April 20, 2024

Previu Perlawanan | Kelantan United VS NSFC

2 min read

Setelah berehat hampir dua minggu, NSFC akan bermusafir ke negeri Cik Siti Wan Kembang dalam usaha untuk terus mencabar kejuaraan Liga Perdana seterusnya layak ke Liga Super 2022. Kelantan United akan menjadi penghalang seterusnya apabila menerima NSFC sebagai tetamu di Stadium Sultan Muhammad IV. Walaupun perjalanan Kelantan United untuk layak ke Liga Super tampak sukar, pasti mereka tidak akan memberi laluan mudah kepada NSFC apatah lagi bermain di laman sendiri.

KECERGASAN DUA PEMAIN IMPORT
Menuju lima perlawanan terakhir, tahap kecergasan dua pemain import, Arthur Cunha dan Beum-Geun sudah pasti sedang dipantau dengan teliti untuk memberi tonik tambahan kepada skuad di atas padang. Beum mengalami kecederaan serius ketika bertemu Sarawak United dalam pusingan pertama dan sehingga kini, hanya dimasukkan sekali-sekala sebagai pemain gantian. Walaupun Beum boleh beraksi di beberapa posisi, ia bukanlah tiket mudah untuk beliau menjadi pemain utama selepas Javaa menunjukkan aksi konsisten semasa ketiadaan Beum.

Arthur Cunha dibawa masuk ketika jendela perpindahan kedua menggantikan Fernando Barbosa namun sehingga kini, khidmatnya masih belum dapat digunakan selepas mengalami kecederaan ketika sesi latihan. Mengambil kira pendekatan yang digunakan K. Devan untuk perlawanan sebelum ini, pastinya khidmat Cunha amat diperlukan apatah lagi lima perlawanan selepas ini adalah pencabar yang berkelayakan ke Liga Super. Bukanlah mahu menidakkan khidmat pemain tempatan, namun jika mengambil kira perlawanan menentang TFC II, K. Devan memerlukan tiga pemain di centre back bagj menghalang serangan yang mempunyai kualiti pemain seperti Jordan Mintah.

KEKALAHAN MENGEJUT DI PAROI
Mengimbas pertemuan sebelum ini, NSFC dikejutkan Kelantan United di Paroi dengan keputusan 2-3 di mana NSFC terpaksa menamatkan permainan dengan sepuluh orang. Kekalahan tersebut merupakan satu-satunya kekalahan NSFC dalam pusingan pertama. Dan lebih mendukakan, ia berlaku ketika penyokong buat pertama kalinya dibenarkan masuk ke stadium tahun ini sebelum kebenaran tersebut ditarik semula.

KELANTAN UNITED ADO GASSAMA BOH
K. Devan sudah tentu ingin memastikan Alfusainey Gassama tidak diberikan penjarakan sosial ketika perlawanan nanti. Telah mengumpul 10 gol setakat ini, Kelantan United pastinya mengharapkan Gassama untuk terus mencetak gol buat mereka. Malah, rekod Gassama ketika bertemu Negeri Sembilan boleh dikatakan agak baik apabila meledak dua gol pada perlawanan sebelum ini dan turut menyumbang satu gol dalam kemenangan 3-0 pada musim lepas.

Kredit gambar : FB NSFC

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.