April 24, 2024

Preview Match Day 5 : Pahang VS Negeri Sembilan

4 min read

Negeri Sembilan akan bertandang ke Stadium Darul Makmur bagi membuat perhitungan dengan pasukan Pahang dalam perlawanan kelima Unifi Liga Super 2018. Perlawanan ini dijangka akan tetap mendapat tumpuan dari segenap masyarakat Negeri Sembilan walaupun pada masa yang sama, Manchester United dan Liverpool sedang bersaing untuk merebut sekadar tempat kedua liga(takkan borobut tompek keduo pun nak tengok kot). Negeri Sembilan yang sedang mencuba untuk menamatkan rentetan kekalahan dan keluar dari zon bawahan liga manakala Pahang yang mahu meneruskan rentak kemenangan dan terus memberi saingan kepada pendahulu liga, kedua-duanya pasti akan turun memberikan yang terbaik untuk membawa pulang tiga mata.

Pahang seolah tampak mempunyai kelebihan baik di atas padang dengan turun selaku tuan rumah mahupun di atas kertas, namun secara peribadinya, den yakin Negeri Sembilan boleh menyaingi kekuatan Pahang. Empat pertemuan pada musim lalu, dua di separuh akhir Piala FA dan dua lagi dalam peringkat kumpulan Piala Malaysia, menceritakan Negeri Sembilan mampu untuk membuat kejutan dengan mencatat satu kemenangan dan satu seri dalam empat pertemuan tersebut walaupun pada dasarnya, Negeri Sembilan beraksi dalam liga bawahan. Dan tidak mustahil, Negeri Sembilan mampu membuat penyokong Tok Gajah yang hadir ke stadium terdiam jika Pahang memandang enteng cabaran pasukan Negeri Sembilan.

Bagi skuad kendalian Dollah Salleh, jika tiada sebarang masalah menimpa, beliau berkemungkinan besar akan menggunakan barisan pemain yang sama ketika menentang Selangor dengan Chan Vathanaka dijangka akan diturunkan semula setelah memberi laluan kepada Nor Shahrul Idlan Talaha dalam Piala FA atas faktor kuota pemain import di atas padang. Dengan barisan serangan diketuai penyerang prolifik Francis Forkey Doe dibantu oleh seorang lagi penyerang Patrick Cruz serta Vathanaka di sayap kiri dan Muhammadou Sumareh di sebelah kanan, pasti ia menjadi satu malam yang panjang buat pertahanan Negeri Sembilan dalam usaha untuk mengekang asakan pemain Pahang.

Dengan Renars Rode dan Aizulridzwan dilaporkan sekadar menjalani latihan ringan manakala Aroon Kumar dijangkiti demam, penyokong Negeri Sembilan tidak perlu gusar dengan barisan pertahanan Negeri Sembilan kerana Negeri Sembilan mempunyai backup pertahanan yang mampu mengisi kekosongan yang ada. Fauzan Fauzi dan Raduan Abdullah yang masih belum beraksi musim ini pasti bersedia memikul tanggungjawab tersebut selain pemain-pemain yang sedia ada seperti Nasriq, Rizal, Kalaiharasan dan Noor Hazrul.

Namun demikian, sedikit kegusaran berlaku di bahagian tengah apabila Fauzan Dzulkifli dan Flavio turut dilaporkan sekadar menjalani latihan ringan sepanjang minggu ini membuatkan peminat berteka-teki siapakah yang akan Azraai Khor turunkan. Bahagian tengah ini merupakan bahagian yang penting untuk memastikan pasukan menguasai perlawanan seterusnya memudahkan para pemain merencana serangan. Jika kedua-dua pemain yang dinyatakan tidak cergas bermain, Negeri Sembilan hanya mempunyai Syahid Zaidon, Faizal Abu Bakar, dan Kim Do Heon yang boleh menggalas tanggungjawab besar ini. Dengan Kim ditukarkan seawal separuh masa pertama ketika Negeri Sembilan menentang Kedah pada pusingan kedua Piala FA yang lalu, pasti Azraai tidak bersedia untuk mengambil risiko yang sama menurunkan pemain yang belum benar benar fit dalam perlawanan yang besar.

Malah, tugas berat juga akan dihadapi oleh pemain-pemain tengah yang bakal diturunkan Azraai Khor kerana mereka perlu overshadow pemain tengah Pahang, Azam Azih dan Safwan Baharudin dalam usaha untuk merencatkan permainan Pahang. Safwan Baharudin merupakan antara pemain utama kebangsaan Singapura yang boleh bermain di beberapa posisi dan Azam Azih pula seperti yang umum telah ketahui, merupakan pemain utama skuad bawah 23 tahun kebangsaan dan boleh dikatakan, antara pemain tengah terbaik yang dimiliki negara buat masa ini.

Nampaknya,hasrat peminat Negeri Sembilan untuk melihat Velez kembali beraksi seolah pudar walaupun pada mulanya Velez dijangka dapat beraksi menentang Pahang setelah mengalami kecederaan ketika menentang Kuala Lumpur. Tetapi boleh jadi Velez sedang beransur pulih namun belum bersedia untuk beraksi di atas padang atas faktor kecergasan. N. Thanabalan juga dikhabarkan tidak bersedia untuk diturunkan namun setelah melihat aksi Prak Mony Udom mengetuai bahagian serangan ketika menentang Kedah, penyokong Hobin Jang Hobin dinasihatkan untuk tidak menggelabah dan memberi kepercayaan kepada sesiapa pun yang diturunkan Azraai Khor, kerana setiap pemain baik Udom, Fakrul Aiman mahu pun Thana atau Velez, keempat-empat pemain ini mempunyai kelebihan masing-masing untuk merobek gawang gol yang dikawal Helmi Eliza.

Perkara yang menarik untuk disaksikan adalah apakah taktikal yang akan digunakan Azraai Khor untuk menentang Pahang. Setelah empat pertemuan pada musim lalu, Asri Ninggal pasti sudah memahami selok belok taktikal Dollah Salleh untuk dikongsi bersama Azraai dalam usaha untuk mematahkan taktikal yang digunakan Dollah. Jika faktor kecederaan pemain diambil kira, adakah Azraai yang telah menggunakan pendekatan ultra defensive ketika bertemu Kedah dalam usaha untuk menarik perlawanan ke penentuan sepakan penalti tetapi gagal, akan menggunakan pendekatan yang sama ketika bertemu Pahang. Bermain di tempat lawan dengan serba kekurangan, satu mata sudah pasti begitu berharga dalam perlawanan ini. Namun jika Azraai yakin dengan taktikal, para pemain dan input yang diberi Asri Ninggal, adakah Negeri Sembilan akan all out dalam usaha untuk membawa pulang tiga mata?

Gajah menjemput secara hormat,
Kito bawak kerbau ko ruso,
Datang dengan satu matlamat,
Bawa pulang tiga mato

-Yat-

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.