Previu Perlawanan | NSFC vs TRW Kelantan FC
3 min read
NSFC sekali lagi menunjukkan semangat kesukanan dan nilai budi bahasa yang tinggi apabila bersetuju dengan pindaan menjadikan perlawanan menentang TRW Kelantan malam ini di tempat sendiri. Den difahamkan andai TRW Kelantan menjadi tuan rumah di bulan puasa ini, mereka terpaksa mencari inisiatif bermain di venue lain kerana isu lampu limpah yang tidak menetapi piawaian di Stadium Sultan Muhammad IV, tetapi NSFC dengan berlapang dada menerima pelawaan bermain di Paroi terlebih dahulu. Main home ni memang seronok, tetapi kita juga kena beringat, pusingan kedua nanti banyak perlawanan akan diadakan di tempat lawan.
Perlawanan pertama di bulan puasa. Kita puasa, mereka pun puasa. Kita berbuka, mereka pun berbuka. Jadi, ralat rasanya kalau puasa dijadikan alasan untuk mempamerkan aksi yang kurang baik berbanding pasukan lawan nanti. Ditambah pula kita telah kehilangan tujuh mata berharga di Paroi sebelum ini. Den rasa semua orang bersetuju bahawasanya, venue home adalah tempat untuk pasukan perlu meraih kemenangan. Dan dari lima perlawanan NSFC bermain di Paroi sebelum ini, kita hanya memperoleh dua kemenangan, menentang JDT II dan skuad Projek FAM-MSN.
Nasrullah kembali ke skuad NSFC. Setelah menjalani penggantungan satu perlawanan, Nasrullah dijangka akan diturunkan semula di barisan pertahanan untuk menambahkan kekuatan dinding pasukan Negeri Sembilan. Secara dasarnya, den tidak bersetuju ketiadaan Nasrullah dijadikan alasan kekalahan pasukan Negeri Sembilan minggu lalu. Hal ini menunjukkan kebergantungan kita kepada pemain utama dan semestinya kita tidak mahu pemain simpanan tidak berada on the same level dengan pemain utama. Namun, den bersetuju, sebagai seorang vice-captain, sudah semestinya Nasrullah mempunyai karisma untuk mengorganisasikan benteng pertahanan secara teratur seterusnya membantu mengekang asakan TRW Kelantan malam ini.
Ketiadaan Saiful Ridzuwan yang digantung perlawanan selepas menerima dua kad kuning pada perlawanan lalu, mungkin tidak akan banyak merubah corak taktikal K. Devan. Dengan kebiasaan meletakkan dua midfield di bahagian tengah, Barathkumar dan Beomgeun pasti akan menjadi pilihan utama untuk diturunkan andai kedua-duanya cergas dan sedia diturunkan. Walaubagaimanapun, salah seorang dari pemain ini berkemungkinan akan bermain lebih deep di bawah untuk membantu barisan pertahanan seperti mana tugas yang selalu dilakukan Saiful.
Bagi TRW Kelantan, mereka pastinya gembira menerima kehadiran semula Jack Hindle yang digantung satu perlawanan minggu lalu selepas menerima dua kad kuning ketika menentang Kelantan United. Namun, den lebih suka untuk memberikan tumpuan kepada pemain tempatan, Nur Shamil Abdul Ghani. Dari empat kemenangan yang dicapai TRW Kelantan, Nur Shamil telah berjaya meletakkan dirinya sebagai penjaring gol dalam tiga perlawanan tersebut, dan hanya satu perlawanan menyaksikan namanya tidak berada dalam senarai penjaring, kerana tidak diturunkan langsung ketika bertemu Kuching City. Lebih menarik, Nur Shamil boleh lah dikatakan sebagai seorang super sub kerana semua gol nya dijaringkan ketika beraksi sebagai pemain gantian.
Dengan Sarawak United mengalami kekalahan pertama Jumaat lalu, ini peluang terbaik bagi kedua-dua pasukan baik NSFC mahupun TRW Kelantan. Tetapi, seperti yang den katakan sebelum ini, peluang bermain di home perlu digunakan sebaiknya. Ditambah dengan kehadiran penonton, takkan lah nak drop points lagi. Ke memang kena main tanpa penyokong ni? Sekadar bertanya.
P/S : Raso belum terlambat den mengucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam.