Previu Perlawanan | NSFC vs Kuching City FC
2 min read
Ternyata bola sepak Malaysia ini tinggi nilai komersialnya. Baharu sahaja liga berehat selama dua minggu, ditambah dengan ketiadaan perlawanan buat skuad kebangsaan, para peminat nampaknya terpaksa memberikan perhatian mereka kepada isu-isu remeh sepanjang dua minggu ini. Pihak yang melakukan majlis juga tidak melepaskan peluang menggunakan tempoh rehat bola sepak selama dua minggu ini untuk melaksanakan majlis mereka kerana mereka juga sedar jika bola sepak dimainkan, tiada sesiapa yang akan memberikan tumpuan kepada majlis mereka!
Syukur, liga bersambung semula minggu ini. Kegelisahan yang dialami sebelum ini telah mula sedikit-sedikit hilang malah hujan yang turun di bandar Seremban semalam, menyejukkan sedikit perasaan penyokong-penyokong Negeri Sembilan yang tidak sabar menunggu kedatangan malam ini setelah berpanasan sepanjang minggu ini. Pasukan Negeri Sembilan akan menerima kunjungan Kuching City setelah perlawanan yang sepatutnya diadakan di Likas terlebih dahulu, ditukar venue ke Paroi atas permohonan Kuching City dan juga semangat kesukanan.
Akono tidak akan beraksi malam ini! Sukar juga untuk diterima bagaimana seorang pemain yang bermain di bahagian serangan, boleh menerima tiga kad kuning dalam hanya lima perlawanan. Mengalahkan pemain pertahanan. Pertama kali bakal beraksi tanpa Akono, jadi agak menghairankan pabila Akono diletakkan sebagai pemain utama dalam perlawanan persahabatan yang diadakan minggu lalu. Seharusnya perlawanan tersebut digunakan untuk mencari tonik terbaik bagaimana para pemain beraksi tanpa Akono. Akan tetapi, boleh jadi Akono diturunkan untuk mengekalkan momentum/kecergasan setelah faktor liga berehat dan penggantungan perlawanan diambil kira.
Walaupun ketiadaan Akono untuk malam ini, barisan serangan Negeri Sembilan dijangka akan diperkuatkan semula dengan kehadiran Zaquan yang telah kelihatan menyepak bola dalam perlawanan persahabatan yang lalu. Di posisi yang lain pula, dijangka tiada major issue yang berlaku dalam pasukan. Annas Rahmat telah kembali ke skuad untuk mengukuhkan lagi barisan pertahanan setelah diberi perlepasan sebelum ini atas urusan keluarga. Cumanya, den beranggapan Beomgeun perlu meningkatkan lagi prestasi di atas padang setara dengan tarafnya selaku pemain import. Dalam temu ramah selepas perlawanan menentang skuad projek, K. Devan memaklumkan Barathkumar belum pulih sepenuhnya. Kau bayangkan, main dalam kondisi yang bukan hundred percent pun masih boleh menjaringkan gol.

Walaupun baru menang sekali dalam empat perlawanan (Kuching City kurang satu perlawanan), cabaran Kuching City tidak boleh dipandang enteng. Joseph Kalang Tie dan rakan-rakan sudah tentu berkobar-kobar untuk mengulangi kejayaan mereka menang ke atas Negeri Sembilan pada tahun lalu. Dengan rata-rata pemain adalah pemain yang sama dengan musim lalu, ditambah pula dengan bimbingan jurulatih berwibawa Irfan Bakti, pastinya Kuching City ingin sekali lagi melakar kejutan di Paroi.
