Rakyat United | Experimentasi pasukan tanpa asas?
3 min read
Jang sempat mengerling hujung mata beberapa post serta artikel mengenai Rakyat United. Sebagai rakyat bola sepak yang menganut fahaman bahawa pasukan semestinya mempunyai sedikit asas kepunyaan, Jang tidak pasti dimana asasnya kerakyatan yang cuba di pancing oleh pasukan penjenamaan semula ini? Penulis/aktivis seni berkaliber, Cech Adrea syak, mereka cuba tapau satu Malaysia terus? Teruskan membaca!
Oleh Cech Adrea
Drama bola sepak tempatan tidak pernah membosankan. Selepas penarikan diri Felda United dari saingan Liga Malaysia musim 2021, kini muncul pula sebuah pasukan baru yang sedang galak mencari pemain. Pasukan itu dinamakan Rakyat United. Dikatakan bahawa pasukan ini adalah penjenamaan semula pasukan Felda United yang ‘diselamatkan’ oleh pengurusan lama dan sudah dimiliki oleh korporat 100%. Namun, Felda United pula mengatakan tidak ada kena mengena dengan pasukan itu. Kronologi cerita ini makin menarik apabila Stuart Ramalingam mengeluarkan kenyataan bahawa Rakyat United bukan pasukan sah dan tidak pernah melalui proses pengesahan FAM. Dalam masa yang sama Annuar Musa yang sedang mencari jalan untuk menjadikan Putrajaya sebagai sebuah pasukan bola sepak dikatakan sudah berbincang dengan Rakyat United, tetapi dinafikan dalam kenyataan beliau.
Menariknya, Rakyat United menerusi media sosial dan laman web, menggembar-gemburkan mereka sebagai satu jenama social enterprise, demi membangun bola sepak kepada semua pihak tidak kira umur, bangsa, agama dan taraf hidup. Menerusi platform media sosial, Rakyat United mengemukakan gaji pemain yang bakal dibayar jika terpilih untuk bermain di dalam skuad itu berdasarkan taraf liga. Rakyat United mengalu-alukan penyertaan pemilihan skuad utama dengan kelonggaran umur sehingga 60 tahun. Juga, ada kuota khas untuk pemain berbangsa Cina, India, Orang Asli bumiputera, selain kuota untuk pelbagai peringkat umur.
Logonya seakan-akan Athletico Madrid, mungkin kebetulan. Namanya pula benar-benar bersimbolkan marjinal orang-orang biasa, mungkin ini juga untuk menunjukkan konsep social enterprise yang dinyatakan. Pemilihan nama kelab itu mendapat respon pelbagai daripada pemerhati bola sepak.
Secara personal, nama kelab ini meninggalkan satu tanda tanya; bagaimana kelab baru yang bernama Rakyat United mahu menarik hati orang untuk menyokong? Di mana base pasukan ini, yang mana bakal menjadi taruhan untuk sasaran penyokong kelab nanti? Adakah mereka sangka dengan mengguna nama rakyat akan memudahkan mereka mendapat sokongan rakyat?
Perkara sepatutnya yang dilakukan mungkin menyiapkan satu gagasan fan base. Muncul satu lagi tanda tanya yang mengulang semula persoalan sebelumnya, siapa target penyokong sasaran? Menjadi kelab bola social enterprise bukan bermaksud perlu lepas tangan perkara begini.
Kita imbas semula kisah MISC-Mifa yang dijenamakan semula sebagai PJ City lupakan sebentar hal pengambilalihan MISC-Mifa oleh Qi Group, rakan kongsi Manchester City. Penjenamaan ini jelasnya untuk mewujudkan satu rasa self belonging terhadap sesebuah pasukan bola. Dalam kes PJ City, kelab cuba meraih sokongan setia di kalangan warga PJ memandangkan kelab itu berpangkalan di sini, itu apa yang dijelaskan oleh Datuk Seri Subahan Kamal ketika awal penjenamaan PJ City. Perkara sama juga terjadi kepada Air Asia FC, menukar namanya menjadi PJ Rangers untuk menarik lebih ramai penyokong. Mungkin dua pasukan ini mahu menarik borjuis PJ agaknya. Itu semua terpulang, asalkan ada sasaran yang betul. Kalau Rakyat United pula bagaimana? Self belonging dari rakyat untuk rakyat, begitu?
Konsep penjenamaan Rakyat United agak luar daripada kebiasaan, sebuah social enterprise mengguna nama rakyat, mungkin nama rakyat adalah eksperimen untuk meraih sokongan rakyat? Harus diingat, bola sepak ni bukan macam raih undi politik.
Lihat saja pasukan yang mempunyai fanbase besar seperti Kelantan dan JDT, warga tempatan negeri itu sendiri yang ada rasa keterikatan dengan negeri kelahiran mereka. Ini tidak terjadi kepada ATM, PDRM, bahkan UPB My Team atau MPPJ Selangor sekalipun. Amati betul-betul, empat pasukan ini ada persamaan, kalau tak masuk final jangan harap la stadium nak penuh.
Setiap individu tidak boleh lari daripada sentimental value yang berkenaan dengan tempat kelahiran atau tempat membesar. Sekali lagi, lihat dua pasukan ini JDT dan Kelantan, fan base mereka sangat besar.
Entah apa yang berada di minda pengurusan Rakyat United, segalanya masih misteri. Setakat ini, sosial media mereka sahaja yang jadi tempat rujukan pemerhati bola sepak tempatan. Design dan pengurusan media sosial di semua platform nampak teratur dan meyakinkan, nampak tak main-main. Jangan ada twist plot dalam drama ni — Mungkin Rakyat United cuma satu social experiment, sebenarnya pasukan itu bahkan tak wujud pun, mana la tahu. Macam apa yang Oobah Butler pernah eksperimen untuk Vice dulu, dia jadikan sebuah restoran yang tak wujud sebagai restoran di tangga pertama dalam Trip Advisor.
Editor: Hantar artikel anda jika anda benar-benar berani, bijak serta pernah bersekolah ke ultrajangmag@gmail.com