Previu Perlawanan | NSFC vs TFC II
3 min readDua kemenangan berturut-turut sudah pasti akan menyemarakkan lagi semangat pasukan Negeri Sembilan untuk mencari kemenangan ketiga malam ini. Menerima kunjungan Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, NSFC sudah tentu mahu mengelakkan sebarang kejutan dalam usaha untuk mengekalkan kedudukan di tangga atas liga. Bagi TFC II yang hadir selaku pelawat, mereka sebelum ini telah bermain dua kali di home ground dan memperoleh kemenangan besar 4-0 ke atas skuad projek sebelum seri 1-1 menentang Kuching City.
Bermula dari sepakan percuma yang diambil Shinsuke Nakatake dengan melakukan hantaran ke dalam kotak penalti, menemui Izaaq Izhan lalu ditanduk sebelum bola menerjah ke jaring lawan pada minit akhir perlawanan. Pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan tahun lalu, gol ini lah yang menjadi pemisah dengan Negeri Sembilan mencatatkan kemenangan 1-0 juga di Paroi. Untuk tahun 2019 pula, rekod agak seimbang baik untuk Negeri Sembilan mahupun TFC II apabila masing-masing mencatatkan kemenangan 1-0 di laman sendiri.
Zaquan berkemungkinan besar akan kembali ke dalam kesebelasan utama malam ini. Itulah gambaran yang boleh den simpulkan berdasarkan temu bual bersama K. Devan selepas perlawanan menentang Selangor II. Seperti yang kito maklum, Zaquan terpaksa keluar awal ketika menentang JDT II akibat kecederaan dan tidak diturunkan Selasa lalu. Nampaknya, kecederaan tersebut tidak lah begitu serius apabila K. Devan menjelaskan Zaquan tidak diturunkan supaya boleh dipersiapkan dan bersedia untuk perlawanan menentang TFC II.
DI bahagian pertahanan pula, sudah tentu akan ada perubahan pemain di bahagian centre back selepas Negeri Sembilan tidak dapat menggunakan khidmat Annas Rahmat kerana dilayangkan kad merah Selasa lalu selepas mengutip dua kad kuning. Pemilihan pemain untuk posisi pertahanan kanan dan kiri juga agak misteri selepas K. Devan tidak menggunakan pemain yang sama untuk dua perlawanan terdahulu. Den mengharapkan pemain-pemain pertahanan yang diturunkan tidak terlalu banyak melakukan unforced error seperti memberikan sepakan percuma di kawasan berbahaya. Untuk rekod, TFC II berjaya melakukan jaringan melalui sepakan percuma dalam kedua-dua perlawanan mereka sebelum ini.
Melalui risikan yang den lakukan, antara pemain tumpuan TFC II ialah Amirul Syazwan. Walaupun bertubuh kecil, inilah pemain yang bertanggungjawab mengambil sepakan percuma dan telah menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan. Info menarik untuk pemain ini, Amirul Syazwan adalah antara produk liga amatur sebelum diserapkan ke dalam skuad belia, presiden dan kini bermain di Liga Premier. TFC II juga dijangka akan turun dengan hanya dua pemain import selepas dua pemain import yang lain akan digunakan TFC berikutan kecederaan yang dialami pemain import TFC.
Pasukan Negeri Sembilan dah membuktikan mereka tidaklah terlalu banyak, tetapi sedikit lebih bernafsu mencari gol berbanding musim lepas terutamanya dalam perlawanan menentang Selangor II. Walaupun bermain dengan sepuluh orang, mereka tidak selesa untuk bertahan dan sekadar mencuri satu mata tetapi sebaliknya, serangan terus dilancarkan untuk membawa pulang tiga mata. Untuk TFC II pula, mereka bukanlah satu pasukan yang sekadar menjadi pelengkap liga walaupun bertindak sebagai feeder club dan hal ini dibuktikan dengan dua perlawanan terdahulu. Jadinya, kau labur lah sikit RM12 untuk beli livestream match malam ni. Sok luso, duit tu jugak digunakan untuk perbelanjaan pasukan.
Hobin Jang Hobin!