang
Pahang. Di Stadium Darul Makmur, Pablo Aimar ketika itu menyarung jersi JDT telah dimalukan dan
diaibkan tanpa belas kasihan dengan kekalahan dramatik 3-2. Hafiz Kamal meledak gol kemenangan
untuk Pahang ketika perlawanan berada di ambang sakaratul maut. Jaringan minit akhir tersebut
memberi kemenangan cukup bergaya kepada skuad Tok Gajah. Ada khabar angin mengatakan
kekalahan yang cukup mengerikan tersebut membuatkan Pablo Aimar trauma lalu menamatkan
kontraknya bersama JDT lebih awal. Hanya 6 bulan beraksi di Liga Super, Pablo Aimar Kembali ke
Argentina untuk menenangkan fikiran akibat kekalahan yang cukup aib di tangan Pahang.

Dendam kesumat Pablo Aimar tidak pernah lenyap, sudah pasti perlawanan final Piala Malaysia
antara Sri Pahang dan JDT yang akan berlangsung pada hari sabtu ini akan diberi perhatian serius
oleh beliau.

SRI PAHANG DAN FALSAFAH TOTAL FOTBALL

Tidak terlalu keterlaluan jika dikatakan kekuatan pasukan Sri Pahang pada musim ini lebih dahsyat
dan lebih hebat daripada himpunan kekuatan bom atom, bom hydrogen dan nuklear. Kekuatan luar
biasa dan tidak masuk akal pasukan Sri Pahang pada musim ini sebenarnya diorkestra oleh Fandi
Ahmad yang merupakan jurulatih berwibawa dan berpengalaman luas. Fandi Ahmad merupakan
jurulatih yang menerapkan falsafah Total Football dalam permainan pasukan Sri Pahang. Jiwa Fandi
Ahmad dan falsafah bola sepak Total Football sebenarnya sudah bersatu dan menjadi darah daging
dalam dirinya sejak Fandi Ahmad bergelar sebagai seorang pemain lagi. Fandi Ahmad pernah beraksi
bersama kelab terkemuka Belanda, Gronigen. Beliau juga pernah bermain di kejohanan ke-dua
paling agung di dunia selepas kejohanan Piala Malaysia yakni kejohanan Champions League. Fandi
Ahmad juga pernah merekodkan gol melawan gergasi Itali, Inter Milan. Ketika bermain di Liga
Belanda sebagai pemain, beliau telah menguasai dan mendalami falsafah bola sepak Total Football
dengan sempurna. Ketika di Belanda, beliau telah bertalaqqi lutut ke lutut dengan mendiang Johan
Cryuff. Johan Cryuff adalah guru dan mentor kepada Fandi Ahmad dan segala kefahaman bola sepak
yang benar dan murni telah dipelajari dengan baik oleh Fandi Ahmad.

Pada musim ini corak permainan menghiburkan Total Football telah dipamerkan pasukan Tok Gajah.
Taktikal Fandi Ahmad seolah-olah mencabar kawarasan akal manusia, Sri Pahang boleh bertukar-
tukar formasi dalam satu perlawanan yang sama sehingga menyebakan pemain-pemain Sri Pahang
sendiri seperti seolah-olah sudah hilang kewarasan akal. Dalam satu perlawanan yang sama, Sri
Pahang akan bermain dengan formasi yang variasi, 3-5-2, 5-3-2 dan 4-3-3. Fandi Ahmad tidak rigid

dengan mengamalkan hanya satu formasi. Jika mendiang Johan Cryuff masih hidup pasti beliau akan
menangis terharu kerana Sri Pahang di bawah kendalian Fandi Ahmad telah meneruskan legasi
falsafah Total Football beliau.

Pemain kunci bagi Sri Pahang yang perlu diberi perhatian adalah Baqiuddin Shamsudin, pemain
kelahiran Kuala Lipis dan juga sepupu beliau Azam Azih. Corak permaianan Baqiuddin adalah sangat
mirip dengan Arjen Robben, beliau mempunyai kelajuan dan pecutan seumpama roket dan sangat
bebahaya dalam situasi satu-lawan-satu. Jika permain pertahanan JDT lalai walaupun hanya satu
saat, pasti Arjen Robben Pahang ini akan merobek dan menghukum pertahanan JDT tanpa sebarang
perasaan belas kasihan. Corak permainan Azam Azih pula sangant mirip dengan lagenda Brazil,
Pernambucano Juninho. Beliau mempunyai visi permainan yang berlawanan dengan hukum fizik,
Azam Azih mampu membuat umpanan yang mengelirukan pemain lawan. Malah bukan pemain
lawan sahaja yang keliru, rakan sepasukannya sendiri juga keliru dengan umpanan berkualiti tinggi
yang dilakukan oleh Azam Azih.

KRITIKAN MURNI TERHADAP FANDI AHMAD

Walaupun Fandi Ahmad merupakan jurulatih bertaraf dunia dan merupakan anak murid kepada
filsuf bola sepak agung, Johan Cryuff. Fandi Ahmad bukanlah maksum dan suci daripada segala dosa.
Sepanjang musim ini Fandi Ahmad telah ditohmah dan dicaci dengan pelbagai kritikan dari segenap
penjuru. Namun beliau tetap bersabar dan menunjukkan akhlak yang terpuji.

Penyokong-penyokong Sri Pahang sendiri banyak melontarkan kritikan yang membina kepada Fandi
Ahmad dan pasukan Tok Gajah. Berikut adalah kritikan murni dan membina daripada penyokong-
penyokong Tok Gajah :

“Kalau rotate pemain dari dulu mungkin tak jadi macam ni. Ni pemain main sampai patah kaki baru
nak tukar pemain lain. Bila pemain lain jarang main, dia main pun berteraburlah,” kata penyokong
bernama Zamri Aminuddin.

“Minit ke-80 ke atas baru terkial-kial nak tukar pemain, satu je nak kata yang aok memang tak boleh
pakai,” ujar Nizam Kamal.

“Elok tak payah berlatihlah sebab dah tahu taktikal apa nak pakai masa perlawanan, dapat bola
lambung ke depan. Lepas tu, tengah sedap menyerang, tiba-tiba hantar bola ke bawah balik, macam
mana nak dapat gol?,” soal Al-Fateh pula.

JDT

Tiada apa yang menarik yang perlu diperkatakan berkenaan pasukan Harimau Selatan ini. Menurut
satu perkhabaran yang tidak sahih, mengatakan pasukan JDT akan dibubarkan pada musim hadapan.

KHULASAH

Pemerhati-pemerhati bola sepak seluruh dunia sebulat suara meramalkan pasukan Sri Pahang akan
menjulang Piala Malaysia pada hari Sabtu ini berdasarkan analisis-analisis yang mendalam lagi
terperinci. Pasti dan pasti perlawanan final Piala Malaysia antara Sri Pahang dan JDT akan menjadi
tumpuan seluruh penduduk bumi dan alam cekerawala, termasuklah Pablo César Aimar.

Artikel ini ditukis dan diemel oleh Abdul Hadi a.k.a Chow Sin Chee, seorang penyokong tegar Sri Pahang. Sesiapa saja boleh menghantar artikel ke sini ultrajangmag@gmail.com

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2025.